terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, September 22, 2010

'JUSA Bukan hanya milik PTD'


SAYA sangat tertarik dengan luahan perasaan Usman Laden mengenai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang terpaksa bersara pada gred 54 dalam ruangan ini pada 13 September 2010.

Usman dan kawan-kawannya sepatutnya bersyukur kerana berpeluang pencen di tahap gred 54. Di kalangan perkhidmatan profesional yang lain seperti pegawai pendidikan, pegawai pertanian atau jurutera, terpaksa menerima hakikat bahawa mereka sangat bernasib baik jika dapat pencen di tahap gred 48. Untuk mencapai tahap JUSA sangat jauh sekali.

Ketidakseimbangan peluang kenaikan pangkat adalah kerana tiada jawatan kenaikan pangkat yang banyak di kalangan pegawai profesional. Kebanyakan jawatan tinggi peringkat JUSA adalah khusus untuk PTD. Semua jawatan Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha dan ketua jabatan adalah jawatan tertutup yang hanya disandang oleh PTD sahaja. Pegawai-pegawai profesional ini sememangnya diabaikan peluang kenaikan pangkat untuk sekian lamanya.

Apabila kerajaan menggerakkan program transformasi kerajaan dan ekonomi, struktur perkhidmatan awam seolah-olah tidak cuba mengambil iktibar daripada program besar ini. Selaras dengan hasrat 1Malaysia Menjana Transformasi, adalah wajar perkhidmatan awam melaksanakan transformasi secara besar-besaran ke atas strukturnya.

Struktur transformasi perkhidmatan awam sepatutnya memberi peluang sama rata kepada semua penjawatnya dan mengutamakan prestasi. Untuk merealisasikan tindakan transformasi, langkah berikut wajar dilaksanakan:

n Jawatan-jawatan JUSA dijadikan jawatan terbuka yang mana boleh diisi oleh pegawai-pegawai daripada mana-mana perkhidmatan. Dalam keadaan tertentu, anggota daripada luar perkhidmatan awam juga boleh dilantik ke jawatan ini. Ini membolehkan kerajaan mendapat calon bukan sahaja daripada kalangan PTD, tetapi juga daripada kalangan perkhidmatan-perkhidmatan lain. Dengan demikian, akan berlaku persaingan sihat di kalangan anggota perkhidmatan awam dan hanya mereka yang cemerlang sahaja berpotensi untuk terus maju dan meneraju perkhidmatan awam.

n Jawatan-jawatan JUSA dilantik secara kontrak dan boleh disambung kontrak jika prestasi pegawai berkenaan adalah cemerlang, atau sebaliknya ditamatkan kontrak jika prestasinya tidak mencapai tahap yang ditetapkan. Ini memberi peluang kepada pegawai yang dilantik menunjukkan keupayaan masing-masing dan akan berusaha untuk terus cemerlang.

n Proses pemilihan calon hendaklah dibuat oleh satu badan bebas yang berupaya memilih calon yang terbaik. Ini penting supaya tidak berlaku pilih kasih dan hanya calon berpotensi dan terbaik sahaja dipilih.

Perkhidmatan awam yang cemerlang bukan sahaja milik PTD tetapi milik semua anggota yang berdedikasi, kompeten dan berupaya memberi perkhidmatan cemerlang kepada negara.

Dengan memberi pengiktirafan yang sama rata kepada semua penjawat awam, barulah usaha untuk menjayakan Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi akan mudah tercapai.

Ali Ahmad Ismail

Kuala Lumpur

1 comment:

  1. tak yah la semua post ptd punya mereka je yang buat kerja salute ptd

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...