terima kasih buat kalian semua..

Saturday, September 25, 2010

Dah 70 tahun.. satu kampung masih tiada kemudahan air bersih..


KINABATANGAN - Kira-kira 1,500 penduduk dari Kampung Tundun Bohangin, dekat sini merayu agar kerajaan mempercepatkan pembinaan telaga tiub bagi kegunaan penduduk di kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Asman Agoi berkata, ketiadaan telaga tiub untuk menyalurkan bekalan air bersih bukan sahaja menyusahkan penduduk, malah turut membebankan pelajar dan guru.

Katanya, lebih 80 murid di Sekolah Kebangsaan Tundun Bohangin bersama 11 tenaga pengajar terpaksa bergantung dengan air perigi dan air hujan.

"Sejak kampung ini wujud pada 1940-an, penduduk hanya bergantung bekalan air perigi dan hujan untuk melakukan aktiviti memasak, mandi dan membasuh pakaian," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, ketibaan musim kemarau akan menyukarkan lagi orang ramai untuk melaksanakan aktiviti harian, sekali gus memaksa mereka untuk mengehadkan penggunaan air.

Kampung Tundun Bohangin terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau dan hanya boleh dihubungi melalui jalan laut yang memakan masa selama empat jam dari bandar Sandakan.

Sebanyak 74 rumah termasuk 21 rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) terdapat di kampung tersebut selain sebuah balai raya, masjid dan sebuah sekolah rendah.

Asman berkata, sebelum ini, wakil bahagian bersama syarikat kontraktor pernah datang memantau tapak pembinaan telaga tiub yang dianggarkan sedalam 30 meter.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini kerja pembinaan telaga tiub itu masih belum dimulakan.

Menurutnya, masalah tersebut pernah disuarakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemimpin masyarakat, namun penduduk kampung hanya diminta bersabar.

Dalam pada itu, Asman turut meminta kerajaan agar mempercepatkan pembinaan sebuah bangunan Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di kampung tersebut.

Katanya, ketiadaan tabika tersebut menyebabkan kanak-kanak terpaksa menumpang di kelas prasekolah di Sekolah Kebangsaan Tundun Bohangin.

Namun apa yang lebih sedih katanya, ada di antara kanak-kanak yang tidak bersekolah pada tahap tersebut berikutan kelas prasekolah tidak dapat menampung bilangan murid yang ramai.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...