terima kasih buat kalian semua..

Thursday, September 30, 2010

Gengsterisme dan dosa filem Tamil..


SAYA merupakan salah seorang peminat filem Tamil dan Hindustan. Minat itu mula bercambah ketika bersekolah rendah. Regu menonton filem-filem itu adalah ayah. Saya juga menggilai cerita-cerita Kantonis, Mandarin, Jepun dan Korea.

Membandingkan filem-filem tersebut, ternyata filem Tamil memaparkan keunikan tersendiri. Ada beza antara cerita Tamil (Malayalam, Telugu) dan Hindustan. Cerita Tamil sarat dengan derita dan sengsara. Paparan jenayah, rasuah, keganasan dan kemiskinan. Ada nyanyian tetapi selalunya disulami air mata.

Kisah yang dipaparkan berkisar kepada kehidupan seharian dalam masyarakat. Jurang antara dua darjat atau kasta, cinta serta kuasa sering menjadi jalan utama cerita. Lokasi filem Tamil pada tahun 1970-an dan 1980-an adalah kampung, sawah padi, kereta lembu dan rumah buruk. Ada juga ditonjolkan perihal kehidupan masyarakat bandar namun masih berkisar kepada soal kesengsaraan.

Filem Tamil paling dikenali menerusi aksi pergaduhan. Adegan yang dipaparkan memang nampak ganas ditambah dengan kesan bunyi melampau. Watak hero atau penjahat berkain sarung kebiasaannya berwarna putih. Apabila tiba babak pergaduhan si hero akan mengangkat bahagian belakang kain ke hadapan dan menyelitkannya di pinggang. Maka berlangsunglah aksi-aksi ‘dush sana dush sini’, darah menyembur, puluhan penjahat tidak mampu menewaskan seorang hero yang mempunyai kekuatan luar biasa.

Kebiasaannya di peringkat awal si hero akan tewas, namun selepas cedera parah, dia akan bangkit dengan penuh tenaga dan kekuatan membelasah kumpulan penjahat tanya belas jauh sekali ehsan.

Minuman keras dan filem Tamil juga tidak mampu dipisahkan. Ada hero menjadikan minuman keras pengubat lara namun akhirnya ‘bertaubat’. Maknanya di sebalik elemen ganas (yang tidak logik), filem Tamil sentiasa sarat dengan pengajaran.

Hero

Nama-nama hero filem Tamil seperti M. G. Ramachandran yang lebih dikenali sebagai MGR dan Sivaji Ganesan mewarnai filem Tamil di era 60-an hingga 70-an. Hero yang digilai ramai itu berjaya membawa pelbagai watak dan mampu menyentuh perasaan para penonton. Air mata dalam filem Tamil adalah milik aktres dan aktornya. Malah pelakon lelaki (selalunya hero) dalam filem Tamil mampu menangis berjurai air mata sehingga menjadikan panggung sunyi dan sepi.

Teringat satu cerita yang sendiri lupa judulnya di mana Sivaji membawa watak seorang datuk yang menjadi gila gara-gara dihantui kenangan bersama cucu yang dipisahkan daripadanya. Peminat filem Tamil juga pasti tidak lupa pelakon komedi terkenal Nagesh yang menceriakan filem-filem Tamil di sebalik kesengsaraan serta keganasan yang dipaparkan.

Kegilaan terhadap filem Tamil menjadi-jadi apabila muncul Kamal Haasan yang terkenal dengan pelbagai watak, begitu juga Karthik (yang boleh dikategori sebagai kacak ketika zaman kurusnya) dan Ranjinikanth yang sering saja mengunyah sirih apabila memegang watak hero kampung yang memperjuangkan nasib penduduk setempat.

Manakala aktres seperti Seri Devi bermata bundar dengan ikatan sari serta gerak tari seksi menggoda namun masih ada seninya jika dibandingkan dengan goyangan Beyonce.

Menjelang tahun 1990-an, tema dan jalan cerita filem Tamil lebih menarik dan pelbagai sambil digaul dengan elemen moden menjadikan filem tersebut mampu bersaing serta layak ditonton oleh masyarakat antarabangsa. Tentu ramai telah menonton filem Anjali - kisah sebuah keluarga yang berhadapan dengan trauma apabila anak kecil autistik yang disembunyikan selepas kelahirannya hadir dalam hidup mereka. Sememangnya kisah tersebut amat meruntun perasaan dan lari daripada tema biasa filem-filem Tamil pada zaman sebelumnya.

Perlu diakui dunia filem Tamil semakin ‘kontemporari’. Lenggang liuk si penari semakin menghairahkan. Adegan-adegan pergaduhan tetap mendapat tempat, selain tema yang sarat dengan percintaan dan gaya hidup muda-mudi.

Namun jangan lupa paparan skrin dari Hollywood, Filipina, Thailand, Hong Kong malah Malaysia juga cenderung mengetangahkan aksi ganas, seks dan minuman keras. Orang yang menonton filem Tamil turut menonton filem-filem dari negara lain, jadi apakah dosa peningkatan jenayah hanya pada filem Tamil?

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...