terima kasih buat kalian semua..

Monday, September 27, 2010

Minum arak..tapi tak makan babi..sebab babi haram...


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca yang budiman sekalian. Sebelum nukilan ini diteruskan ingin saya mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin sekiranya anda ada rasa terguris atau marah dengan penulisan saya sebelum ini.

Sesungguhnya yang baik itu semuanya adalah dari Allah Taala dan yang buruk itu semuanya dari Anwar Ibrahim. Oh ya sebelum saya lupa juga Selamat Menyambut Hari Malaysia pada 16 September dengan tema tahun ini “Harapan Menuju ke Putrajaya, Harapan Tinggal Harapan.”

Kali ini penulis akan cuba membincarakan isu yang cukup sensitif yang melibatkan orang-orang Melayu. Mengikut perlembagaan takrifan orang Melayu itu mestilah beragama Islam, jadi tak usahlah anda nak beria-ria terasa semangat Asabiyyah sebab tajuk perbincangan kita berkisarkan Melayu.

Pasti ada yang mempersoalkan apa kejadahnya si Zaidel ini tiba-tiba membincangkan mengenai perkara-perkara yang cukup sensitif di kalangan orang Melayu. Yakni dua perkara yang haram untuk diminum mahupun dimakan di sisi Islam. Tidak, bukanlah niat saya untuk mempersoalkan Majlis Fatwa Kebangsaan atau mana-mana ahli politik yang bergelar Tuan Guru, akan tetapi sekadar pemerhatian saya mengenai sensitiviti yang jauh berbeza di kalangan orang Melayu mengenai dua perkara yang haram ini. Sebagai contoh mari kita lihat situasi di bawah ini.

Encik Romzi Talib Ibrahim (rekaan semata-mata) pergi makan di Restoran Makanan Laut Wong Kah Siang 888 (rekaan semata-mata) dan mula memesan makanan kepada pelayan berbangsa Myanmar yang jauh lebih fasih berbahasa kebangsaan dari kebanyakan rakyat Malaysia.

“Ni, ketam ni ketam laut ke ketam dua alam ni?”

“Ni ketam laut encik bukan ketam batu yang sungai tu.”

“Betul ke ni?”

“Ye encik semua makanan sini makanan laut yang halal” jawab Pelayan itu.

“Awak takde letak apa-apa minyak babi ke apa ke?”

“Minyak babi tak letak dengan ‘seafood’ encik, lagipun minyak babi mahal, rugi.”

“OK bagus, kalau macam tu bagi saya ketam cili, kailan, nasi tiga dengan ikan ni satu”

“Minum apa encik?”

“Ah kasi Carlsberg satu jug.”

Walaupun terkedu dengan pesanan Encik Romzi yang cukup mengelirukan, Mazhab manakah agaknya yang diambil kira ketika memesan makanan (Barangkali Mazhab Ayah Pin), namun kenyataan ianya begitulah. Yakni, orang Melayu ni anehnya yang begitu sensitif tentang soal babi tidak mempunyai sebarang masaalah tentang soal arak, maka di sinilah perbincangan kita bermula tentang mengapa dan pemikiran orang Melayu boleh jadi begitu.

Antara babi dan arak

Di dalam minda orang Melayu secara umumnya bila disebut babi, tidak seperti orang-orang China. Mindanya tidak akan membayangkan masakan-masakan enak babi panggang dengan kulit coklat merekah lagi berminyak. Akan tetapi terbayang di mindanya seekor binatang yang hodoh, gemuk serta memakan sampah, sisa kumbahan najis dan bau busuk yang mencemar sungai serta alam sekitar.

Pada masa yang sama apabila disebut arak, tidak pula terbayang wajah kanak-kanak yang mati akibat dari pemandu mabuk, atau air kencing iblis apatah lagi anggur basi yang dipijak kaki perempuan anak dara tua dari Eropah. Apa yang terbayang ialah Encik James Bond dengan berpakaian cantik memesan Martini yang dikocak, bukan dikacau.

Terima kasih kepada media massa barat yang menayangkan serta membawa budaya yang mengaitkan sesuatu yang haram itu kepada perkara-perkara yang menarik maka penerimaan terhadap arak itu adalah lebih baik dari babi dan saya syak ini berlaku bukan sahaja di Malaysia. Lagipun pernahkan anda melihat seorang pengintip antarabangsa memesan “bak kut teh” sambil ditemani gadis jelita? Sesungguhnya tidak!

Alang-alang dah haram....

