terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, September 1, 2010

Lambakan guru wanita


ENTAH di mana silapnya dunia pendidikan kini berdepan masalah lambakan guru wanita manakala lelaki pula lebih selesa memilih bidang pekerjaan lain

Alasan kurang mencabar, tidak sesuai dengan jiwa dan gaji sedikit antara faktor penolakan menyebabkan guru wanita mendominasi bidang perguruan biarpun pelbagai usaha dilakukan bagi menarik golongan lelaki.

Berikutan ketidakseimbangan jantina itu, timbul persoalan, sampai bilakah senario ini akan berterusan?

Tokoh Guru Kedah Sayed Mahdzir Sayed Omar, berkata lambakan itu bukannya disebabkan golongan lelaki terlalu memilih, tetapi tawaran kerjaya lain lebih menarik.

Beliau berkata, dulu bidang kerjaya terhad, kini dengan perkembangan ekonomi memberangsangkan, wujud pelbagai bidang pekerjaan yang memerlukan kepakaran tertentu.

"Sesetengah lelaki memilih bidang perguruan, mungkin gagal mendapat pekerjaan lain di luar atau guru adalah pilihan terakhir mereka.

"Dari segi fizikal dan emosi, kerjaya ini lebih sesuai dengan wanita, malah pelajar rasa lebih selesa kerana wanita penuh kelembutan.

"Bagaimanapun, peranan guru lelaki juga penting kerana ada bidang tertentu yang tidak mampu dilakukan guru wanita," katanya

Mengikut statistik Kementerian Pelajaran pada April 2010 mendapati bilangan guru lelaki berkhidmat di sekolah kini ialah 126,580 manakala guru wanita 279,650 orang.

Sayed Mahdzir, berkata sukar meneka mengapa kerjaya guru didominasi wanita namun hakikatnya, golongan itu mempunyai kredibiliti dan kesabaran melaksanakan tugas.

Walaupun guru wanita dikatakan lebih garang, pelajar mudah berkomunikasi dan ini memudahkan proses pembelajaran.

"Guru wanita mempunyai emosi lembut, mudah berunding dan lebih memahami menyebabkan kerjaya ini. Waktu bertugas juga agak fleksibel.

"Meskipun bebanan tanggungjawab semakin berat, mereka berkemampuan apatah lagi kerjaya ini bagaikan tugasan hakiki sejak dulu," katanya.

Namun, katanya, dalam beberapa aspek, kepakaran guru lelaki memang dituntut terutama membabitkan penggunaan fizikal, disiplin dan pendidikan jasmani .
"Malangnya, kekurangan itu menyebabkan guru perempuan terpaksa melakukannya, sudah tentu membebankan.

"Justeru, keseimbangan jantina juga penting bagi memastikan pelaksanaan bidang tugas mengikut kesesuaian mampu dilaksanakan," katanya.

Ditanya apakah bidang tugasan menuntut komitmen penyertaan guru lelaki, beliau berkata disiplin lebih sesuai kerana pelajar mudah memperlekehkan guru wanita.
Katanya, gejala sosial di kalangan pelajar terutama memerlukan mekanisme dan pemantauan sesuai yang hanya berkesan jika ditangani guru lelaki.

"Penting mengimbangi jantina antara dua golongan supaya penyelarasan tugasan dapat diseimbangkan kerana kemampuan guru wanita terbatas.

"Bayangkan apa akan jadi jika krisis ini berterusan, siapa yang akan menanggung akibatnya pada masa depan. Justeru, tindakan agresif perlu dilakukan bagi menarik guru lelaki menyertai kerjaya ini," katanya.

Beliau meminta Kementerian Pelajaran menambah kouta pengambilan guru lelaki selain menyediakan skim gaji lebih menarik.

"Itu antara langkah boleh dilakukan, untuk jangka masa panjang. Dulu, lelaki suka jadi guru, kini sebaliknya.

"Fenomena ini menyedihkan kerana gabungan antara guru lelaki dan perempuan boleh melahirkan kecemerlangan dalam akademik," katanya.

Beliau tidak menafikan kejatuhan disiplin pelajar juga disebabkan kurangnya peranan dimainkan guru lelaki namun bukan aspek kecemerlangan.
"Kewibawaan guru wanita tidak perlu dipersoalkan, mereka komited. Ini bukan masa mencari kesalahan orang lain.

"Selesaikan dulu kekurangan sedia ada. Letakkan kepentingan mendidik anak bangsa di tangga paling atas supaya tidak sesiapa menjadi mangsa," katanya.

>INFO

Lebih 80 peratus atau 54,400 daripada kira-kira 68,000 permohonan untuk mengikuti Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) yang diterima Kementerian Pelajaran bagi pengambilan Jun lalu membabitkan golongan wanita.
Justeru, pelbagai usaha diambil bagi mengatasi kekurangan itu, antaranya mengambil keputusan mengimbangkan pengambilan guru lelaki dan wanita.
Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...