terima kasih buat kalian semua..

Sunday, October 3, 2010

Anda pernah buat tuntutan insurans bila eksiden??? Pengguna malas buat aduan galak bengkel tipu ..


PENIPUAN oleh pemilik bengkel kereta bukan perkara baru. Pasti ada yang pernah menjadi mangsa, apatah lagi pada musim perayaan. Kebanyakan kes tidak dilaporkan kerana tidak tahu cara atau malas memanjangkan cerita. Atas kesedaran ini, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nawi sedia berkongsi pengalaman kerana tidak mahu pengguna lain menjadi mangsa penipuan sepertinya. Teksinya yang baru dibeli enam bulan lalu terbabit dalam satu kemalangan di Bukit Tinggi, pada Jun tahun ini.

Berikutan itu, laporan polis dibuat dan beliau mengarahkan penarik kereta menghantar kenderaan ke bengkel Edaran Otomobil Nasional (EON)

Menceritakan detik cemas, Nawi berkata, pada 25 Jun lalu, beliau dalam perjalanan balik ke Raub, Pahang.
Ketika menuruni kawasan bukit, di satu selekoh, beliau melihat sebuah kereta Gen 2 berhenti di tengah jalan dan cuba mengelak ke kiri selepas melihat ada bas di kanan, selain ada pembahagi jalan. Oleh kerana memikirkan keselamatan keluarga, beliau tiada pilihan, selain merempuh kereta itu.

Dek terkejut dan memikirkan majlis kenduri keluarga yang mahu dihadiri, beliau menyerahkan segala urusan kepada penarik kereta. Akibatnya, sekembali dari kampung, beliau dimaklumkan kenderaan itu dihantar ke sebuah bengkel kononnya panel EON yang tidak diketahuinya.

Nawi pasrah kerana sudah menghantar kereta ke situ, selain membenarkan bengkel membaikinya. Selang beberapa hari, beliau kembali ke bengkel berkenaan dan terkejut apabila mendapati harga dikenakan tidak sepadan kualiti alat ganti yang dipasang.

“Sekalipun jumlah itu boleh dituntut daripada syarikat insurans tetapi biarlah alat ganti sepadan dengan harga. Barang yang mereka tukar tidak sepenuhnya.
Ada barang baru, ada yang lama. Tidak sepadan dengan nilai RM11,000 yang diminta, sedangkan ia selayaknya antara RM300 atau RM400. Mungkin pengguna lelaki seperti saya faham mengenai kereta tetapi bagaimana pula dengan pengguna perempuan,” katanya.

Berasa ditipu dan perlu berkongsi pengalaman bersama pengguna lain, Nawi membuat aduan kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Bertindak atas maklumat diberikan itu, KPDNKK dan NCCC pergi ke bengkel berkenaan bersama pengadu dan pihak media.

Sebaik sampai di kawasan bengkel, wakil media tidak dibenarkan mendengar perbincangan antara pengadu, Pegawai Kanan Undang-Undang NCCC, Matheevani Marathandan dan Penolong Pengarah Pasukan Petugas Khas KPDNKK, Zubir Hamsa.

Bagaimanapun, wakil media berjaya mendapatkan inti pati perbincangan, antaranya pengurus bengkel mempertikai kedatangan pemilik kereta bersama pihak berkuasa dan media. Pengurus bengkel mengakui berlaku salah faham antara pemilik kenderaan terhadap senarai alat ganti yang perlu ditukar.

“Apa yang dia minta saya akan bagi kerjasama; dia minta kami tukar barang, kami akan tukar tetapi dia tidak berpuas hati dan datang bersama pemberita dan KPDNKK,” katanya.

Ditanya mengenai perubahan pada caj selepas penukaran alat ganti baru, pengurus itu berkata, perbincangan dengan pihak insurans perlu dilakukan dan berjanji menyelesaikan masalah dalam tempoh seminggu. Namun, keengganan pemilik kereta menandatangani dokumen pelepasan menyebabkan pihak bengkel tidak dapat bertindak selanjutnya.

