terima kasih buat kalian semua..

Thursday, September 23, 2010

Alahai...Bilalah sektor pertanian kita ni nak maju...


SAYA ingin meluahkan kekecewaan yang amat sangat terhadap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana bagi pendapat saya, sehingga kini masih gagal melakukan sesuatu yang baru untuk membantu petani dan juga penternak tempatan.

Kepimpinan silih berganti, namun pergerakan program serta perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk membantu petani dan juga penternak tempatan masih tidak ada peningkatan dan kemajuan.

Sejak Tun Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan dasar pertanian diperluas dan dipertingkatkan dengan pertambahan peruntukan belanjawan yang amat besar, sehingga sekarang masih tidak ada peningkatan atau kemajuan untuk menjadi petani dan penternak berjaya di peringkat antarabangsa.

Sewaktu pengumuman perubahan kepimpinan baru di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu di bawah Datuk Seri Noh Omar, ketika itu saya amat berharap agar adanya angin perubahan yang drastik dan segera, kerana berkeyakinan tinggi terhadap kemampuan dan kebolehan beliau untuk membuat perubahan terhadap petani dan juga penternak tempatan.

Boleh dikatakan saban hari, laungan dan kenyataan media dibuat oleh Noh mengenai kemajuan dan peningkatan petani tempatan. Namun, adakah kenyataan ini senada dengan apa yang berlaku di jabatan-jabatan di bawah kementeriannya?

Apakah Ketua-Ketua Pengarah di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mendengar kata dan melaksanakan tanggungjawab yang diarahkan oleh menteri untuk melihat petani dan penternak tempatan berjaya?

Jabatan yang menjaga penternakan iaitu Jabatan Veterinar Malaysia, apakah kemajuan dan peningkatan pengeluaran yang mereka hasilkan selama ini? Ramaikah penternak kita yang berjaya mengeksport hasil ternakan ke luar negara? Bagaimana dengan program peningkatan jumlah penternak ayam dalam negara, ramaikah yang berjaya?

Rakyat sudah bosan dan selalu tertekan dengan kekejaman pembekal ayam tempatan yang memberikan pelbagai alasan untuk menaikkan harga ayam terutamanya ketika musim perayaan. Sehinggakan wakil Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KDNKK) atau Jabatan Veterinar mengugut pembekal ayam dengan mencadangkan untuk mengimport ayam dari luar jika harga tidak turun.

Ini lagi satu masalah iaitu halalkah ayam yang diimport dari negara luar? Bagaimana kita hendak menentukan dan mengawal tahap halalnya jika ayam yang diimport terlalu banyak? Tidak mampukah penternak atau pengilang tempatan membuat makanan ayam yang lebih murah berbanding dengan makanan ayam yang diimport bagi memastikan harga ayam tempatan menjadi murah?

Bukankah semua ini telah ada dalam perancangan Jabatan Veterinar 10 tahun yang lalu, bukan baru hendak dibincang sekarang atau lagi 10 tahun perlu dibincang lagi? Siapa yang harus disalahkan dalam hal ini, menteri atau Ketua Pengarah Jabatan Veterinar?

Masalah pengimportan daging kerbau beku dari India dan kekurangan perancangan untuk meningkatkan industri ternakan dalam negara juga dilihat masih gagal dan tidak berjaya dilakukan oleh Jabatan Veterinar Malaysia sehingga lambakan daging kerbau beku berlaku berbanding jualan daging tempatan.

Apakah negara kita kurang tanah atau penternak tidak bijak untuk menjaga lembu? Atau tidak suburkah tanah di negara kita ini sehingga tiada rumput yang akan tumbuh untuk makanan lembu?

Malaysia bukan asalnya pembuat kereta, namun sekarang Malaysia sudah berjaya menghasilkan pelbagai jenis kereta. Apakah susah sangat hendak menjadikan Malaysia sebagai pembekal lembu terbesar di Asia ataupun di dunia? Kurangkah pakar dalam bidang ternakan haiwan di negara kita sehingga kini masih meminta negara luar membekalkan daging mentah kepada kita?

Apakah Jabatan Veterinar tidak rasa bersalah kerana gagal melahirkan penternak tempatan sehingga sanggup meluluskan banyak permit import daging beku? Apakah jabatan kerajaan ini tidak rasa bersalah melihat penternak tempatan masih memerlukan subsidi kerajaan dan dalam masa yang sama kita telah membantu penternak di luar negara untuk hidup lebih senang?

Saya yakin menteri tahu apa yang berlaku di dalam kementeriannya. Jika kepimpinan jabatan-jabatan di kementerian ini perlu dirombak demi memastikan program tanaman dan ternakan berjaya, lakukan segera agar tidak lagi berlaku kegagalan untuk masa akan datang.

Jika ada penternak tempatan berpotensi untuk berjaya, bantulah sehingga mencapai kejayaan. Bukannya mengambil jalan mudah apabila berlaku kekurangan daging di dalam negara, kita mengimport daging dari luar. Sampai bila-bila pun, negara kita akan terus bergantung kepada negara luar untuk makanan penduduk negara ini.

Siti Nuraisyah Umirah

Tanjung Karang, Selangor

1 comment:

  1. Salam,

    Ini mengejutkan saya. Bukankah pada 16 september 2008 begitu ramai MP dihantar oleh BN pergi k Taiwan dan Hong Kong untuk melawat sambil belajar ke kawasan pertanian di sana....

    Adnan M

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...