terima kasih buat kalian semua..

Monday, September 27, 2010

Benarkah kebolehan berbahasa mandarin sangat diperlukan bila nak mohon jawatan??? Atau ianya hanya sekadar helah...


SELAGI ada warga yang tidak hormati bahasa kebangsaan selagi itulah timbul kesangsian Melayu terhadap mereka.

Banyak sudah diperkatakan betapa negara ini dilamun perasaan perkauman yang sungguh menebal. Terlalu banyak tuduhan khususnya dalam pelbagai portal berita dan blog kononnya orang Melayu saja yang mendapat segala faedah dari negara penuh rahmat ini.

Apakah tohmahan demikian benar? Apakah benar bukan Melayu tidak mendapat apa-apa pun faedah di sini? Apakah mereka ini sentiasa ditindas? Apakah benar orang Melayu tidak menerima bukan Melayu sebagai rakyat negara ini untuk hidup dan bergiat dalam serba-serbi kegiatan ekonomi, sosial dan politik?

Adakah mereka ini disekat mencari nafkah dan menimba rezeki mereka? Apakah mereka yang juga mempunyai hak sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan sudah tidak dilindungi lagi atau hak mereka sudah terhakis?

Kiranya semua tohmahan ini tidak benar kenapakah tuduhan-tuduhan demikian berterusan saja dibuat? Jadi apakah keadaan yang sebenarnya wujud dalam negara ini?

Sepatutnya semua rakyat boleh lihat sendiri keadaan sebenar. Rakyat berketurunan Cina dan India tidak pula dipaksa menukar nama atau mengetepikan budaya dan adat resam mereka. Demikian pula mereka tidak juga dipaksa berasimilasi dengan Melayu iaitu penduduk teras negara ini.

Malah hingga penggunaan bahasa kebangsaan pun tidak dipaksakan ke atas mereka walaupun ia ditetapkan sebagai salah satu faktor penting memupuk negara bersatu padu ketika dilepaskan daripada belenggu penjajahan pada 1957 dahulu.
Ketetapannya ialah semua rakyat negara ini perlu boleh bertutur dan membaca bahasa kebangsaan sebagaimana juga sekolah aliran kebangsaan digalakkan dengan kelonggaran diberikan kepada wujudnya sekolah aliran Cina dan Tamil bagi yang telah sedia ada saja dengan syarat mereka hanya boleh terus beroperasi di atas tapak yang sedia ada juga.

Malangnya hingga sekarang ini pun masih ada yang mendabik dada sebagai warga negara ini, tetapi selepas sudah menikmati kemerdekaan lebih 53 tahun masih ada sebilangan besar yang tidak boleh bercakap bahasa Malaysia termasuk golongan profesional. Apa susah sangat hendak belajarnya kalau dilihat pekerja asing dari Bangladesh atau India yang berada sini beberapa bulan saja pun sudah boleh bercakap Melayu dengan baik?

Apa kesimpulannya? Bukankah ini menggambarkan masih ada rakyat negara berketurunan Cina dan India yang tidak pernah bercampur gaul dengan Melayu hingga hendak bertutur bahasa kebangsaan pun tidak boleh?

Demikian juga apakah tidak ada golongan cerdik pandai dan profesional bukan Melayu yang juga tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan? Bagaimana hal begini boleh berlaku? Apakah orang Melayu tidak cukup liberalnya hingga membenarkan hal demikian ini berterusan saja berlaku?

Apa sudah jadi dengan ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa? Nampaknya bagi mereka itu ia tidak perlulah.

Lihat saja bagaimana beberapa syarikat tertentu termasuk syarikat multinasional berterusan tidak menghormati bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini apabila risalah yang mereka edarkan pun hanya menggunakan Bahasa Inggeris dan Mandarin. Apakah mereka ini bukan wujud di Malaysia? Kenapakah mereka ini begitu angkuh sekali memperlekehkan bahasa Malaysia?

Bukankah ini menunjukkan sikap yang amat jelek terhadap negara mereka sendiri? Kita boleh faham penggunaan bahasa Inggeris yang sedang digalakkan. Tetapi kenapa bahasa Mandarin diguna misalnya untuk risalah membangunkan perumahan di Shah Alam yang diedarkan ke rumah di Shah Alam juga, yang mana majoriti penduduknya adalah orang Melayu?

Apakah mereka tidak mahu orang Melayu sebagai pelanggan mereka? Tetapi kenapa diedarkan ke rumah orang Melayu? Kalau demikianlah halnya baik orang Melayu boikot saja barangan keluaran mereka ini.

Demikian juga dengan beberapa kedai makan, kenapa menunya dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin saja? Ia memberi petanda seolah-olah mereka ini tidak mahu pelanggan Melayu. Anehnya ada yang tidak mendapat sijil halal, tetapi gamak pula yang memaparkan sijil halal yang palsu? Apa hasratnya sebenar kalau bukan mahu menipu orang Melayu/Islam?

Kita harus lihat apa motif mereka. Kenapa gamak melakukan begini? Selagi ada rakyat negara ini termasuk yang menerajui pelbagai syarikat termasuk syarikat multinasional yang beroperasi di sini berterusan perlekehkan bahasa kebangsaan dan berterusan mendewakan bahasa Mandarin selagi itulah wujud kesangsian di kalangan Melayu terhadap kesetiaan mereka ini terhadap negara yang mereka sendiri akui sebagai tanah tumpah darah mereka.

Tanah tumpah darah apanya kalau papan tanda nama jalan pun hendak diadakan dalam bahasa Mandarin, malah sudah pun dilaksanakan?

Apakah bahasa Mandarin bahasa negara ini? Bagaimana pula dengan syarikat yang menetapkan syarat penguasaan bahasa Mandarin untuk mendapat pekerjaan? Apa perlunya pengetahuan bahasa Mandarin misalnya bagi sebuah kedai di MegaMall yang mana ramai antara pengunjungnya terdiri daripada orang Melayu? Inilah yang menjadi persoalan.

Kononnya mereka perlukan orang yang tahu bahasa Mandarin untuk boleh dengan mudah berurusan di negara China. Apakah jurujual di kedai pun hendak berurusan dengan negara China?

Kalau dilihat secara objektifnya sememangnya banyak yang tidak kena dengan Melayu yang begitu akomodatif terhadap orang lain hingga orang pijak bahasa negeri ini pun mahu diterima saja?

Selagi begitu menebal dengan sikap totok tidak mahu menerima hakikat bahawa kita berada di Malaysia yang mana majoriti rakyatnya adalah Melayu dan yang mana bahasa kebangsaan dan bahasa rasminya adalah bahasa Melayu, selagi itulah timbul kesangsian orang Melayu terhadap mereka ini. Kiranya perkara pokok ini pun mereka tidak hormati bagaimana mereka boleh mengharapkan negara ini menghormati mereka?

Bersama Rejal Arbee


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...