terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, September 14, 2010

Kenapa gaji rakyat Malaysia pada puratanya tidak berubah sejak 10 tahun lalu???


KEBELAKANGAN ini kita sering kedengaran hasrat kerajaan melonjakkan kedudukan negara daripada kelompok negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi, selari dengan visi mencapai taraf negara maju menjelang 2020

Apa sebenarnya negara berpendapatan sederhana dan berpendapatan tinggi? Apakah keseluruhan peratus kerajaan mahu pun swasta, khususnya industri perkilangan kita sudah bersedia dan mampu untuk keluar daripada kepompong mereka sekarang?
Kalau dilihat daripada kedudukan industri perkilangan kita sekarang, mereka tidak bersedia malah tidak nampak ada usaha untuk mencapai matlamat ini. Apa tidaknya, kalau mereka masih berada pada takuk lama tanpa bersedia melonjakkan diri daripada industri pembuatan kepada industri lebih inovatif bergantung kepada teknologi dan tidak lagi kepada pekerja biasa yang kurang mahir. Sebab itulah mereka terus bergantung kepada pekerja kurang mahir dan berterusan berpaut kepada pekerja asing yang dibayar gaji rendah.

Pada tahap ini mereka sebenarnya sudah tidak lagi boleh bersaing dengan negara yang juga giat mengeluarkan barangan sama pada kos lebih murah seperti Vietnam, China, Indonesia dan Filipina. Kita sememangnya tidak akan dapat bersaing dengan mereka sebagai pengeluar barangan kos rendah.

Jalan keluar ialah mereka harus sanggup keluar daripada kepompong sebagai pembuat berteknologi rendah kepada pengeluar menggunakan teknologi tinggi dan berdasarkan kepada kemahiran dan inovasi.

Jika industri kita sendiri tidak mahu melonjakkan diri, kerajaanlah yang harus melakukan pelbagai tekanan, baik secara positif dengan memberikan galakan yang boleh mendorong mereka bertukar corak dan pada masa sama mengadakan peraturan memaksa mereka berbuat demikian.
Misalnya tidak lagi membenarkan mereka mengambil pekerja asing hanya kerana tidak sanggup membayar upah lebih kepada pekerja tempatan. Inilah saja jalan yang harus dilakukan untuk mendorong dan memaksa mereka mengubah sikap untuk membantu kerajaan mencapai hasratnya.

Apakah yang dimaksudkan negara berpendapatan sederhana dan berpendapatan tinggi? Mengikut takrif Bank Dunia ia bergantung kepada kedudukan pendapatan kasar negara perkapita (PKNP), yang dibahagi kepada: Negara berpendapatan rendah di bawah AS$975, sederhana rendah AS$ 976-AS$3855, sederhana tinggi AS$3856-AS$11,905 dan tinggi AS$11,906 ke atas.

Malaysia sudah berada dalam kelompok pendapatan sederhana tinggi sejak 2005 lagi dan tahun ini mencecah AS$8,260, tetapi masih jauh daripada mencapai kedudukan PKNP AS$11,906. Apakah boleh kita mencapai kedudukan ini menjelang 2020 menjadi sebuah negara maju seperti disasarkan?

Melihat daripada apa yang berlaku sekarang, banyak yang perlu dilakukan bagi mencapai matlamat ini. Kita perlu beralih daripada berdasarkan pembuatan kepada k-ekonomi berdasarkan pengetahuan dan inovasi, iaitu struktur ekonomi negara perlu berubah.

Dalam tempoh 10 tahun dari 1988 ke 1997, kita mencapai pertumbuhan memberangsangkan pada tahap 9.1 peratus setahun berbanding kadar pertumbuhan hanya 5.5 peratus dalam tempoh 10 tahun berikutnya, 1999-2008 iaitu selepas menghadapi krisis ekonomi 1997-1998.

Mengikut perangkaan sedia ada, saiz KDNK menjelang 2010 berkurangan 26 peratus daripada sasaran Wawasan 2020, manakala tahap pendapatan perkapita sekarang berbeza sehingga 52 peratus daripada sasaran Wawasan 2020.

Pendedahan akhbar The New Straits Times, Ahad lalu bahawa gaji pada puratanya telah tidak berubah sejak 10 tahun lalu patut membuka mata semua yang berkepentingan. Apa tidaknya kalau sehingga kini industri pembuatan kita masih terus bergantung kepada pekerja asing hanya kerana tidak sanggup memberikan upahan lebih munasabah kepada pekerja tempatan.

Sememangnya sering dinyatakan bahawa ekonomi kita sepatutnya sudah melonjak daripada kedudukan sekarang kepada ekonomi berasaskan kemahiran, pengetahuan dan inovasi tetapi industri pembuatan kita misalnya masih tidak bersedia.
Mengikut indeks K-ekonomi Bank Dunia 2009 kita mencatat indeks 6.07 iaitu merosot daripada kedudukan 6.12 pada 1995. Indeks lima negara teratas adalah 9.41, bermakna kita begitu jauh ketinggalan dalam pencapaian K-ekonomi.

Tidak hairanlah mengapa kita berterusan mengambil berjuta-juta pekerja asing tidak mahir yang kini sudah mencecah 30 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja dalam negara. Pada masa sama, negara sudah menghadapi masalah penghijrahan keluar beribu-ribu warga mahir kita.

Kedudukan songsang ini perlu ditangani segera jika kita tidak mahu berhadapan dengan kedudukan lebih mencemaskan. Jalan keluar mesti dicari untuk mengatasi kedudukan songsang ini dengan menyekat kemasukan pekerja asing tidak berpengetahuan dan menampung pekerja mahir kita untuk membantu melonjakkan kedudukan kita.

Oleh Rejal Arbee


Penulis adalah Felo Kanan UKM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...