terima kasih buat kalian semua..

Sunday, September 12, 2010

Ke mana pergi peniaga Melayu selepas Ramadan????


MALAYSIA adalah sebuah negara yang unik dan indah. Pesta Bazar Ramadan memang sesuatu yang dijenamakan sebagai 1Malaysia. Ia menarik semua kaum, semua orang untuk mengunjunginya.

Dari Perlis hingga ke Sabah, banyak lokasi yang telah diperuntukkan bagi tujuan menjual juadah berbuka puasa kepada umat Islam.

Dalam beberapa siri kunjungan saya ke bazar-bazar sebegini, saya amat teruja dengan kesungguhan para peniaganya. Semua peniaga di bazar Ramadan adalah orang Islam, khususnya orang Melayu. Mereka menjual pelbagai aneka masakan untuk tujuan berbuka puasa.

Sebagai ahli perniagaan dan banyak juga terlibat dengan program pembangunan usahawan Bumiputera, saya saja-saja cuba menyelongkar isi hati beberapa orang peniaga ini.

Seorang peniaga nasi kukus di lokasi Bazar Ramadan Kerinchi dapat menghabiskan 80 ekor ayam goreng sehari. Jika seekor ayam dibahagi lapan, ini bermakna sebanyak 640 bungkus nasi dapat dijual dalam sehari.

Sebungkus nasi kukusnya berharga RM4.50. Jumlah jualan boleh menghampiri RM3,000 sehari. Katakan keuntungan yang paling sedikit ialah sebanyak 40 peratus dari jumlah jualan, ini membawa kepada untung sebanyak RM1,200 sehari.

Ini bermakna dalam sepanjang bulanan Ramadan, katakan beliau dapat berniaga selama 20 hari, pendapatannya boleh melebihi RM20,000.

Dalam kunjungan saya ke sebuah lagi lokasi, seorang penjual kuih tepung pelita begitu rancak sekali menjual kepada pelanggan yang bertandang. Kuih pelita biasanya dijual di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu pada kebanyakan musim rupanya menjadi popular di Kuala Lumpur.

Bila bertanya kepada penjualnya, beliau bekerja dengan seorang tauke. Tauke beliau adalah orang Melayu berasal dari Johor, menyediakan juadah ini secara besar-besaran seperti sebuah kilang di rumah.

Kuih tepung pelita ini dijual di lima tapak bazar sekitar Petaling Jaya dan pinggir Kuala Lumpur. Empat bekas yang diperbuat daripada daun pisang berisi adunan tepung beras, gula dan santan dijual dengan harga RM2.00 dibungkuskan dalam plastik kecil.

Penjual di warung yang saya kunjungi menganggarkan jualannya lebih kurang 1,000 tepung pelita sehari. Ini bermakna jualan kuih itu di satu tapak bazar ialah sebanyak RM500.00. Jika lima tapak, jumlah jualan ialah RM2,500 sehari.

Jika dicongakkan keuntungan bersih setelah ditolak semua perbelanjaan dan upah, paling tidak bagi tauke kuih tepung pelita dari Johor ini ialah antara RM1,000 hingga RM1,500 sehari.

Jika beliau berjaya berniaga selama 20 hari dalam bulan Ramadan ini, keuntungan dijangka antara RM20,000 hingga RM30,000. Sungguh lumayan.

Empat orang wanita bersahabat, seorang menetap di Kuala Lumpur dan tiga orang lagi didatangkan dari kampung di Melaka, telah menjual pelbagai lauk-pauk di sepanjang bulan puasa.

Kata mereka, pada tahun lepas mereka memperolehi pendapatan bersih sebanyak RM8,000 seorang untuk berhari raya dengan bekerja lebih kurang 22 hari dalam bulan puasa.

Ia bermakna gerai mereka telah memperolehi pendapatan bersih sebanyak RM32,000. Dengan mengambil kebiasaan margin keuntungan penjualan makanan dimasak sebanyak 100 peratus, kemungkinan jumlah jualan mereka pada tahun lepas ialah RM64,000.

Pada tahun ini mereka berkeyakinan akan memperolehi keuntungan yang lebih banyak lagi. Perasaan ini dilahirkan di saat-saat hujung Ramadan ini berdasarkan harga jualan yang lebih tinggi.

Tidak semua orang menerima nasib yang baik seperti peniaga-peniaga di atas. Seorang ibu tunggal dari Kelantan datang ke Kelana Jaya mencuba nasib, beliau tidak begitu berjaya dalam percubaan kali pertama ini apabila jualannya tidak begitu menjadi. Katanya tahun ini adalah kali pertama dalam percubaannya berniaga kuih.

Beliau membawa modal sebanyak RM8,000 membeli peralatan dan bahan membuat kuih tradisional untuk dijual. Beberapa hari minggu pertama, jualannya tidak menjadi, dan anggarannya meleset menyebabkan kuih yang dibuat terpaksa dibuang begitu sahaja.

Walaupun begitu, di hujung bulan Ramadan ini, beliau tidak pula mengalami kerugian, hanya untung tidak memberangsangkan. Beliau lebih bernasib baik kerana menumpang di rumah menantunya seorang pegawai polis.

