terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, September 1, 2010

Balada jalanan Mumbai


GOLONGAN merempat tidur di mana-mana sahaja, baik di kaki lima, di bawah jambatan dan jejantas, malah di tengah-tengah landskap bandar.


“KIRA-KIRA 27 juta orang,” jawab saya apabila ditanya mengenai populasi penduduk Malaysia oleh seorang saudagar kedai tekstil di Magal Das Bazar.

“Itu sahaja?” Jawabnya dalam bahasa Inggeris sambil membuat isyarat tangan dan goyangan kepala seperti tidak percaya. Reaksinya itu membuatkan saya terketawa kuat di tengah-tengah kesibukan pasar dekat Mumbai, India bulan lalu.

Ya, populasi tanah air saya mungkin hanya sedikit lebih daripada kepadatan penduduk di Mumbai. Keluasan tanah di bumi yang kental semangat Mahatma Gandhi itu adalah 10 kali ganda berbanding Malaysia.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Statistik Bank Dunia, populasi India kini mencecah seramai 1.2 bilion orang (kira-kira 44 kali ganda lebih ramai daripada Malaysia). Namun, angka yang besar tidak semestinya hebat.

Ledakan populasi tersebut jelas sekali membawa kesan dan amaran yang membimbangkan hingga banyak kali menjadi debat di Parlimen mereka.

Ketika saya menyusuri kota yang dahulunya dikenali sebagai Bombay itu, saya mengalami kejutan budaya dan emosi lantaran disambut suasana yang sesak, kotor dan kecoh.

Dalam banyak senario yang sempat dirakam dengan kamera, saya amat hiba menyaksikan kelompok orang gelandangan yang hidup merempat di jalanan. Tanpa kenal isu kebersihan diri apatah lagi nutrisi, mereka terabai lantaran kegagalan impian menyara hidup.

Persaingan peluang mendapat pendidikan dan pekerjaan telah menghenyak diri mereka ke lapisan terbawah hierarki ekonomi.

Ibarat kais pagi makan pagi, perut mereka sekadar mendapat simpati bantuan pertubuhan sosial bukan kerajaan atau jamuan ringkas di kuil atau masjid. Orang asing seperti saya juga mudah dikenali lalu dikerumuni mereka yang mengambil jalan mudah dengan mengemis.

Anak-anak pemilik tangan yang comot dan berkurap sentiasa menyentuh saya agar menghulurkan sesuatu buat mereka. Namun, oleh kerana telah dipesan agar tidak terpedaya dengan taktik pengemis itu, saya cuma terfikir tentang krim sanitasi.

Status sosial

Saya mengerti akhirnya bahawa itulah intipati Mumbai - tempat tinggal bagi bilionair syarikat mega dunia seperti Reliance, para superstar Bollywood dan juga cerdik pandai yang mengisi jawatan profesional (namun terpaksa berpuas hati dengan gaji yang setaraf pekerja pejabat di negara ini).

Mereka semua berkongsi ibu kota negeri Maharashtra itu dengan golongan pekerja dan juga masyarakat picisan seperti yang saya temui.

Dari sudut lain, dalam usaha rakyatnya melonjakkan diri dalam status sosial yang kompleks, telah wujud generasi aristokrat baru di India. Golongan yang saya maksudkan itu ialah mereka yang bergiat dalam bidang seni persembahan, baik muzik, nyanyian, tarian ataupun lakonan.

“Menjadi pelakon atau penyanyi umpama tiket untuk menerima penghormatan hebat dalam masyarakat. Jika tidak berjaya sebagai penggiat seni kelas satu, mereka yang dapat menceburi dunia hiburan (di depan atau di belakang tabir) sudahpun dianggap bernasib baik.

“Bagi yang bekerja di balik tabir ataupun menjadi selebriti, peluang itu adalah untuk membebaskan diri daripada kepayahan hidup,” kata Nikhil Arya, seorang pelakon drama televisyen yang saya temui di studio Balaji Films.

Secara tidak langsung itu membuatkan saya terfikir, patutlah drama popular dan filem blockbuster acuan Bollywood asyik memaparkan aspek fantasi kemewahan, kehebatan gaya dan keindahan shot penggambaran.

Penonton tempatan seperti mahu terus dikhayalkan dengan alunan muzik dan tarian agar dapat melupakan realiti depresi mereka di luar layar tontonan.

Dari Bollywood, saya sempat meredah belantara di Taman Negara Sanjav Gandhi untuk meninjau tapak bersejarah Gua Kanheri. Di situ, saya disambut renjer taman yang comot. Dia juga membawa cerita tersendiri.

Seusai saya mengakhiri lawatan dengan menuruni cerun bukit, dia mencuit saya dan meminta tip. Saya akur. Dia memang layak diberi sedikit wang atas dedikasi dan komitmennya.

Malangnya, saya yang tidak membawa not kecil yang mencukupi. Di dalam poket cuma ada tiga keping not 10 rupee (kesemua nilainya kira-kira RM2). Dengan ragu-ragu, saya menghulurkan wang tersebut.

Dia menerimanya dengan senyuman dan ucapan terima kasih. Siap menyembah saya, dia amat menghargainya. Menurut apa yang saya fahami, wang itu sudah cukup untuk membeli hidangan malam dan sarapan buatnya keesokan hari. Saya tergamam.

Saya selalu membawa pulang wang syiling asing untuk dijadikan kenangan kembara. Namun, kali ini, saya meraba hingga ke dasar poket untuk memberikannya sebanyak wang syiling yang saya miliki. Mungkin dengan wang itu dia boleh menambah saiz hidangannya.

Penumpang Airbus 330

Dalam penerbangan pulang ke tanah air, terjadi satu lagi insiden yang tidak dapat saya lupakan. Disapa seorang lelaki warga Mumbai yang duduk di sebelah saya, dia tidak habis-habis memuji negaranya.

Lelaki itu menanggalkan selipar dan menaikkan kedua-dua kaki ke tempat duduk di hadapannya. Oh, sikap yang saya benci! Dia memperkenalkan dirinya sebagai successful bank officer.

Tidak puas memuji kota kelahirannya, Mumbai, dia mendakwa pula semua lokasi pelancongan Malaysia membosankan. Senarai rungutan itu bercambah-cambah.

Dia mempersenda Malaysia dengan mengatakan makanan tidak sedap, bekalan daging ayam tidak segar, permohonan visa menyusahkan hinggalah kepada keselamatan awam kian terancam akibat kes bunuh berleluasa. Entah dari mana agaknya sumber penilaiannya.

Saya jadi bingung dan malas hendak melayan dia menceceh. Dalam hati, hendak saja saya meminta dia segera ke salun merias kuku sejurus tiba di Kuala Lumpur lantaran terpandang kuku kakinya yang kotor seumpama pengemis yang saya temui di Mumbai.

Hanya satu cara yang boleh membebaskan saya daripadanya. Lalu saya pura-pura menguap dan memberi alasan hendak tidur. Dari sudut itu saya memang pelakon terbaik, mengalahkan Nikhil Arya. Dalam pesawat Airbus 330 itu, hati saya meronta mahu segera tiba di Kuala Lumpur.

sumber Kosmo

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...