“Rakan saya menasihatkan jangan tandatangani apa-apa dokumen jika tidak pasti alat apa yang diganti dan mohon bengkel untuk menjelaskan satu persatu. Dalam kebanyakan kes, kalau ditandatangani dokumen pelepasan pasti pihak bengkel tidak akan ambil peduli selepas itu,” kata Nawi.

Sementara itu, Zubir ketika diminta mengulas, berkata pihaknya akan menyiasat kes itu dan mengakui ada beberapa peralatan yang didakwa ditukar tetapi tidak ditukar dan menggunakan alat ganti lama.

“Jika bersalah mengikut Akta Perlindungan Pengguna, pemilik bengkel boleh didenda RM100,000,” katanya.

Syarikat insurans dihubungi mengakui timbul salah faham antara kedua-dua pihak dan mengatakan bengkel memberi alasan kereta masih belum siap ketika pemilik kenderaan datang melawat.

Malah, pemilik kereta dikatakan tidak faham pada peringkat awal mengenai beberapa perkara seperti peralatan yang tidak rosak akibat kemalangan tidak diganti.

“Penyiasat kami pergi semula ke bengkel bersama pemilik kenderaan untuk memastikan semua peralatan diganti. Selepas meneliti beliau berpuas hati dan mendapatkan kenderaannya. Kenderaan masih dalam jaminan dan jika pemilik tidak berpuas hati dengan alat ganti atau mutu kerja, beliau masih boleh membuat aduan semula,” katanya.

Selang beberapa hari, pemilik kenderaan dihubungi bagi bertanyakan perkembangan mengenai aduan dan ternyata jawapannya positif kerana bengkel memberikan kerjasama dengan menukar alat ganti menggunakan yang tulen.

Malah kata Nawi, bengkel EON mengesahkan semua alat ganti yang ditukar tulen dan mutu kerja membaik pulih juga memuaskan.

“Nasihat saya kepada pengguna, sebelum menuntut kenderaan yang dibaiki, kita perlu meminta mereka menjelaskan satu persatu yang ditukar apa tidak supaya kita tidak ditipu,” katanya.

KEMALANGAN pada musim perayaan adalah lumrah di negara ini. Sebelum dan selepas perayaan pasti ada saja pengguna terbabit dalam kemalangan. Perangkaan Ibu Pejabat Polis Cawangan Trafik Bukit Aman mencatatkan 16,817 kemalangan berlaku sepanjang Ops Sikap sempena sambutan Aidilfitri tahun ini

Justeru, tidak hairan jika penarik kereta dan bengkel berganding bahu mencari mangsa ketika itu. Penarik kereta dengan pujuk rayu menawarkan diri menghantar kereta ke bengkel yang dikatakan memberi perkhidmatan terbaik. Sejauh mana dakwaan itu benar hanya mereka yang tahu.
Di pihak pengguna pula, kebingungan memikirkan kerosakan kereta membuatkan mereka menyerahkan ‘bulat-bulat’ kepada penarik kereta, tanpa memikirkan ke mana kenderaan itu dibawa. Apa yang mereka mahu, kereta dibaiki dan boleh digunakan semula. Tambah mengecewakan apabila mengetahui tidak ramai di kalangan pemilik kenderaan memahami selok-belok komponen kereta. Kekurangan ini menjadi durian runtuh kepada pengusaha bengkel yang gemar menghisap darah pengguna.

Hakikatnya, walaupun menyedari ditipu tidak ramai individu tampil mengadu atau bertindak. Mereka sekadar membebel pada diri sendiri dan seterusnya mencari bengkel lain untuk membetulkan kenderaan yang tidak sempurna dibaiki atau menggunakan alat ganti palsu.

Kelaziman ini jika tidak dibendung bakal menjadi kudis dan seharusnya usaha seperti mendakwa pemilik bengkel kereta membuat tuntutan palsu berhubung penyelenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif milik kerajaan negeri Terengganu tiga tahun lalu, dijadikan pengajaran sekalipun si pelaku terlepas daripada dakwaan.

