terima kasih buat kalian semua..

Sunday, September 5, 2010

Apabila rakyat semakin kritis...


RAKYAT di kebanyakan negara di dunia kian kritis terhadap kerajaan mereka. Hari ini, mengkritik kerajaan adalah normal. Ia hanya menjadi tidak normal jika rakyat berdiam diri terhadap apa juga yang berlaku di sekitar mereka hingga sukar meramalkan apa yang ada dalam fikiran mereka. Mereka hanya akan menyatakan perasaan mereka melalui peti undi. Rakyat yang sudah menempuh proses sejarah serta pembangunan negara masing-masing, lebih tahu arah tuju negara masing-masing. Mereka bercakap mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan mereka secara sinis atau berterus terang tanpa segan silu. Golongan yang kritis terhadap kerajaan hari ini termasuk jugalah kakitangan perkhidmatan awam. Jawatan yang mereka pegang bukan lagi menghalang untuk mereka meluahkan pendapat. Mereka tidak mahu menjadi pak turut moden. Dengan berpandukan contoh protes atau demonstrasi yang mereka lihat di televisyen, ia menjadi ikutan mereka. Tambahan pula ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh.

Gerakan pelajar yang yakin dengan kuasa pelajar, badan-badan pendesak, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia serta parti-parti politik yang tidak sehaluan dengan pemerintah turut memainkan peranan. Dalam proses menegakkan kepercayaan dan idealisme masing-masing, tidak dapat dielakkan wujud pelbagai konflik.

Keadaan ini berlaku dalam semua sistem pemerintahan dunia sama ada pemerintahan authoritarian, anarki, sosialis, komunis, apatah lagi demokrasi. Dalam menghadapi kerenah rakyat yang kritis ini, Malaysia tidak berkecuali. Di mana-mana negara sekali pun, adalah mustahil semua rakyat patuh membabi buta apa juga keputusan kerajaan mereka.
Di Malaysia kebelakangan ini menunjukkan kian ramai golongan yang kritis terhadap kerajaan. Mereka menjadi pengkritik dasar dan tindakan kerajaan ketika berada di kantin pejabat, kedai kopi atau dalam blog. Mendengarkan kritik mereka, ia lebih banyak kepada soal pentadbiran. Marahkan pegawai atasan, parti dan kerajaan dibabitkan. Marahkan tindakan pihak berkuasa, kerajaan disalah. Namun, ada kalanya mereka juga menghala kepada kritikan peribadi, khasnya ahli politik, tidak kira parti kerajaan atau pembangkang.

Mereka juga kritis terhadap isu sosial, agama, ekonomi dan sebagainya. Keadaan ini sukar dibendung kerana ia adalah manifestasi daripada sikap liberal kerajaan. Kerajaan tidak boleh, pada satu pihak mahukan rakyat yang berfikiran kritis dan pada satu pihak lain pula mengkritik pula sikap mereka. Mengkritik rakyat yang kritis adalah bertentangan dengan matlamat program pendidikan untuk mengembangkan pemikiran kritis masyarakat secara individu atau kumpulan. Pemikiran kritis penting untuk penyelesaian masalah dan membuat keputusan.

Sikap rakyat yang kritis terhadap persekitaran mereka sepatutnya dilihat secara positif. Jika kritik mereka ada asasnya, ia perlulah didengar. Jika kritikan mereka salah, ia perlu diperbetulkan. Contohnya, apakah salahnya jika rakyat menyatakan pendapat mereka secara kritis mengenai kenaikan harga barang. Di mana-mana saja di dunia sekali pun, rakyat membantah kenaikan harga barang. Kerajaan pula perlulah menyatakan justifikasi terhadap kenaikan harga berkenaan. Justifikasi pula jangan lah berbentuk keanak-anakan kerana ia akan hanya menjadi bahan ketawa. Kenaikan harga barang bukanlah sesuatu keadaan yang pelik kerana ia berlaku di serata dunia. Ia terletak kepada kebijaksanaan kerajaan untuk menghadapi kritikan daripada rakyat.

Biarlah rakyat berfikiran kritis asalkan mereka menyokong kerajaan. Ini lebih baik daripada mereka berdiam diri dan menjadi api dalam sekam. Dalam dunia yang bebas maklumat kita tidak boleh lagi bersikap hipokrit. Pada satu peringkat kita menyalah anak-anak tidak kritis, lesu dan layu dan apabila mereka kritis, kita cepat-cepat melatah. Kita perlu kembali kepada matlamat pendidikan. Satu kajian Majlis Pelajaran Amerika Syarikat tidak lama dulu menunjukkan 97 peratus daripada 40,000 responden mewakili anggota fakulti universiti di negara itu mendapati matlamat utama pendidikan ialah untuk mengukuhkan kemampuan berfikiran kritis di kalangan pelajar.
Sokong membawa rebah

ADA golongan atau individu yang menyokong apa juga yang dilakukan oleh kerajaan mereka. Baik atau buruk tetap disokong. Bagi golongan ini, kerajaan adalah maksum dan tidak pernah bersalah. Mereka menyokong segala tindakan kerajaan walaupun bertentangan dengan hasrat majoriti rakyat. Anehnya, mereka tidak boleh memberi alasan yang diterima umum terhadap asas sokongan mereka. Sikap golongan seperti tidak digemari rakyat, apatah lagi jika mereka bercakap soal retorik dan asyik menyalahkan rakyat.

Rakyat akan meluat jika orang yang bercakap itu sendiri memang dikenali sudah banyak menikmati habuan daripada kerajaan. Setiap mereka adalah ibarat sokong membawa rebah.

Bharian


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...