terima kasih buat kalian semua..

Saturday, September 4, 2010

Buat Pasangan Berkahwin: Anda Fahamkah Erti Nusyuz??? Tahukah anda suami juga boleh dikira nusyuz???


SEKARANG banyak laporan akhbar mengenai isteri curang terhadap suami. Namun, tidak kurang juga berita suami curang terhadap pasangan masing-masing. Bahaya kecurangan boleh menggugat kestabilan serta keharmonian rumah tangga. Jika tidak dibendung pada peringkat awal, ia boleh mengakibatkan runtuhnya ikatan perkahwinan itu

Biasanya kecurangan isteri dikaitkan tindakan nusyuz. Sebenarnya tidak ada definisi tepat mengenai nusyuz tetapi fuqaha memberi pengertian dengan menyatakan bentuk perbuatan dikatakan sebagai nusyuz.
Perbuatan itu adalah sesuatu yang tidak disukai pasangan, melampaui hak masing-masing, berlaku permusuhan, kebencian dan melayani antara satu sama lain dengan perbuatan tidak sewajarnya.

Nusyuz sering dikaitkan kepada isteri kerana nusyuz diberi makna sebagai derhaka kepada suami. Umumnya, nusyuz boleh berlaku melalui dua cara iaitu perbuatan dan perkataan. Nusyuz perkataan seperti isteri bercakap tanpa adab ataupun tidak sopan seperti menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suami.

Nusyuz isteri dari segi perbuatan seperti menolak pelawaan suami untuk hubungan kelamin tanpa sebab munasabah. Selain itu, isteri keluar dari rumah tanpa kebenaran suami kecuali untuk tujuan syarie yang dimaklumi seperti tujuan keselamatan, membeli barang keperluan, kesihatan dan pendidikan. Isteri yang enggan bermusafir dengan suaminya juga dikira nusyuz.

Suami juga boleh dianggap nusyuz apabila tidak mahu bercakap dengan isteri atau bercakap tanpa adab seperti menengking, suami mengesyaki isteri tanpa sebab munasabah dan mengarahkan isteri melakukan perkara melanggar syarak.
Nusyuz suami dari segi perbuatan seperti meninggalkan hubungan kelamin dengan isteri tanpa sebab dibenarkan syarak. Suami melakukan perbuatan kejam dan zalim sama ada fizikal atau emosi terhadap isteri.

Suami tidak menyediakan nafkah terhadap isterinya atau melakukan liwat semasa melakukan hubungan kelamin.

Bagaimanapun, konflik biasa atau ketidakfahaman terhadap sesuatu perkara belum boleh dikatakan sebagai nusyuz. Nusyuz lebih kepada perlanggaran terhadap tanggungjawab suami isteri secara melampau.

Antara sebab dikatakan nusyuz adalah tidak bertanggungjawab terhadap hubungan suami isteri dan kekeluargaan. Selain itu, ia juga berpunca daripada kurangnya tolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Nusyuz isteri dinyatakan secara langsung dalam peruntukan undang-undang. Mengikut seksyen 60 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, antara tindakan isteri yang boleh dikira sebagai nusyuz mengikut undang-undang adalah menjauhkan diri daripada suami, meninggalkan rumah bertentangan dengan kemahuan suaminya dan enggan berpindah bersama suaminya ke rumah atau tempat lain tanpa sebab yang sah menurut hukum syarak.

Bidang kuasa untuk mendengar kes nusyuz bagi kes mal di Mahkamah Syariah Selangor dinyatakan dalam subseksyen 61(3)(b) (i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 untuk Mahkamah Rendah Syariah.

Mengikut peruntukkan undang-undang, proses mensabitkan dan mengesahkan isteri itu nusyuz tertakluk kepada hukum syarak. Manakala kuasa untuk menentukan atau mengesahkan seseorang itu nusyuz diberikan kepada Mahkamah Syariah.

Hukuman yang boleh dikenakan terhadap isteri yang nusyuz mengikut seksyen 130 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 ialah denda tidak melebihi RM100. Bagi kesalahan kedua atau ketiga, denda tidak melebihi RM500.
Isteri yang disahkan dan disabitkan nusyuz serta dikenakan tindakan denda akan hilang hak untuk mendapat nafkah.

Dalam masyarakat kita nusyuz lebih difahami berlaku kepada isteri. Bahkan kefahaman masyarakat, isteri yang nusyuz melakukan perbuatan durhaka. Al-Quran menggunakan perkataan nusyuz sebagai perbuatan melampau, mengambil kesempatan dan penganiayaan dalam perhubungan suami isteri.

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip



Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...