Betapa daya tarikan bulan Ramadan yang telah melahirkan begitu ramai peniaga. Tetapi semangat keusahawanan ini tidak kekal lama. Riwayat mereka hanya pada bulan Ramadan sahaja.

Jika kita meletakkan bazar Ramadan di seluruh Malaysia, terdapat 136 daerah dengan sebuah pekan atau bandar sebagai pusat kepada setiap daerah. Sementara setiap satu daerah pula terdapat antara 5 hingga 15 tapak bazar Ramadan.

Dengan purata 10 tapak bazar untuk setiap daerah, akan terdapat 1,360 tapak bazar Ramadan. Satu tapak bazar menyediakan secara puratanya 25 gerai untuk peniaga berniaga. Ini bermakna lebih dari 30,000 peniaga mempunyai tapak untuk berniaga di sepanjang bulan Ramadan. Mungkin yang menjadi persoalannya ke manakah mereka ini pergi selepas bulan Ramadan?

Siapakah orang ini yang muncul sebagai peniaga segera dan kemudian kehilangan mereka juga segera selepas 1 Syawal? Apakah mereka sebenarnya pemilik perniagaan yang sedia ada pada musim bukan bulan puasa, atau mereka ini orang yang mempunyai pekerjaan tetap pada bulan lain dan bercuti pada bulan puasa?

Jika dikatakan mereka ini bukan dari kalangan peniaga atau tidak mempunyai bakat berniaga, mereka tidak pula kelihatan kekok untuk berniaga.

Mereka semua dapat menguruskan pemasangan khemah dengan baik, melayan pelanggan dengan berkesan dan tidak malu-malu memanggil orang ramai yang lalu lalang.

Saya pernah membeli nasi kerabu (nasi ulam) daripada seorang wanita penjual di bazar Ramadan di Shah Alam. Nasi kerabunya sedap sekali, kemudiannya dimaklumkan orang bahawa suami wanita tersebut ialah seorang doktor yang mempunyai klinik sendiri.

Padanlah nasi kerabunya lain dari yang lain, tentu sekali dijaga dari segi kebersihan dan higeniknya. Apa yang menghairankan ialah kenapa beliau berniaga nasi kerabu pada bulan Ramadan, dan di bulan-bulan lain bekerja di klinik membantu suaminya?

Seorang lelaki penjual mi dan kue teow goreng menyatakan beliau mengambil cuti khas tanpa gaji untuk berniaga di sepanjang bulan Ramadan. Kerja sebagai kerani di sebuah syarikat di Kuala Lumpur hanya memberi pendapatan tetap tidak sampai RM2,000 sebulan. Tetapi menjual setiap hari pada bulan Ramadan menjanjikan wang hari raya untuk anak-anaknya yang seramai empat orang.

Daripada pengamatan ini ternyata bahawa peniaga-peniaga di bazar-bazar Ramadan adalah terdiri daripada pelbagai jenis kelompok manusia Melayu atau Bumiputera yang oportunis. Mereka mampu merebut peluang yang ada tanpa segan silu dan tidak kekok menangani keadaan. Mereka mungkin terdiri daripada peniaga kecil-kecilan yang sedia ada, orang yang tidak bekerja tetap, pekerja-pekerja kelas bawahan di pejabat-pejabat awam dan swasta atau mungkin suri-rumah yang mahu mencari pendapatan lebih.

Walau siapa pun mereka, saya melihat dari perspektif pembangunan manusia usahawan. Orang ini adalah mereka yang dianugerahkan sifat semula jadi sebagai seorang usahawan. Mereka tidak kekok berniaga walau berubah senarionya. Perubahan suasana akan pasti berlaku kerana Ramadan hanya setahun sekali, tetapi mereka boleh mengadaptasinya dengan begitu cepat. Mereka boleh sesuaikan diri dengan masa dan tempat. Ini adalah bakat semula jadi selain daripada bersikap oportunis, pandai merebut peluang yang ada.

Tetapi yang menghairankan ialah ke mana mereka selepas habisnya bulan Ramadan. Mereka kembali ke kampung halaman meneruskan kehidupan sebagai petani dan nelayan. Mereka pulang ke tempat kerja asal dan alam perniagaan hanya diteruskan untuk sekali setahun sahaja.

Kita bercakap tentang pembangunan usahawan. Dalam banyak literatur menyatakan jika kita mencari bakat usahawan daripada sekelompok masyarakat, kita hanya akan dapat melahirkan dua hingga empat peratus sahaja usahawan.

Kerajaan telah menghabiskan berbilion ringgit dalam masa yang agak lama untuk mencari, membimbing dan membangun masyarakat peniaga dari kalangan Bumiputera.

Kita mencari mereka dari satu kelompok manusia yang tidak pernah teruji untuk menjadi usahawan. Kenapa tidak sebagai jalan pintas, kita mendaftarkan lebih dari 30,000 orang manusia Melayu atau Bumiputera yang dengan sengaja menguji diri mereka untuk menjadi peniaga.

Mereka menjadi oportunis di bulan Ramadan, dan pihak berkuasa pula yang berhasrat untuk mencari bakat usahawan memilih nama-nama yang berdaftar ini untuk dibimbing, diasuh dan dibangunkan bagi menjadi usahawan yang berjaya?

Oleh Datuk Sohaimi Shahadan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...