terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, September 28, 2010

Kesian...25 tahun masih minum air perigi...


Ramai penduduk kampung hidap penyakit kulit

KOTA BELUD: Selepas kira-kira 25 tahun, lebih 2,000 penduduk empat kampung di sini tidak lagi sanggup meminum air dari sumber perigi dan telaga tiub yang kini didakwa berkeladak dan kotor.

Kebimbangan mereka bertambah berikutan kes demam denggi yang kini berada di tahap membimbangkan berikutan penyenaraian daerah ini sebagai kawasan panas iaitu tertinggi kes wabak itu di Sabah.

Kampung terbabit adalah Kampung Labuan, Wakap, Tanjung Pasir dan Tanjung Wakap dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan serta Parlimen Kota Belud.

Tinjauan mendapati kesan lumut tebal yang melekat pada tangki plastik dan aluminium untuk menyimpan air dari sumber telaga tiub sudah cukup untuk menceritakan kesan kekotoran air berkenaan.

Kandungan air yang berkeladak dan keruh membimbangkan penduduk terutama yang menetap dekat paya air tawar dan sawah, kemungkinan ia mengandungi bahan kimia kesan racun serangga, baja pertanian dan najis ternakan.

Seorang penduduk Kampung Labuan, Basirin boyoh, 60, mendakwa pada 1980 hingga 1985, kampung itu mempunyai bekalan air mencukupi dari sumber paip namun mula tersekat sejak 1986.

Katanya, Jabatan Bekalan Air (JBA) daerah tidak memberi alasan menghentikan bekalan air ke kampung mereka sedangkan penduduk setempat terus membayar bil air yang disifatkan sebagai membayar `angin' kerana meter air bergerak kesan angin bukan air.
Beliau berkata, sejak itu mereka menggunakan bekalan air perigi sebelum majoriti penduduk menggunakan telaga tiub iaitu kaedah mengepam air dari bawah tanah menggunakan pam air elektrik mulai 1990.

"Kami tidak tahan lagi minum air kotor dan bimbang menjejaskan kesihatan terutama bayi dan kanak-kanak. Kami harap JBA daerah bertindak segera menyalurkan bekalan air paip. Kami hairan kerana paip hampir setiap tahun dinaiktaraf tetapi tiada bekalan air disalurkan," katanya.

DUN Usukan diwakili Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Japlin Akim manakala Ahli Parlimen Kota Belud adalah Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Seorang penduduk Kampung Tanjung Pasir, Atung Makar, 60, mendakwa ramai penduduk kampung berkenaan mengalami penyakit kulit dipercayai kesan penggunaan telaga tiub.

"Ini kerana telaga tiub dikesan menyedut semua air bertakung di bawah tanah kemungkinan termasuk kesan racun serangga, baja pertanian dan najis ternakan.

"Kami mahu Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kimia negeri menganalisis kandungan air berkenaan bagi memastikan ia selamat digunakan. JBA daerah juga hendaklah bertindak segera menyalurkan bekalan air paip," katanya

Oleh Mohd Azrone Sarabatin




No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...