terima kasih buat kalian semua..

Thursday, September 16, 2010

Menelusuri kehidupan sahabat kita yg jauh di pedalaman..


NAMA Long Pasia bukanlah asing meskipun lokasinya nun jauh di ceruk pedalaman hujung Sabah dan diselubungi pelbagai kesukaran perhubungan, termasuk soal berkomunikasi dengan orang luar. Perkampungan di Ulu Padas itu pernah mendapat liputan media berikutan tragedi 13 Mac 2009 yang meragut satu nyawa apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa 10 orang, termasuk pemandu dihanyutkan arus deras Sungai Meligan ketika dalam perjalanan ke Long Pasia

Sungai Meligan sebenarnya hanya di pertengahan perjalanan ke Long Pasia, sebuah perkampungan di sempadan Indonesia, jauh di puncak berbukit yang menjadi kawasan penempatan masyarakat Lundayeh - satu etnik yang ada kaitan rapat dengan Murut di Sipitang dan Lun Bawang di Sarawak.
Agak mengujakan bercerita mengenai Lundayeh kerana ada sebegitu banyak keunikan, khususnya cara hidup mereka yang bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan, namun mampu hidup selesa seperti orang bandar dengan kualiti kehidupan serba lengkap dan boleh dikatakan semuanya ada.

Cuma, jarak amat jauh selain kesukaran meredah perjalanan getir menyebabkan banyak kemudahan rosak dan sudah lama tidak diperbaiki. Ada pondok telefon satelit tetapi sekadar hiasan. Lapangan terbang pula terbiar dan dipenuhi semak dan lalang.

Difahamkan, masyarakat Lundayeh di Sabah memang sudah ada di Long Pasia sedari awal lagi sebelum membina beberapa penempatan baru di rumah panjang Kapan di pinggir Sipitang, Melamam yang turut didiami masyarakat Murut, Bamban, Mendolong, Batu Nuduk dan Long Mio di sekitar Tenom. Semua penempatan baru itu wujud berikutan perpindahan semua lima kelompok masyarakat Lundayeh di sekitar Long Pasia ke Batu Tujuh dekat pekan Sipitang pada 1955 atas cadangan Pegawai Daerah ketika itu. Namun, atas faktor alam dan cuaca, beberapa keluarga mengambil keputusan untuk kembali ke kawasan pedalaman.

Tidak sampai dua tahun, pada awal 1957, keluarga Sia Taban, iaitu bapa Ketua Kampung Long Pasia sekarang, Mudim Sia, nekad membawa seisi keluarga bersama menantunya Kaya Basar, kembali ke Long Pasia. Dua tahun kemudian, mereka dituruti dua keluarga lagi iaitu Laban Padan dan Agung Balang. Ini menjadi titik tolak awal bagaimana semua perkampungan lain terbina apabila semakin ramai mengikut jejak langkah mereka, namun tidak semuanya ke Long Pasia. Ramai juga yang sekadar mendirikan rumah di sepanjang laluan ke situ sehingga membentuk lebih banyak penempatan dengan Mendolong kini menjadi perkampungan terbesar didiami masyarakat itu.
Walau sebesar dan ramai manapun perkampungan baru itu, ia tidak dapat memadam nama Long Pasia sebagai akar pembentukan masyarakat Lundayeh di Sabah, sekali gus menyimpan banyak rahsia serta misteri untuk dijejaki dan didekati, terutama berkaitan cara hidup mereka saban hari yang bergantung sepenuhnya kepada hasil alam.

Cuaca dikaitkan antara faktor utama masyarakat itu tidak tahan tinggal di Sipitang dan lebih sanggup memilih kehidupan lama di pinggir hutan daripada dunia moden. Penulis yang melepasi tiga suku perjalanan masuk ke Long Pasia, juga sudah rasa suhu dinginnya yang menusuk hingga ke tulang.

Hendak disamakan dengan Genting Highlands atau Cameron Highlands, ia tidak sama kerana corak perubahan cuaca di Long Pasia agak pelik. Sebelum memulakan ekspedisi, beberapa orang di Sipitang turut berpesan: “Jika kemarau, sejuk malamnya lebih hebat dan tidak dapat ditahan. Orang Long Pasia sendiri jika tidur, mesti guna stokin, inikan pula kamu dari Kuala Lumpur.”

Memang benar, dan setiap kali membuka mulut, wap sejuk turut keluar. Sambil bergurau, pengiring kami di Long Pasia berkata: “Mungkin kerana itulah tidak ramai di sini merokok sebab asap asli sudah ada. Tak perlu lagi asap lain.”

