terima kasih buat kalian semua..

Monday, October 25, 2010

Apa sudah jadi dengan kualiti jalan raya kita?


SUDAH terlalu banyak aduan dibuat. Sekian banyak laporan mengenainya dipaparkan menerusi media. Orang ramai juga sudah tidak berupaya menggeleng kepala dan mengeluh namun semuanya seperti mencurah air di daun keladi.

Isunya ialah tentang kualiti jalan raya di Lembah Klang terutama di ibu negara. Entah mengapa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kualiti jalan raya kita merudum.

Banyak jalan raya mengalami kerosakan. Berlubang, lekuk, terbonjol, tidak rata atau compang- camping dan tidak diselenggara dengan baik.

Susurilah jalan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, sebahagian Shah Alam dan banyak lagi kawasan di Lembah Klang, anda boleh nilai sendiri keadaannya. Itu belum mengambil kira jalan di sekitar taman-taman perumahan, yang lebih menjengkelkan.

Bukan sedikit kes nahas motosikal akibat jalan rosak dan berlubang. Bukan kecil juga tekanan yang dihadapi oleh orang ramai. Ini termasuk kos penyelenggaraan untuk kenderaan semakin tinggi kerana asyik mengalami hentakan kuat.

Isu kualiti jalan ini sudah menjadi bahan momokan dan sinikal orang ramai. Sampai ada yang berkempen gunakan sahaja kenderaan pacuan empat roda di Lembah Klang, pasti perasaan anda lebih tenang.

Agaknya kita lebih suka mendongak di atas (bangunan pencakar langit) tetapi mengabaikan di bawah (hal-hal yang lebih asas). Sedangkan untuk melihat kehebatan sesebuah bandar raya, lihatlah dahulu jalan rayanya. Itu juga cerminan imej sesebuah negara.

Bukan itu sahaja, ramai yang membuat perbandingan kualiti jalan kita dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, yang kini jauh lebih baik. Suatu ketika dulu, kualiti jalan raya Malaysia menjadi contoh bagi banyak negara serantau.

Yang lebih menjadi persoalan ialah kerja-kerja penurapan semula jalan oleh kontraktor. Biasanya tidak sempurna, seolah-olah seperti tiada pemantauan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Lalu tersemat banyak soalan di kepala Awang. Apa yang tidak kena, mengapa jadi begitu, apakah kita sudah tidak tahu menurap permukaan jalan setelah setengah abad merdeka dan apakah kita tidak lagi cekap mengurus jalan raya?

Apakah ada unsur rasuah, mungkinkah PBT mengambil mudah aspek kualiti jalan di laluan rakyat dan hanya mengutamakan lalu VIP atau orang kenamaan?

Berapa banyak pula wang yang telah dihabiskan hanya untuk melakukan kerja-kerja penurapan yang sama dan berulang kali di tempat yang kerap rosak jalan rayanya?

Apakah ada konspirasi pihak tertentu dalam PBT dengan kontraktor jalan raya untuk sengaja menurap jalan secara sambil lewa agar dapat melakukannya banyak kali dan mengaut untung berlebihan?

Bagaimana pula penguatkuasaan kita sehingga lori simen boleh berulang kali mengotorkan jalan dengan limpahan bancuhan simen? Agak aneh jika PBT tidak efisien, sedangkan mereka amat proaktif dalam mengutip cukai dan mengenakan kompaun. Lagi persoalan yang berlegar, apa yang pihak berkenaan termasuk Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis lakukan? Tidakkah mereka sensitif kepada persekitaran? Sedarkah bahawa PBT yang sebenarnya merosakkan imej kerajaan di mata rakyat.

Inilah juga soalan-soalan yang spontan keluar daripada mulut orang ramai, yang sangat kecewa dengan kisah kualiti jalan raya di Lembah Klang. Di sebalik kesungguhan untuk menjadi negara maju, kualiti jalan raya kita hanya bertaraf kelas tiga. Itulah realitinya. - UM



* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...