Saya sendiri juga pernah mempersoalkan perkara ini, yang mana alang-alang dah buat benda haram, contohnya seperti meminum minuman keras, kenapa pula hendak menjaga tentang soal halal-haram yang lain. Sebab saya pernah terjumpa dengan dua golongan yang boleh dikatakan sedikit aneh yang mana, golongan pertama, lelaki Melayu yang main perempuan tetapi tidak minum arak, golongan kedua adalah Melayu minum tapi langung tak berani main perempuan sebelum berkahwin, zina dijauhi, apa kejadahnya?

Memang pelik kalau difikirkan akan tetapi pernah saya menerima jawapan bernas yang saya pasti merupakan corak pemikiran secara umum orang Melayu.

“Dah satu dosa tu cukuplah yang nak tambah-tambah lagi buat apa, ye lah aku dah buat salah, itu kelemahan aku tapi yang menggatal nak tambah dosa berbakul-bakul apa kejadahnya?”

Haram tetap haram

Sebab itu apabila saya terdengar golongan Melayu minoriti yang berbincang soal keMelayuan dan hukum Islam sambil memegang segelas wine merah hasil dari kekayaan kontrak DEB (kini menjadi pengkritik DEB) yang menyatakan sebenarnya batas undang-undang serta golongan haluan kanan yang menyebabkan Melayu secara umumnya tertekan untuk tidak menjadi lebih “liberal” itu adalah suatu kenyataan yang tidak berapa tepat.

Sebagai contoh kita lihat dalam kes sebat Kartika, yang mana walaupun dari segi suasana politik sekarang, masih tidak mendapat tentangan keras dari orang Melayu secara umumnya dan sesetengah pihak agak terkejut apabila tidak mendapat sambutan golongan perempuan Melayu muda. Yang nampak adalah golongan bukan Islam yang lebih kehadapan, malah lebih membuatkan isu ini kelam adalah apabila Kartika sendiri tidak melakukan apa yang sesetengah pihak harapkan apabila dia lebih pasrah dari marah, insaf dari bantah.

Kerana walaupun anda menjerit soal hak asasi manusia, soal hak wanita dan sebagainya, sebagai orang Islam perbuatan itu sendiri telah dianggap salah, iaitu meminum arak, apatah lagi di halayak ramai. Mentalitinya mudah, yang haram tetap haram walaupun kadang-kadang kita tidak berasa selesa denganya.

Kesimpulan

Barangkali itulah kesimpulan yang dapat kita lihat dari segi pemikiran orang Melayu secara umumnya (saya kata umumnya, bukan semua). Paling kurang pun, kesimpulan yang saya buat berdasarkan pemerhatian saya sendiri, tanpa apa-apa kajian mahupun statistik.Kalau tidak bersetuju nyatakanlah tanpa segan silu.

Bagi saya menarik melihat “paradoks” atau percanggahan pemikiran yang ada di kalangan orang Melayu dan ini bukan sahaja terbatas terhadap tajuk di atas sahaja. Sebagaimana ada perempuan yang tidak bertudung tidak membantah hukum hudud dan lelaki lembut (mahu jadi perempuan) boleh hadir menunaikan sembahyang Jumaat.

Bukan saya menghalalkan apa-apa tindakan di atas, cuma sekadar merenung sesuatu yang di perhatikan sejak sekian lama, pelik tapi benar. Barangkali kesimpulan yang terbaik boleh saya terbitkan adalah suatu ayat yang pernah saya dengar suatu ketika dahulu: “Orang Melayu ni boleh ajak minum, boleh ajak makan babi tapi jangan harap langsung nak suruh dia keluar Islam.”

Zaidel B or Sinatra_Z is an electronics engineer and he blogs at Catatan Seekor Lipas. http://www.lipassepi.blogspot.com/

2 comments:

  1. Salam, suatu hari saya pergi kerumah seorang kawan berbangsa india pada perayaan deepavali. Melihat sahaja kueh muehnya sama macam kueh Chow Kit Road, saya tidak begitu bimbang dihati. Tapi minuman mereka semuanya arak. Disana mereka cuba mengajar saya tentang hukum haram . Mereka kata minum satu tin tak haram, minum banyak tin barulah haram. Ada akai ka ?

    ReplyDelete
  2. opening tulisan ni dah salah....yg baik itu dtng dari Allah S.W.T dan yg buruk itu semuanya dr Najib Razak..bukan Anwar Ibrahim

    dr TG

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...