Perubahan cuaca yang pelik itu dibuktikan apabila pada hari kedua, hujan lebat dan sepatutnya suhu lebih dingin berbanding pada malam sebelumnya. Anehnya pada malam itu, kami tidak perlu berselimut kerana suhunya tidak sesejuk mana. Pelik bukan? Tetapi inilah keunikan utama di Long Pasia, selain seksa meredah perjalanan lima jam dilambung jalan tanah merah yang menyakitkan.

Keunikan lain adalah modennya kehidupan di Long Pasia dan Lundayeh yang dilabelkan masyarakat Ulu pada awalnya. Dengan hampir setiap rumah dilengkapi alat elektrik solar, piring saluran televisyen berbayar yang menghiasi majoriti bumbung rumah di situ meletakkan mereka setaraf kehidupan di bandar. Apa dikisahkan kerosakan telefon satelit kerana segala urusan perhubungan dengan masyarakat itu mudah berikutan akses internet di Perpustakaan Desa. Malah majoriti remajanya ada akaun Facebook!

Di sini turut tersergam banglo yang turut dilengkapi enam bilik. Tidak hairanlah dengan kunjungan kerap pelancong, ramai sudah pandai berniaga dan menjadikan rumah mereka homestay atau inap desa.

Melihat kepada kehidupan mereka, tidak langsung menampakkan kesukaran untuk hidup selesa, sedangkan sumber pendapatan mereka hanyalah bercucuk tanam secara kecil-kecilan iaitu padi, lada dan pelbagai jenis sayuran. Nak dikatakan maju dalam pendidikan, tidak ramai sebenarnya yang berjaya lantaran kesukaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah di Sipitang.

Tanaman secara kecil-kecilan, namun kualiti hasil kebun mereka sangat tinggi. Tidak cukup sepinggan makan nasi di situ walaupun hanya dihidang bersama sardin dengan tiga jenis sayur. Semuanya kerana keenakan dan kelembutan nasi daripada padi yang ditanam sendiri. Ditambah pula rasa pedas lada (cili api), yang ditanam sendiri. Masakan mereka ringkas tetapi menyelerakan.

Bagi mereka yang biasa dengan suasana riuh rendah dan bingit kenderaan di Kuala Lumpur, nyata kunjungan ke Long Pasia memberikan impak sebaliknya. Bukan sekadar sunyi sepi sejak awal pagi, malah tidak ubah seperti bumi tanpa penduduk. Cuma sesekali kedengaran bunyi salakan anjing, haiwan yang paling disayangi di situ. Kebanyakan penduduk akan berada di kebun atau berkurung dalam rumah melakukan kerja seharian. Sukar sekali untuk bertembung mereka di jalan atau di mana saja pada waktu pagi. Kedai koperasinya juga sunyi seperti tiada pembeli. Sekolahnya tidak begitu jauh dan agak sepi. Long Pasia memang kampung yang sunyi sepi!

Namun, itulah yang menjadikan perkampungan itu begitu unik sekali. Jauh daripada kebingitan deruman kenderaan dan hingar bingar kehidupan kota menjanjikan sebuah kedamaian yang tidak ternilai dan sukar diperoleh di mana-mana. Long Pasia dengan masyarakat Lundayeh berada dalam dunia mereka tersendiri.

Mahu melabelkan mereka tidak aktif juga tidak tepat kerana ramai juga yang berjaya dalam bidang sukan terutama bola sepak. Nama seperti Rony Harun, Harun Laban dan Andrew Laban bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak. Mereka berasal dan membesar dalam kehidupan di Long Pasia. Di sebalik kesunyian pagi, petangnya pula riuh rendah dengan pelbagai aktiviti sukan seperti bola sepak, futsal dan bola tampar membabitkan kanak-kanak hinggalah ke dewasa, lelaki mahupun wanita.

Hakikatnya, Lundayeh dan Long Pasia tidak seperti digambarkan. Perjalanan memenatkan ke situ pastinya berbaloi dan ia menjadi antara penyebab utama begitu ramai pelancong gemar mengunjungi perkampungan itu dan mendekati masyarakat Lundayeh. Tidak hairan juga, ketika kunjungan kami, ada kumpulan lain turut turut berada di sana, termasuk pelancong dan penyelidik dari pelbagai agensi termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).


‘Jalan raya teruk, lapangan terbang terbiar’

JARAK 123 kilometer (km) tidak begitu lama untuk sampai di Semenanjung iaitu antara Ipoh ke Kuala Lumpur yang sekadar memakan masa lebih kurang dua jam melalui Lebuh Raya Utara Selatan. Namun, dengan jarak sama, perjalanan dari Sipitang ke Long Pasia memakan masa lebih lima jam!

