terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, September 7, 2010

Kenapa harga rumah hari ni semakin melampau2 tinggi!!


Rumah adalah satu keperluan untuk sesiapa sahaja. Rumah juga merupakan satu pelaburan yang amat menarik. Disebabkan ciri-ciri ini, permintaan terhadap rumah sentiasa tinggi. Tidak kira mana-mana negara di dunia, peningkatan permintaan ke atas rumah seiring dengan peningkatan populasi penduduk dunia. Lebih ramai penduduk dunia, maka lebih banyaklah permintaan ke atas rumah.

Faktor inilah yang mendorong harga rumah sentiasa meningkat saban tahun. Lebih-lebih lagi, untuk membina rumah, ia memerlukan tanah, sedangkan tanah di muka bumi ini terhad sifatnya. Tidak kira rumah pangsa atau rumah teres kos rendah mahupun rumah mewah seperti banglo dan kondominium, tanah tetap diperlukan. Saban hari, tanah semakin berkurangan. Bukan sahaja projek perumahan, tetapi juga tanah diperlukan untuk membina pusat membeli-belah, yang mana bukan setakat kaki persegi tetapi berhektar-hektar tanah digunakan.

Malahan, membina bangunan pencakar langit juga memerlukan tanah. Atas ciri inilah, mahu tidak mahu, kita tidak boleh mengelak berhadapan dengan kenaikan harga rumah. Selain itu, rumah juga memainkan peranan penting dalam memajukan sesebuah negara. Lebih banyak rumah didirikan dan mempunyai permintaan yang tinggi, lebih banyak barangan keperluan akan dibeli oleh pembeli rumah. Di dapur, di ruang tamu, di bilik tidur, hatta di bilik air sekalipun, pembeli rumah membelanjakan wang ringgit yang banyak untuk menyiapkan segala kelengkapan.

Tidakkah ini akan menggalakkan perbelanjaan pengguna? Kesan baiknya, pertumbuhan ekonomi akan lebih meningkat dan peluang pekerjaan yang lebih banyak dapat disediakan.

Ini kisah kebaikan rumah. Bagaimana pula kisah buruknya? Kalau dikaji secara mendalam, kebanyakan krisis ekonomi berpunca daripada krisis hartanah. Antaranya, krisis ekonomi di Jepun pada 1992, Sweden pada 1991 dan terbaru krisis kewangan yang dikenali sebagai subprima di Amerika Syarikat sehingga tercatat sebagai krisis ekonomi terburuk di dunia sejak 'Kemelesetan Terbesar' yang berlaku pada hujung tahun 1920-an.

Tidak terkecuali negara China yang dikhuatiri akan berlakunya krisis kewangan yang berpunca daripada hartanah. Apabila berlakunya gelembung aset, yang sengsara bukan sahaja pembeli rumah tetapi juga institusi kewangan yang memberi pinjaman kepada pembeli rumah. Pinjaman yang diberi kepada pembeli rumah tidak dapat dikutip, maka akan meningkatlah kadar pinjaman tidak berbayar (NPL).

Keadaan akan lebih teruk lagi, jika harga rumah amat tinggi dan didorong oleh faktor spekulasi semata-mata. Apabila NPL meningkat begitu tinggi, ekonomi sesebuah negara akan teruk terjejas. Urus niaga dan transaksi biasa akan berkurangan, pengguna akan kurang berbelanja dan akhirnya sistem ekonomi negara tersebut mungkin boleh lumpuh sepenuhnya. Inilah penangan gelembung aset atau hartanah!

Lantaran itu, satu keputusan yang tepat jika Bank Negara Malaysia melaksanakan cadangan untuk menurunkan pembiayaan rumah kedua kepada 80 peratus berbanding 90 peratus pada masa kini. Meskipun risiko untuk berlakunya gelembung hartanah di Malaysia amat rendah, namun cadangan ini baik untuk mengekang atau mencegah kenaikan harga rumah yang didorong oleh faktor spekulasi semata-mata. Bayangkan di negeri seperti Kedah sekalipun, harga bagi sebuah banglo sudah meningkat ke paras RM400,000 sebuah berbanding enam tahun lalu, pembeli masih boleh memiliki banglo berharga RM200,000 sahaja.

Itu di Kedah, bagaimana pula di ibu kota, Kuala Lumpur? Janganlah bermimpi ingin memiliki banglo berharga sebegitu. Harganya kini berjuta-juta ringgit. Harga rumah teres juga lebih kurang sama dengan harga banglo di Kedah. Inilah senario yang berlaku. Kadangkala ramai tertanya-tanya adakah harga rumah ini naik mendadak disebabkan oleh faktor permintaan dan pasaran atau lebih pada faktor spekulasi semata-mata?

Sehingga, ramai yang sanggup mengambil risiko melabur dalam hartanah dan menjual semula kepada pembeli dengan harga begitu tinggi. Dengan cara ini, lahirlah ramai jutawan-jutawan segera hartanah. Salah satu faktornya, betapa mudahnya mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan sehingga kadar pinjaman 90 peratus daripada harga rumah dapat dinikmati.

Pelaburan sebegini sudah menjadi satu trend bagi pembeli rumah kedua dan seterusnya. Apabila harga rumah meningkat, harga barangan yang lain turut dipengaruhi olehnya. Perkara ini akan sentiasa berterusan sehingga menjejaskan kuasa beli rakyat. Trend ini boleh dilihat dengan jelas sekali di Kuala Lumpur. Peningkatan harga barangan seiring dengan peningkatan harga rumah. Jika ia berterusan tanpa ditangani dengan baik, mana mungkin penduduk majoriti Kuala Lumpur dapat meneruskan kehidupan mereka dengan lebih selesa. Keadaan mungkin akan lebih parah lagi apabila diramalkan harga rumah berada pada tahap tertinggi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Justeru itu, dengan melaksanakan cadangan penurunan pembiayaan untuk rumah kedua, ia serba sedikit dapat mengurangkan trend peningkatan harga rumah yang keterlaluan.

Oleh Rohami Shafie

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...