terima kasih buat kalian semua..

Friday, September 3, 2010

Imam import jejas peluang tahfiz tempatan


SEOLAH-OLAH menjadi trend terkini, pengambilan imam Tarawih dari luar negara yang semakin bertambah. Saya mendapat maklumat pada Ramadan kali ini, imam dari luar khususnya Mesir memenuhi pelbagai masjid di seluruh negara.

Senario ini kelihatan positif dan baik. Namun, beberapa perkara harus difikirkan secara mendalam oleh masjid terbabit.

Imam hafiz di negara kita tidaklah kurang, bahkan hafiz yang dikeluarkan di maahad tahfiz seluruh negara berjumlah ratusan, malah ribuan orang. Tarawih adalah waktu prima kepada hafiz. Jika ia tidak diguna untuk memantapkan hafazan al-Quran, secara beransur-ansur, al-Quran mula hilang.
Jika bacaan yang ‘sedap’ menjadi punca pengambilan imam luar, saya sarankan pihak masjid menemuduga hafiz bagi memilih mereka yang mempunyai kemampuan suara yang baik.

Ini harus dilakukan tiga bulan sebelum Ramadan. Jika masa suntuk, hafiz ini akan menerima undangan dari masjid lain. Saya pernah dimaklumkan, ada masjid utama di Malaysia yang mencari imam hafiz seminggu sebelum Ramadan.

Masyarakat minat perkara dari luar. Entah apa yang silap, masyarakat Malaysia mempunyai tanggapan apa yang datang dari luar adalah bagus. Contohnya, bahasa asing, kereta luar, barangan import, jenama Barat sehingga ia tertanam kuat dalam jiwa masyarakat.

Saya pernah terbaca di akhbar, pemancing profesional dari Barat. Begitu sekali diberi label kepada pemancing terbabit. Hanya kerana dia dari luar, diberinya gelaran profesional. Saya katakan demikian, kerana saya menjelajah ke beberapa masjid yang diimamkan orang Arab. Bacaannya biasa saja.
Saya boleh menunjukkan beberapa hafiz tempatan yang lebih baik bacaannya daripada imam berkenaan. Namun, ruang tidak diberikan kepada mereka.

Program seperti Akademi Al-Quran dan Imam Muda berjaya menonjolkan ramai hafiz yang mengambil bahagian. Sekalipun hanya seorang menjadi johan, mereka ialah hafiz yang berkemampuan, Cuma tidak bernasib baik. Saya sarankan kepada masjid memilih mereka menjadi imam Tarawih pada masa akan datang.

Imam luar dibayar belasan ribu ringgit. Jika imam jemputan itu Syeikh Muhammad Jibril, Syeikh Misyari Rashid Affasi atau Saad al-Ghamidi, kita harus bersetuju kerana ia memang berpatutan.

Kenapa tidak wang tabungan masyarakat itu diguna secara berhemah untuk anak bangsa sendiri dengan mengambil hafiz tempatan yang berkemampuan. Ini bukan saja melatih, bahkan membantu mereka menjadi imam yang baik pada masa akan datang. Sekiranya bukan kita yang menonjolkan produk kita sendiri, siapa lagi!

INSAN PRIHATIN,
Kota Bharu,
Kelantan

2 comments:

  1. aku setuju ramai kat sini lebih bagus sembahyang pun tertib mengikut cara orang kita

    ReplyDelete
  2. Sokong dan setuju sangat

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...