Mungkin akta khusus untuk melindungi pemilik kenderaan bermotor belum diperkenalkan di negara ini. Ia tidak bermakna pengusaha bengkel boleh sewenang-wenangnya menipu pengguna.
“Mereka harus bertanggungjawab membantu pengguna, bukan sebaliknya. Apa yang pasti kebanyakan bengkel tidak bertanggungjawab ini akan mengambil kesempatan tidak kira sesiapa saja asalkan ia menguntungkan mereka.

Sikap acuh tidak acuh kebanyakan pengguna yang hanya tahu merungut tetapi gagal bertindak, merancakkan lagi perbuatan mereka. Aduan diterima Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) membuktikan wujud penipuan sebegini tetapi hanya segelintir yang berani tampil. Setakat Januari hingga Julai tahun ini NCCC menerima 124 aduan. Jumlah itu tiada bezanya berbanding 2008 (127 aduan) dan 2009 (152 aduan).

Perkara ini diakui Pegawai Kanan Undang Undang NCCC, Matheevani Marathandan dan kebanyakan penipuan katanya, membabitkan alat ganti tiruan, caj mahal, tidak mengikut janji awal, kerja baik pulih kenderaan mengambil masa terlalu lama dan cuai serta perkhidmatan pelanggan yang teruk.

“Masalah membabitkan bengkel kereta sudah mencapai tahap kritikal dan mengikut peraturan, bengkel kereta perlu menunjukkan alat ganti baru dan menjelaskan sebaik mungkin kepada pengguna agar masalah seperti ini tidak berlaku. Saya harap Akta Kenderaan Bermotor digubal secepat mungkin dan diwartakan bagi mengelak lebih banyak masalah timbul,”katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemilik Kenderaan Bermotor Malaysia (MOVA), Ahmad Zaki Ariffin mengakui pernah mendedahkan penipuan alat ganti tiruan mengakibatkan pengguna kerugian RM1 bilion.

“Masalah ini bukan baru, sudah lama, pengusaha bengkel baik kecil atau besar tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan di atas kejahilan kebanyakan pemilik kenderaan. Saya mahu pengguna jangan ambil mudah perkara ini, kalau berasa diri ditipu, segera buat laporan sama ada kepada MOVA atau kementerian.
MOVA akan cuba membantu sedaya mungkin untuk menyelesaikan masalah mereka,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad kesal sikap sesetengah pengguna tidak peka dengan hak mereka dan mudah menyerahkan segala-galanya kepada bengkel sehingga mereka berdepan pelbagai masalah.

“Kami banyak terima e-mel daripada pemilik kenderaan, jadi apa yang penting ialah ketika menghantar kenderaan ke bengkel perhatikan secara teliti kerosakan terbabit. Semak satu persatu dan dapatkan kerjasama penilai (adjuster).

“Keduanya, kita mesti dapatkan kerjasama syarikat insurans dan pastikan mereka menjelaskan sepenuhnya semua alat ganti yang sepatutnya ditukar untuk kerosakan kereta, berdasarkan perlindungan yang tertera dalam polisi. Jangan biarkan bengkel mengambil kesempatan membuat keuntungan,” katanya.

Ahmad berkata, masalah ini pernah beberapa kali dikemukakan kepada kerajaan dan tindakan pernah diambil menerusi kementerian ke atas bengkel yang dilaporkan gagal menyenaraikan harga alat ganti.

“Tindakan itu dilakukan sekejap saja dan selepas itu senyap. Apa yang saya harapkan, KPDNKK terus ambil tindakan sebaik saja terima aduan, cepat-cepat buat pemeriksaan. Kalau boleh rangka undang-undang yang sesuai,” kata Ahmad.

