terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, September 22, 2010

Jaga kesucian, kemuliaan al-Quran dijual di kedai buku..bukan muslim pun pegang apa jadahnya!!


SESUNGGUHNYA amat membanggakan sekali apabila kita melihat trend masa kini di mana semakin ramai orang sukakan ilmu-ilmu Islam. Fenomena ini begitu jelas sekali apabila kita menziarahi gedung-gedung buku terkenal di seluruh pelosok tanah air yang penuh dengan buku-buku agama. Ini termasuklah penjualan naskhah-naskhah al-Quran di dalam pelbagai bentuk dan saiz, tidak kiralah sama ada naskhah tersebut di dalam bahasa Arab, diterjemah ke dalam bahasa-bahasa lain atau pun kedua-duanya sekali.

Namun begitu, satu keadaan yang agak menggusarkan ialah penjualan serta paparan naskhah-naskhah al-Quran yang begitu bebas dan terbuka, tanpa memperhalusi adab-adab yang wajib dijaga apabila ingin berurusan dengan al-Quran.

Gedung-gedung buku bertaraf lima bintang ini setiap saat akan menerima kunjungan pembeli dan pembaca yang beraneka ragam, daripada pembaca kanak-kanak hinggalah kepada pembaca dewasa dan mereka yang bukan Islam. Manakala pembaca Islam juga boleh dikategorikan kepada pembaca yang di dalam keadaan suci dan mereka yang dalam keadaan berhadas.

Dari kecil lagi kita telah diajar untuk tidak memegang al-Quran kecuali di dalam keadaan suci atau berwuduk. Jika dilanggar haram hukumnya dan berdosa. Jika berhadas, memegang al-Quran dengan beralas pun haram hukumnya. Sudah tentulah keadaan di gedung-gedung buku sekarang jauh lebih terdedah lagi apabila al-Quran itu dengan mudahnya boleh disentuh, boleh dibelek-belek oleh orang yang tidak berwuduk, wanita yang sedang dalam haid, atau pun golongan bukan Muslim.

Ini ditambah pula dengan keadaan naskhah al-Quran itu sendiri yang diletakkan sewenang-wenangnya pada rak-rak biasa, setaraf dengan buku-buku yang lain. Kadang-kadang boleh terjatuh, kadang-kadang boleh terlanggar dan kadang-kadang boleh tersentuh.

Bagaimana pula dengan keadaan kakitangan gedung buku yang pasti bukan kesemuanya Muslim? Atau pun jika mereka Muslim, mereka berada dalam keadaan berhadas tetapi terpaksa memegang naskhah tersebut untuk mengeluarkan daripada kotaknya atau menyusun-atur Kalam Suci ini ke tempat yang telah ditetapkan?

Kita sebolehnya tidak mahu penjualan al-Quran di gedung-gedung terkemuka ini ditarik balik kerana niat asal mereka sungguh murni. Tetapi kita wajib mengambil langkah-langkah untuk memartabatkan al-Quran agar kena pada tempatnya dan tidak menimbulkan keadaan yang was-was.

Ayat-ayat al-Quran itu bukanlah karya biasa. Sebagai seorang Islam, kita wajib yakin dan percaya sepenuhnya bahawa al-Quran itu adalah ayat-ayat Allah SWT yang juga merupakan mukjizat junjungan Nabi Muhammad SAW. Kandungan al-Quran penuh dengan hikmah dan teladan. Inilah satu-satunya warisan Rasulullah yang akan kekal terpelihara sehingga Hari Kiamat nanti.

Apabila melihat orang Islam itu sendiri memartabatkan al-Quran dengan memberikan penghormatan yang begitu tinggi, sudah tentulah golongan bukan Islam akan turut menghormatinya dan tidak akan mempermainkannya sebagaimana yang sering terjadi akhir-akhir ini.

Ada baiknya jika naskhah al-Quran termasuk terjemahannya itu diletak di bilik atau di suatu kawasan khusus yang boleh dipantau oleh pihak pengurusan gedung buku. Ada baiknya jika diletakkan juga nota peringatan kepada pembaca dan pembeli untuk berada di dalam keadaan berwuduk jika mahu memegang al-Quran serta nota peringatan untuk menjaga adab-adab khusus apabila membabitkan al-Quran.

Sekiranya tuntutan ini tidak dapat dipenuhi, kita sarankan agar mereka berhenti daripada menjual al-Quran secara terbuka, sebaliknya hanya menjual secara tempahan atau online, atau pun menjual hanya di cawangan khas yang mampu melaksanakan tuntutan-tuntutan di atas dengan baik.

Semoga usaha dakwah yang sedang digembeling ini sentiasa diberkati dan dilimpahi rahmatNya.

Mohd. Rizal Jaapar

Puchong, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...