terima kasih buat kalian semua..

Saturday, September 18, 2010

Gaji minimum perlu sepadan kos sara hidup..graduan u dari sejak 20 thn dulu gaji tak berubah..rumah makin mahal..


Kerajaan patut sekat buruh asing, sedia rumah mampu milik

KERAJAAN kini berhasrat menetapkan gaji minimum bagi setiap pekerja dalam negara, tetapi penetapan ini tidak akan bermakna kiranya ia juga dipanjangkan kepada pekerja asing

Penetapan demikian dengan sendirinya akan mengatasi keraguan majikan kononnya gaji minimum hanya menguntungkan pekerja asing dan menambahkan aliran keluar wang ke negeri lain apabila pekerja asing dengan pendapatan yang lebih akan mengirim lebih banyak wang mereka keluar.
Apa yang diperlukan serentak dengan penetapan ini ialah kerajaan menyekat terus pengambilan pekerja asing melainkan sebagai pembantu rumah.

Majikan dan pengilang hendaklah dipaksa melonjakkan diri mereka daripada meneruskan industri berteknologi rendah kepada industri berteknologi tinggi dengan mengambil pekerja tempatan dengan bayaran yang berpatutan yang boleh menampung kehidupan mereka, termasuk mampu membeli rumah sendiri.

Keadaan songsang yang mana kita mengimport pekerja tidak mahir sehingga tiga juta orang, tetapi mengeksport semakin ramai pula rakyat berpengetahuan kita keluar negara hanya kerana tidak sanggup memberikan pendapatan setimpal dengan kemahiran. Maka itulah dianggarkan sehingga 300,000 rakyat berkemahiran kita berhijrah mencari pekerjaan di luar negara setahun.

Kedudukan songsang demikian ini tidak lagi boleh dipertahankan. Usaha berkesan harus dilakukan kerajaan dengan kerjasama sektor swasta mengatasi kedudukan demikian ini.
Maka itu, serentak dengan pelaksanaan gaji minimum ini kerajaan sepatutnya sudah bersedia membuat keputusan tidak akan membenarkan industri kita lebih-lebih lagi kilang pembuatan mengambil pekerja asing. Mana-mana pekerja asing yang sudah berada di sini tidak akan dibenarkan berterusan di sini apabila kontrak mereka sudah tamat.

Kerajaan juga perlu menetapkan industri pembuatan kita meningkatkan daya saing mereka supaya tidak lagi perlu bergantung kepada pekerja asing tidak mahir ini.

Semua agensi penguat kuasa kita mesti disediakan dengan segala-galanya, termasuk peralatan bagi menentukan tidak akan berlaku lagi penyusupan pekerja asing ke negara ini. Mana-mana majikan, termasuk pekilang dan majikan lain yang berterusan mengambil pekerja asing hendaklah dikenakan hukuman berat supaya mereka ini tidak akan berani lagi mengambil pekerja asing.

Gaji minimum itu juga perlu mengambil kira kedudukan sara hidup harian yang wujud mengikut kawasan supaya setimpal dengan kos sara hidup harian kawasan tertentu seperti Lembah Klang dan Johor Bahru. Tentunya kos sara hidup di kedua-dua kawasan ini tidak sama dengan kos sara hidup di bandar lain dan di luar bandar.

Penetapan gaji minimum ini perlu dilaksanakan kiranya kerajaan serius untuk melonjakkan kita daripada kepompong negara berpendapatan sederhana yang mana ia sudah tersekat sejak 15 tahun lalu. Tetapi hasrat ini tidak akan bermakna kiranya pengusaha kita berterusan dibenarkan mengimport buruh dari luar negara hanya kerana tidak bersedia memberikan gaji berpatutan kepada rakyat sendiri.

Masanya sudah tiba bagi kerajaan menyekat kemasukan buruh asing. Maka itu, tidak menghairankan kenapa sebuah kajian tahun lalu mendapati sehingga 34 peratus daripada pekerja buruh kita, iaitu sejumlah 1.3 juta didapati menerima gaji hanya RM700 sebulan ke bawah, iaitu di bawah paras kemiskinan RM720 sebulan.

Kedudukan begini tentunya tidak boleh dipertahankan bagi sebuah negara yang bercita-cita hendak berada pada tahap negara berpendapatan tinggi.

Suatu kajian oleh Bank Dunia mendapati kita mencatatkan kenaikan gaji pada kadar hanya 2.6 peratus setahun bagi tempoh 10 tahun lalu berbanding dengan tren perubahan gaji bagi seluruh dunia pada kadar 3.2 peratus.

Jadi tidak menghairankan kenapa gaji yang diterima oleh pekerja kita tidak dapat menampung kos sara hidup harian mereka. Maka tidak menghairankan kenapa seorang yang berpendapatan RM2,500 sebulan pun tidak mampu menyewa rumah untuk keluarganya hingga sanggup hidup sebagai seorang gelandangan.

Belanja terbesar yang dihadapi pekerja sekarang ialah menyediakan tempat tinggal, bumbung yang mana seorang pekerja dan keluarganya boleh berteduh. Perbelanjaan terbesar lainnya ialah kos pengangkutan pergi balik ke tempat bekerja.

Jadi selain menetapkan gaji minimum, kerajaan sepatutnya sudah dapat menyediakan perumahan yang mampu dimiliki pekerja biasa ini, selain daripada menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang cekap dan boleh diharap pada kos berpatutan.

Dengan itu seseorang pekerja tidak akan perlu lagi mempunyai kenderaan sendiri hanya untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja.

Keperluan utama adalah menentukan adanya bilangan rumah atau flet yang secukupnya yang mampu dibeli oleh semua pekerja biasa tanpa mereka ini perlu menjadi setinggan atau gelandangan yang tidak mempunyai tempat berteduh.

Dua perkara ini perlu dilakukan kerajaan serentak dengan penetapan gaji minimum ini kalau benar-benar prihatin terhadap kebajikan rakyat. Apabila dilihat keadaan yang wujud sekarang seorang graduan universiti pun kini tidak lagi mampu untuk mendapatkan rumah sendiri. Apa tidaknya kalau difikirkan graduan universiti sekarang memulakan kerjanya dengan gaji kira-kira RM2,000 saja sebulan.

Dua puluh tahun lalu seorang graduan dibayar sekitar RM1,800 sebulan. Tentunya keadaan demikian ini tidak boleh dipertahankan. Ini adalah bagi seorang berkelulusan universiti. Bagaimana pula dengan seorang yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saja. Apa yang dia boleh harapkan?

Bagaimanakah keadaan begini boleh dibiarkan berlaku. Bagaimana harga rumah melonjak begitu ketara sekali seolah-olah tanpa sebarang sekatan hanya kerana wujudnya spekulasi yang bukan-bukan hingga boleh menjejas hasrat ramai yang hanya boleh mengharapkan gajinya saja.

Kiranya pemaju perumahan tidak mahu mendirikan rumah kos berpatutan yang boleh dimiliki seorang pekerja biasa, kerajaanlah yang bertanggungjawab membanjiri pembinaan rumah demikian supaya kos rumah tidak melambung tinggi seperti sekarang.

Kerajaan juga perlu membendung spekulasi bukan di mana harga rumah boleh melonjak dengan harga yang tidak terfikirkan. Apakah keadaan rumah sederet satu tingkat yang sudah berusia lebih 30 tahun dijual pada harga RM30,000 kini sudah mencecah sehingga RM600,000 dapat dipertahankan? Tentunya ada yang tidak kena dengan kedudukan demikian ini.

Oleh Rejal Arbee


Penulis ialah Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...