Perkara ini perlu diteliti dengan serius kerana ia membabitkan nyawa pemilik kenderaan dan kos yang tinggi. Apatah lagi pengguna dianggarkan menggunakan sepertiga daripada pendapatan untuk penyelenggaraan kenderaan. Menyedari industri ini menjanjikan pulangan yang lumayan, kebanyakan bengkel berani menipu pengguna tanpa memikirkan padah perbuatan mereka.

“Kadangkala kita tidak tahu sama ada alat ganti yang ditukar oleh bengkel tulen atau tidak dan apabila tekan brek, ia tak berfungsi dan berakhir dengan kemalangan. Nahas berpunca daripada dua perkara iaitu kecuaian manusia dan masalah kenderaan.

“Apabila alat ganti palsu digunakan, ia tidak berfungsi dengan baik dan ia menjadi punca kemalangan dan bengkel tidak fikir mengenai perkara ini kerana mereka hanya memikirkan soal untung,” katanya

Oleh Ratinawati Rasidi




3 comments:

  1. Tahniah kepada penulis kerana satu "artikel" yang cukup baik dan berguna.
    Saya hampir2 menjadi mangsa penipuan bengkel apabila kereta saya yang baru 2 tahun dilanggar oleh teksi airport di Ipoh pada 25 Mei 2011. Kejadian berlaku apabila saya yang mengikut undang-undang, berhenti di lampu merah. Ketika di lampu merah, tiba-tiba seorang cina tua, umur 68 tahun, tapi masih mahu bekerja sebagai pemandu teksi telah melanggar belakang kereta saya. Sama ada beliau rabun, mengantuk (kejadian berlaku jam 11.00 malam), mabuk atau "gila babi", tidak dapat saya pastikan.
    Pengguna perlu tahu bahawa kita tidak boleh menuntut insuran kenderaan awam seperti teksi tetapi bengkel tersebut bermati-mati mengatakan boleh. Akhirnya, taktik yang sebenarnya ialah, bengkel akan baiki, kita bayar dahulu, ambil resit dan tuntut dengan syarikat teksi tersebut. Duit mungkin 1 atau 2 tahun baru dapat. Rahsia "jahat" ini tidak dijelaskan oleh bengkel. Malah polis sendiri pun mungkin tidak tahu.
    Sesiapa yang perlukan maklumat.....bolehlah saya kongsi bersama.
    Akhirnya, saya mengambil langkah yang betul dengan menunda kereta saya balik ke Kota Bharu dan baiki di sini walaupun terpaksa mengeluarkan hampir RM1500 untuk bayaran tarik.
    BERHATI-HATILAH DENGAN KATA-KATA MANIS PENARIK KERETA YANG KATANYA INGIN MEMBANTU KITA SEMASA KITA DALAM KESUSAHAN TETAPI HAKIKATNYA KITA AKAN LEBIH SUSAH SELEPAS ITU.
    Saya rasa bertanggungjawab untuk berkongsi perkara ini dengan semua pengguna supaya hak kita tidak dicuri dan ditipu.
    Emel saya di abezzr@yahoo.com.
    Daripada : DR.NAZREY

    ReplyDelete
  2. selamat sejahtera admin, kereta saya terlibat dalam kemalangan beberapa minggu yg lalu. Semasa sy hantar kereta saya ke bengkel, saya buat tuntutan insurans jenis OD KFK. Tetapi, kereta saya dilanggar oleh teksi yang berada dibelakang saya. Pegawai dekat bengkel tidak pernah memberitahu saya bahawa saya tidak boleh buat tuntutan insurans terhadap teksi awam.oleh itu, saya kena membuat tuntutan insurans terhadap kereta insurans saya. (walaupun saya tidak bersalah dan tertipu). Nak tanye kepada admin adakah cara lain yang boleh membuat tuntutan terhadap teksi?? Pandangan dan pertolongan yang dihargai.

    Sekian terima kasih.


    Dari

    Ket

    ReplyDelete
  3. Oh ye ke.. Semalam kereta saya dilanggar teksi.. Walaupun saya tidak bersalah bermakna saya tidak boleh claim insuran teksi tersebut.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...