terima kasih buat kalian semua..

Saturday, October 16, 2010

Cetek pengetahuan punca wanita tak pertahan hak terhadap suami dan bakal suami..


Walaupun ada peruntukan dalam perundangan Islam, isteri didera lebih rela berdiam diri

MASYARAKAT sering berbincang hak asasi manusia, hak asasi kanak-kanak dan tidak terkecuali hak asasi wanita. Apabila isu hak wanita diutarakan, ada suara mengatakan wanita Islam tidak terbela hak mereka kerana agama melihat mereka sebagai kelas kedua dalam masyarakat. Amalan dalam masyarakat iaitu lelaki sangat mendominasi kehidupan wanita dijadikan asas menunjukkan bahawa Islam menindas wanita. Atas alasan itu maka golongan yang mendakwa mereka mengangkat taraf wanita, tumbuh dalam masyarakat

Dalam perundangan Islam, wanita mempunyai hak dalam kehidupan seperti hak manusia lain. Antaranya, hak untuk hidup, hak mendapat pendidikan, hak dilayan secara adil dan bermaruah, hak memilih pasangan, hak menyimpan harta, hak bekerja, hak bersuara dan sebagainya

Merujuk sistem perundangan keluarga Islam, antara hak wanita yang digariskan adalah hak memilih suami, menuntut ganti rugi sekiranya berlaku putus tunang tanpa alasan munasabah, hak untuk berkahwin, dilindungi dan dijaga dengan baik oleh suami, hak mendapat nafkah, hak menuntut perceraian sama ada menggunakan fasakh atau taklik sekiranya dizalimi, ditinggalkan tanpa nafkah dan sebagainya. Begitu juga wanita tidak dinafikan untuk menuntut harta sepencarian jika berlaku perceraian, menuntut hak jagaan atau hak lawatan anak, menuntut muta’ah dan sebagainya.

Contoh, rujuk kepada Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003, seksyen 15 memperuntukkan jika bakal pasangan memutus pertunangan, wanita berhak menuntut ganti rugi persediaan yang dikeluarkan untuk perkahwinan. Seksyen 23 pula mengenai poligami iaitu isteri sedia ada perlu dipanggil memberi keterangan berkenaan permohonan suami berpoligami supaya mahkamah menilai kemampuan suami sebelum membuat keputusan.

Terdapat seksyen memperuntukkan hak isteri keluar dari hubungan pernikahan apabila keadaan memerlukan seperti seksyen 49 untuk isteri menebus talak atau khuluq manakala seksyen 50 mengenai perceraian secara takliq. Alasan isteri untuk menuntut fasakh diperuntukkan dalam seksyen 53 seperti suami menghilangkan diri, suami memukul, suami berpoligami secara tidak adil dan sebagainya.

Apabila berlaku perceraian, hak wanita tetap dipertahankan untuk mendapat mutaah seperti diperuntukkan dalam seksyen 58, hak mendapatkan nafkah dan juga nafkah tertunggak yang diabaikan suami dalam beberapa seksyen iaitu seksyen 60 sehingga seksyen 71. Wanita juga berhak membuat tuntutan hadanah atau jagaan terhadap anak selepas bercerai diperuntukkan dalam seksyen 82 sehingga 88. Seksyen 122 pula memperuntukkan wanita berhak menuntut harta sepencarian sepanjang perkahwinan berlangsung.
Namun begitu, tidak dinafikan walau pun peruntukan disediakan, tetapi banyak berlaku keadaan wanita diabai seperti digantung tidak bertali, tidak diberi nafkah, anak dilarikan daripada mereka dan sebagainya. Peruntukan sedia memang sudah baik dan memberi jalan untuk kaum wanita mendapatkan hak mereka, tetapi ia hanya akan menjadi peruntukan undang-undang jika tidak digunakan.

Di mana-mana pun, ada sekelompok masyarakat yang patuh kepada peraturan, mengikut dengan baik apa yang ditentukan agama dan undang-undang manakala ada pula sering melakukan perkara sebaliknya. Pada masa sama, ada masyarakat bersemangat tinggi mencari keadilan menegakkan hak mereka dan ada pula pasif sehingga tidak membuat apa-apa tindakan.

Contoh, seorang suami wajib memberi nafkah dan melindungi isteri kerana itu hak isteri. Ramai patuh kerana ia termaktub dalam agama dan undang-undang. Namun terdapat segelintir yang mendera isteri, meninggalkan isteri tanpa perceraian atau selalu memukul isteri walaupun atas perselisihan kecil.

Walaupun wujud peruntukan memberi peluang isteri boleh menuntut fasakh jika didera, tetapi ramai isteri berdiam diri sehingga bertahun-tahun didera. Terdapat kes mahkamah iaitu isteri membiarkan dirinya dipukul sehingga lebam, ditendang dan ditampar selama 17 tahun perkahwinan sebelum mengambil tindakan menuntut fasakh. Begitu juga terdapat kes menunjukkan isteri tidak mengambil sebarang tindakan walaupun selepas 10 tahun ditinggalkan suami tanpa nafkah sedangkan peruntukan undang-undang memberi mereka hak menuntut keadilan selepas empat bulan ditinggalkan.

Masyarakat kita perlu diberi pendidikan supaya lebih berpengetahuan mengenai hak dan tanggungjawab mereka. Wanita perlu diberi ilmu supaya tahu hak kerana undang-undang bertujuan membantu memperkasakan mereka. Begitu juga kita perlu memberi kesedaran kepada lelaki supaya menjaga amanah, takutkan balasan Allah atas pengabaian tanggungjawab dan semua pihak perlu melihat bahawa perkahwinan bukan semata-mata kerana nafsu tetapi amanah dan tanggungjawab yang akan disoal di padang mahsyar nanti.

INFO
Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003

  • Seksyen 15 memperuntukkan jika bakal pasangan memutus pertunangan, wanita berhak menuntut ganti rugi persediaan yang dikeluarkan untuk perkahwinan.

  • Seksyen 50 mengenai perceraian secara takliq.

  • Seksyen 53 untuk menuntut fasakh seperti suami menghilangkan diri, suami memukul, suami berpoligami secara tidak adil dan sebagainya.


  • Oleh Nurhidayah Muhd Hashim


    Penulis ialah Prof Madya di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam (CITU), Shah Alam dan sedang melanjutkan pengajian di Australia


  • * The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

    2 comments:

    1. salam mmang pmpn ptut tahu hak mereka mmandang kn llki skarang ramai yg x bljr dn mmhami agama tu lh alasan trbaik tok mreka mengabaikn tgjwb. Jd bangunlh pmpn jgn jd bodoh dn terus di bodoh kn llaki. Tntut pe yg ptut yg mnjd hak kita tu saje....

      ReplyDelete
    2. saya setuju...wanita2 Islam patut tahu apakah hak2 mereka yg boleh mereka tuntut dari suami-suami yg hanya lepas tgn atau tidak peduli langsung atas tggngjawab yg wajib atau kebajikan isteri.. Para isteri yg berkerja pun masih mempunyai hak diberi duit nafkah bulanan...

      ReplyDelete

    Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...