terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, September 29, 2010

Hari raya suram kerana judi..


WALAUPUN Syawal sudah hampir ke penghujungnya, tetapi bagi saya kehadirannya setiap tahun mengundang kesedihan. Ketika jiran tetangga sibuk balik kampung, kami sekeluarga berhari raya sendirian sahaja. Tak bererti langsung. Demikian cerita Norlyana dalam email dan ketika kami berbual panjang di telefon baru-baru ini.

‘‘Sebabnya, saya tidak ada kampung untuk kami boleh pulang beraya. Pada saya mereka yang ada kampung memang bertuah tak seperti kami anak beranak, hanya berhari raya di rumah sendiri. Hinggakan di taman perumahan itu keluarga kami sahaja yang tinggal, macam kami jadi pengawal keselamatan di kawasan itu, sebab jiran depan belakang, kiri kanan semua balik kampung masing-masing,

‘‘Sebenarnya kami suami isteri masih ada lagi ibu bapa masing-masing, tetapi keadaan tidak membolehkan kami berhari raya bersama mereka, kami sekadar pulang menjenguk mereka untuk sejam dua lepas itu pulang ke rumah sendiri.

‘‘Sebenarnya rumah ibu bapa saya hanyalah sebuah rumah pangsa dua bilik terletak di Kuala Lumpur yang dihuni oleh 8 orang ahli keluarga. Bayangkan betapa sesaknya rumah kami. Hanya rumah itu sahaja yang mampu ayah beli, memandangkan ayah tidak mempunyai sebarang harta sama ada rumah pusaka atok nenek di kampung.

‘‘Semasa anak-anak saya masih kecil kami masih boleh bermalam di rumah pangsa ayah, tetapi setelah mereka meningkat remaja, keadaan sudah berbeza, sebab adik beradik saya pun ada anak-anak yang dah besar, dah tak muat.

‘‘Akhirnya kami berpakat bergilir-gilir beraya di rumah emak dan ayah, pagi pasukan lain, tengah hari lain, petang keluarga saya, malam dengan anak yang lain pula, barulah nampak adil. Paling utama kami lebih selesa beraya bersama emak dan ayah. Sambil menikmati juadah yang kami bawa untuk di makan bersama.

‘‘Dengan keluarga suami pula saya fikir lepas kahwin dapatlah saya menikmati suasana beraya di kampung. Maklumlah saya berkahwin di kampung, malangnya sangkaan saya meleset sama sekali. Dari keluarga suami saya tahu, rumah mertua saya itu bukan rumah sendiri cuma rumah sewa dan keadaannya memang teruk.

‘‘Memang benar mertua saya orang kampung. Dengar ceritanya dulu mereka ada tanah dan rumah pusaka, tetapi kerana suka berjudi, maka tanah dan rumah pusaka habis dijual.

Jarang

‘‘Tetapi kini, kami langsung tidak dapat balik kampung, bukan kerana anak-anak dah remaja, tetapi kerana dua perkara paling utama. Pertama kerana rumah itu kecil, kedua kerana adik ipar saya yang sakit turut sama tinggal bersama ibu bapa mertua saya.

‘‘Adik ipar saya sakit setelah bercerai dengan isterinya. Dengar cerita yang sahih mereka bercerai sebab ipar saya jual rumah yang dibelinya kerana gila berjudi. Bukan itu sahaja, malah kereta, barang perhiasan isterinya, perabut rumah dan banyak lagi turut jadi mangsanya, kerana gila berjudi.

‘‘Masalah bertambah teruk apabila pekerjaannya turut menjadi korban kerana pinjaman bank tidak dibayar. Apabila keadaan sudah tidak boleh dikawal lagi perceraian pun berlakulah. Setelah segala-galanya hilang, dia jatuh sakit. Sakitnya memang parah, sakit otak, sebab otaknya terlalu banyak berfikir.

‘‘Sejak dia tinggal di rumah ayah lebih kurang tiga tahun lalu kami dah tak boleh balik ke kampung lagi, sebab keadaannya menjadi semakin teruk, kami sentiasa kena maki hamun. Bukan saya saja, tetapi adik-beradik yang lain pun sama. Kadang-kadang sedih juga dengan nasib mertua saya. Entah sampai bila terpaksa pikul beban tersebut.

‘‘Tetapi sedihnya ayah mertua saya tak dapat pengajaran dan mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku ke atas anaknya itu, beliau masih lagi melakukan hobi yang tidak berguna, duit pencen habis berjudi, ‘menangnya sikit tapi kalahnya memanjang. Amal ibadah entah ke mana, sebaliknya lebih bertarungkan nasib di meja berjudi.

‘‘Saya teringin merasa suasana beraya di kampung. Dapat berkumpul adik-beradik dan anak-anak saudara. Tapi saya tidak dapat merasai suasana itu disebabkan perkara yang saya nyatakan tadi.

‘‘Dulu pernah saudara mara mertua marah-marahkan suami saya. Kata mereka kenapa tak belikan rumah untuk emak ayah, kerana mereka masih sewa rumah. Anak-anak dah bekerja takkan tak boleh belikan sebuah rumah untuk mereka.

‘‘Sedangkan suami saya hanyalah seorang kakitangan beruniform makan gaji dengan kerajaan. Banyak mana sangat gajinya? Lainlah kalau kami ada rumah banglo, kereta mewah, banyak harta. Bolehlah kami belikan rumah untuk ibu bapanya.

‘‘Setiap bulan bayar ansuran rumah, ansuran kereta, makan, belanja makan pakai dan sekolah anak-anak. Kadang-kadang hujung bulan gaji tak berbaki langsung.

‘‘Kerana masalah ini nampaknya tak dapatlah kami anak beranak beraya di kampung macam orang lain. Namun punca utamanya kerana judi, bila dah gila judi, gila main ekor, bukan saja duit habis, harta benda pun boleh lesap tergadai.

‘‘Sekarang anak-anak lain nak jumpa emak ayah pun susah sebab takutkan adik yang dah gila tinggal bersama mereka.’’ Demikian cerita Norlyana panjang lebar tentang masalah kehidupannya yang tak dapat berhari raya di kampung bersama mertua. Semuanya gara-gara gila judi, akhirnya tinggal lidah dengan gigi.

1 comment:

  1. mmm pelik bin ajaib. di negara islam, judi bersepah. kenapa tak boleh diharamkan terus demi menjaga keharmonian rakyat. rakyat didahulukan @ nafsu diutamakan?
    apa kepentingannya lagi utk mengekalkan judi? sbg pendapatan sampingan negara?
    argh.... SYAITAN WIN AGAIN!!!!

    ~Z

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...