terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, September 15, 2010

Kisah Bapa mertua kaki gaduh, menantu mentah dan pemalas..


KERUNTUHAN rumah tangga bukan sahaja disebabkan oleh orang ketiga, kerana suami atau isteri, tetapi juga kerana campur tangan ibu bapa. Kerana terlalu sayangkan anak biasanya ibu atau ayah tidak akan menyalahkan anaknya sendiri sebaliknya menuding jadi kepada orang lain.

''Inilah yang berlaku dalam rumah tangga abang saya,'' demikian cerita Khairulbariah dalam emelnya. Katanya kadang-kala tujuan baik kita sering disalah ertikan oleh ipar duai, akhirnya berlakulah selisih faham.

''Abang saya berkahwin pada usia agak lewat, isterinya muda 14 tahun daripadanya, ketika berkahwin, isterinya Izan berusia 18 tahun, masih mentah dan banyak tak tahu daripada tahu. Kerana itu emak cuba menasihatinya cara berkemas, memasak dan menguruskan rumah tangga, kerana dia tinggal dengan emak. Tapi semua nasihat macam mencurah air ke daun keladi, dia tak pedulikan langsung. Dia pekakkan telinga.

''Akhirnya emak dah tak tahan beritahu saya minta tolong nasihatinya dengan baik. Walaupun dia masih muda, saya dah beranak pinak, tetapi kerana kahwin dengan abang saya tetap hormatkan dia sebagai kakak ipar. Tapi bukan dia nak dengar sebaliknya mengadu pada ayahnya memburuk-burukkan saya.

''Sepatutnya sebagai ayah yang baik, dia mestilah menasihati anak perempuannya, jangan berpihak, cuba cari masalah, bukan menyalahkan orang lain. Kerana nak menangkan anaknya. Sebaliknya ayah Izan panggil saya ke rumahnya. Berbakul dia nasihatkan saya. Macam saya seorang yang bersalah.

''Sebagai ayah sepatut ayah Izan nasihatkan anaknya hormati suami, dengar nasihat suami, kerana Izan kahwin muda, PMR pun tak lulus, tentu banyak kekurangan, jadi kaji kesilapan anak kita dulu. Bukan serang menantu dan salahkan keluarga menantu.

''Mulanya keluarga kami nasihatkan abang supaya berfikir dua kali sebelum berkahwin, kerana bakal tunangnya terlalu muda daripadanya. Tapi abang berkeras, jadi kami ikutkan kehendaknya. Majlis perkahwinan dilangsungkan.

''Awal perkahwinan dah nampak kelemahannya, mungkin kerana dia tidak tahu mengurus rumah, hinggakan dah kahwin pakaian kotornya dia main longgok dalam bakul, berhari-hari, selagi mak tak masuk dalam mesin cuci, tak bercuci, termasuk pakaian abang.

''Dah basuh tak tahu lipat, menyapu rumah tak pernah, dah masak pinggan mangkuk kotor dibiarkan berkecah dalam sinki. Akhirnya mak sakit jiwa memendam rasa.

''Kerana marahkan saya, Izan merajuk lari ke rumah ayahnya. Ayah Izan suruh abang pindah ke rumahnya. Dan mereka tetapkan abang mesti bayar duit makan.

''Bila dah pindah setiap hari abang datang makan tengah hari di rumah emak, katanya dia tak tahan lapar sebab malam tak pernah dapat makan nasi cuma makan makanan ringan saja.

''Meleleh air mata emak kasihankan abang, emak nasihatkan abang datanglah makan di rumah kalau lapar. Masa berlalu pantas, dan saya terpaksa tutup telinga atas apa juga rintihan abang demi kebaikan rumahtangganya.

''Kerana kasihan juga kami adik-beradik bersetuju dengan pandangan ayah mahu amanahkan rumah pusaka ayah kepada abang. Secara tidak langsung bolehlah abang hidup sendirian bersama isteri dan anaknya tanpa menumpang di rumah mertua.

''Maka bermulalah episod lebih tragis apabila ayah pencen dan kembali ke kampung dan tinggal bersama abang di rumah pusaka ayah. Harapan kami boleh juga Izan menjaga mak yang ketika itu di sering sakit-sakit, tapi lain pula jadinya, emak yang sakit terpaksa masak untuk orang sihat. Izan malas masak. Dia sanggup berlapar selagi emak tak masak dia tak makan. Balik cerita lama.

''Emak beritahu kami, kami adik-beradik cakap pada abang, tapi kalau tak percaya abang siasat dulu. Abang mengaku. Tapi Izan mengamuk marahkan kami. Lantas minta diceraikan. Emak yang sakit terus pengsan, sebab dia terkejut.

''Semasa saya jaga emak di hospital, ayah Izan datang, dia tak sabar-sabar marahkan saya. Saya dengar ceritanya, ternyata dia menyebelahi dan menangkan anaknya.

''Sepanjang perkahwinan, abang memang selalu tak cukup duit, biasanya emak dan sayalah tempat dia minta tolong. Kami bantu mana termampu. Nak jadikan cerita abang diberhentikan kerja, syarikat tempat dia bekerja ditutup.

''Abang dapat pampasan. Saya minta abang selesaikan hutangnya dengan emak dan hutang dengan bank di mana saya jadi penjaminya. Abang setuju. Tepi tak lama kemudian saya terima surat dari bank minta saya jelaskan hutang.

''Izan takut kalau abang bayar hutang duit pampasan habis. Tapi sebelum itu abang dah jual kereta baru, beli kereta lama, dan jual barang-barang lain duitnya abang beri Izan, tapi Izan tamak sanggup dia nak aniaya saya tak mahu bayar hutang.

''Inilah padahnya kalau kurang ilmu macam Izan dan ayahnya, sudahlah kurang ilmu agama, kurang pergaulan, tak suka membaca, tak faham bahasa, jadi hiduplah macam katak bawah tempurung, dia fikir dirinya betul, orang lain salah. Kasihan abang terperangkap dengan kerenah isteri dan mertuanya.

Demikian cerita Khairulbariah tentang iparnya, sebenarnya memang payah berunding dengan orang yang tak mahu muhasabah diri.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...