terima kasih buat kalian semua..

Sunday, October 10, 2010

Drama beri gambaran silap mengenai hubungan suami isteri..


KISAH suami isteri bergaduh sehingga berlaku kecederaan yang mana dalam banyak kes, mangsa selalunya adalah isteri sama ada ditampar, ditendang, dipukul dengan alat keras seperti tali pinggang, kayu, tongkat atau apa saja masih menghantui hidup berkeluarga hari ini.

Akibatnya, selain kecederaan fizikal, mangsa turut mengalami tekanan psikologi atau trauma hingga menimbulkan perasaan takut

.
Kes penderaan yang berlaku menyokong perbincangan ilmuwan mengenai institusi rumah tangga yang longgar dan bilangan perceraian yang semakin meningkat tahun demi tahun.
Rumah tangga adalah tonggak pembinaan masyarakat, sekali gus memberi kesan kepada keseimbangan sosial negara. Tindakan perlu diambil untuk membuka minda lelaki dan perempuan, suami serta isteri supaya institusi rumah tangga dapat dipertahankan dan perkara negatif diatasi.

Penceramah kursus praperkahwinan wajar memberi penekanan mengenai kedudukan nikah, hak, tanggungjawab dan hubungannya dengan keredaan Allah serta balasan azab apabila tanggungjawab diabaikan.

Suami yang cuai sehingga isteri dan anak terabai melakukan dosa dan kecuaian itu akan dipertanggungjawabkan oleh Allah. Suami yang mendera isteri, melakukan dosa.

Rasulullah SAW pernah menegur lelaki yang kasar dan melakukan kekasaran kepada isterinya dalam sabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang lembut dalam melayani isteri mereka dan aku adalah sebaik-baik di antara kamu.”
Drama di televisyen kerap kali menggambarkan watak yang silap sehingga menjadi tanggapan umum masyarakat. Contohnya, suami yang kuat berpegang kepada ajaran agama, suka ke masjid digambarkan sebagai seorang yang keras dan bersifat diktator.

Ketegasan suami sehingga tidak memberi ruang kepada isteri dan anak untuk berbincang serta cenderung menghukum daripada memberi nasihat. Isteri yang baik pula digambarkan terlalu menurut, tidak bersuara, takut hingga mendiamkan diri apabila didera suami. Kononnya, itulah tindakan yang sebaiknya.

Salah faham sebegini perlu diperbetulkan untuk memperbaiki institusi rumah tangga kerana suami dan isteri adalah saling lengkap melengkapi.

Firman Allah yang bermaksud: “Para ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan ayah kerana anaknya, dan waris pun berkewajipan demikian. Apabila kedua-duanya ingin menghentikan penyusuan (sebelum dua tahun) dengan kerelaan kedua-duanya selepas berunding, maka tidak ada salahnya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” – (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Ilmuwan yang mengupas ayat ini berpendapat jika dalam urusan menghentikan penyusuan juga perlu berbincang, apa lagi dalam hal atau urusan lain yang lebih besar membabitkan keperluan keluarga.

Keputusan hasil perbincangan antara suami isteri mampu menghasilkan keputusan terbaik serta memelihara hubungan ahli keluarga kerana semua pendapat diambil kira sebelum sebarang tindakan diambil.

Oleh itu, usaha memberi pendidikan kepada lelaki dan perempuan yang bakal berkahwin serta pasangan suami isteri mengenai tanggungjawab atau hak perlu dilipat gandakan. Perkahwinan dan institusi keluarga perlu dilihat sebagai amanah untuk dijaga sebaiknya.

Sementara wanita yang teraniaya, hendaklah diberi bantuan serta sokongan supaya tidak terus menderita kerana mereka berhak mendapat kehidupan yang baik.

Oleh Prof Madya Nurhidayah Muhd Hashim



Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, sedang melanjutkan pelajaran
di Australia

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...