Kelajuan memandu di lebuh raya yang boleh mencecah 110km sejam di Semenanjung, pengalaman menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui jalan tanah merah laluan lori balak menyaksikan pecutan paling laju hanya sekitar 30km sejam, itupun sesekali ketika jalan rata dan lurus yang mungkin jaraknya cuma 100 meter.

Tak cukup dengan itu, keadaan jalan raya yang tidak rata menyebabkan perjalanan itu lebih menyeksakan. Bagaimana mahu selesa jika menurut pemandunya, sekali keluar masuk Long Pasia, pasti ada bahagian kenderaan yang rosak terutama sistem penyerap hentakan dan brek.

Pendek kata, jalan ke Long Pasia bukan setakat teruk tetapi hanya bertaraf denai. Ia laluan berlubang, memerangkap tayar kenderaan dan pencetus malapetaka. Itu saja yang sesuai untuk digambarkan. Justeru, ketika penulis kali melalui jalan itu, terasa serik untuk kembali semula ke sana.

Penulis bersimpati dengan nasib masyarakat Lundayeh di Long Pasia. Hasil tanaman yang berkualiti serta kemampuan untuk bersaing dengan orang lain tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana laluan sukar untuk ke bandar. Orang luar pun berfikir beratus kali jika mahu ke sana. Mungkin inilah puncanya kenapa peralatan yang rosak, antaranya telefon satelit di kampung itu mengambil masa bertahun untuk diperbaiki. Semuanya mungkin kerana masalah perhubungan.

Dulu Long Pasia memiliki perkhidmatan kapal terbang kecil yang khabarnya mengenakan caj RM30 untuk sekali penerbangan tetapi kini ia hanya tinggal kenangan. Tapak lapangan terbangnya sudah menjadi ladang lalang, sedangkan tiada seorangpun tahu mengapa perkhidmatan itu dihentikan. Jika kerana kos tambang rendah, mereka sanggup membayar lebih asalkan mudah untuk keluar ke bandar atas sebarang urusan dapat dijalankan.

Untuk ke Long Pasia hanya ada satu cara. Dari Kota Kinabalu, menaiki kereta sewa ke Sipitang yang memakan masa hampir tiga jam. Dari Sipitang pula, berharapkan nasib baik, ada kenderaan pacuan empat roda yang boleh ditumpang dengan bayaran antara RM50 ke RM100 untuk sekali perjalanan seorang. Itupun jika ada kenderaan dan sedia membawa anda.

Perjalanan merentasi jalan hutan balak itu melalui beberapa perkampungan kecil lain yang turut didiami masyarakat Lundayeh dan Murut iaitu Melamam, KPD, Bamban, Mendolong, Ulu Bole, Mengayam, Meligan, Iburu, Batu Nuduk dan Long Mio. Perjalanan sebaiknya dimulai pada waktu pagi kerana jika bertolak petang, kemungkinan untuk meredah gelap malam yang menjanjikan seribu bahaya serta rintangan menyukarkan.

Begitulah gambaran ringkas bagaimana ke Long Pasia. Meskipun sukar untuk ke perkampungan mereka, amat berbaloi untuk ke sana, menikmati dunia alam semula jadi, khazanah hutan daranya.

Info
Long Pasia

  • Terletak di Sipitang iaitu di barat daya Sabah, berhampiran Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

  • Long Pasia bermaksid ‘mulut Sungai Merah’ dalam bahasa etnik Lundayeh.

  • Jarak perjalanan Sipitang- Long Pasia adalah kira-kira 123 kilometer.

  • Hanya boleh dihubungi menerusi jalan hutan balak.

    Etnik Lundayeh

  • Etnik yang ada kaitan rapat dengan Murut di Sipitang dan Lun Bawang di Sarawak.

  • Masyarakat ini ada di Long Pasia sejak awal lagi. Malah Long Pasia menjadi akar pembentukan masyarakat Lundayeh di Sabah.

  • Penempatan baru etnik Lundayeh di rumah panjang Kapan, pinggir Sipitang tetapi ramai kembali ke Long Pasia.

  • Cara hidup mereka saban hari bergantung sepenuhnya kepada hasil alam.

  • Cuaca dikaitkan antara faktor utama masyarakat itu tidak tahan tinggal di Sipitang dan lebih sanggup memilih kehidupan lama di pinggir hutan daripada dunia moden.

  • Hampir setiap rumah dilengkapi alat elektrik solar, piring saluran televisyen berbayar yang meletakkan mereka setaraf kehidupan di bandar

  • Oleh Azrul Affandi Sobry



    No comments:

    Post a Comment

    Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...