terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, September 28, 2010

Kesedaran menguruskan hutang..


Banyak yang boleh diambil pengajaran di sebalik ayat "wang bukan segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan wang". Memang benar wang bukanlah satu-satunya penentu kebahagiaan kehidupan seorang manusia.

Ada banyak lagi perkara yang boleh membawa kepada kebahagiaan manusia seperti memperoleh kasih sayang daripada keluarga dan mempunyai anak- anak yang soleh.

Namun demikian, dalam konteks sekarang, realitinya segala-galanya memerlukan wang.

Tanpa wang, mana mungkin kita mampu memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak.

Hatta, tanpa wang jugalah mana mungkin kita mampu membeli tilam dan bantal yang empuk untuk dijadikan "teman" dengkuran menandakan nyenyaknya tidur di waktu malam.

Tidak keterlaluan, bolehlah dikatakan amat bernasib baik bagi golongan yang mempunyai wang yang banyak. Lebih-lebih lagi bagi yang sudah memiliki wang yang banyak sejak kecil lagi, hasil usaha mak dan ayah.

Namun, wang yang banyak sekalipun akan hilang begitu sahaja jika kita tidak dapat mengurusnya dengan baik.

Wang sepatutnya menjadi hamba kepada kita dan bukannya kita menjadi hamba kepada wang. Jika ini dapat dilakukan, wang akan sentiasa "mematuhi" perintah kita sehingga membahagiakan kita.

Malangnya, ramai yang suka menjadikan dirinya "hamba" kepada wang. Sebanyak mana pun wang, ia tidak akan cukup jika ia "memerintah" kita.

Lebih malang lagi, jika kerana wang kehidupan kita menjadi lintang pukang sehingga semuanya tidak kena. Cara mengatur kehidupan sebegini sewajarnya dibuang jauh-jauh.

Justeru, apabila menyebut mengenai wang, kita tidak boleh lari dari hal mengurus wang dengan baik. Ini termasuklah kemahiran mengurus hutang yang selama ini ramai yang mengambil ringan mengenainya.

Buktinya, seramai 46,000 peminjam yang tidak pernah membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kalau tidak silap penulis, rata-rata, mereka adalah generasi muda.

Maklumlah pinjaman PTPTN hanya mula diperkenalkan pada tahun 1997 dan ini bermakna usia peminjam yang paling tua mengikut perkiraan penulis, dalam lingkungan 32 tahun.

Tidak mengapalah yang tidak membayar hutang ini terdiri daripada peminjam yang baru sahaja tamat belajar dan mempunyai keluarga yang berpendapatan rendah.

Tetapi bagaimana pula peminjam yang telah bekerja lama dengan gaji yang cukup lumayan?

Hutang tetap hutang. Kewajipan membayar hutang tetap terletak di bahu penghutang.

Sebab itulah golongan mahasiswa bukan sahaja perlu dididik dengan kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan tetapi juga mereka mesti terdidik dari konteks mengurus kewangan terutamanya selepas memperoleh pekerjaan. Ini termasuklah memikirkan bagaimana untuk mengurus segala hutang piutang mereka.

Jika mereka memahami perkara ini dan mempraktikkannya, maka tidak mustahil mereka akan mula memikirkan tentang betapa pentingnya menyediakan simpanan untuk pendidikan anak-anak mereka di kemudian hari agar anak-anak mereka tidak berhutang untuk melanjutkan pelajaran sebagaimana yang berlaku ke atas diri mereka sendiri.

Ini baru hal pinjaman pelajaran, bagaimana pula pinjaman dengan bank seperti pinjaman peribadi dan hutang kad kredit?

Sekali lagi, ramai yang terperangkap dengan hutang sebegini sehingga menyebabkan mereka muflis. Bukan susah pun untuk diisytiharkan muflis.

Hanya dengan jumlah hutang sebanyak RM30,000 dan ke atas, seorang pemegang kad kredit boleh diisytiharkan muflis jika gagal membayarnya.

Maka, tidak menghairanlah ada cadangan agar kadar faedah kad kredit seperti kadar tahunan dan caj kelewatan diturunkan agar tidak membebankan pemegang kad kredit.

Ada juga yang berpendapat bilangan kad kredit dan jumlah maksimum kredit juga patut dihadkan bagi seorang pemegang kad kredit.

Malahan, ada ura-ura yang menyatakan Bank Negara Malaysia akan meningkatkan jumlah pendapatan setahun bagi permohonan kad kredit dari RM18,000 kepada RM24,000.

Kesemua cadangan ini serba sedikit boleh mengurangkan risiko ketidakupayaan membayar balik hutang kad kredit sehingga menyebabkan pemegangnya muflis.

Namun, cadangan ini lebih berbentuk kawalan oleh pihak luar. Adalah lebih baik lagi jika pemegang kad kredit sendiri sedar tentang tanggungjawab mengurus dan membayar hutangnya.

Kesedaran ini seharusnya bermula sejak kecil lagi agar setiap anak-anak kecil ditanamkan sifat integriti dalam semua perkara termasuklah dalam urusan membayar balik hutang.

Jika ia berjaya diterapkan dalam kehidupan seseorang, nescaya walau sebesar manapun hutangnya, beliau tetap berintegriti untuk sedaya upaya membayar balik segala hutang piutangnya dengan penuh rasa tanggungjawab.

Oleh Rohami Shafie

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...