terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, October 19, 2010

Elak tunai haji terlalu kerap..kasi chance la pada orang lain..


KEUPAYAAN segelintir umat Islam di negara ini menunaikan haji sehingga berkali-kali, bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sayangnya keghairahan ini menyebabkan ada segelintir yang tidak berpeluang walaupun ia adalah pemergian untuk kali pertama bergelar tetamu Allah.

Adakah kita boleh meletakkan kegagalan ini sebagai belum ada rezeki lagi?

JAWAPAN:

Bagi mereka yang pergi dengan muassasah tidak akan berlaku mengambil peluang orang. Ini kerana sistem yang ada pada tabung haji akan mengutamakan mereka yang belum pernah pergi menunaikan ibadah haji.

Sebab itu bila seseorang mendaftar untuk menunaikan haji diberitahu akan tahun yang ditawar untuknya menunaikan haji. Kadang-kadang ada yang terkejut tahun ditawarkan oleh tabung haji untuk seseorang menunaikan haji.

Contohnya, apabila saya mendaftar pada tahun ini iaitu 2010 di Tabung Haji untuk menunaikan haji saya diberitahu tahun saya layak ialah pada tahun 2020, ini anggaran, tetapi kebanyakan jemaah yang daftar tidak menunggu begitu lama, mungkin juga dia mendapat tawaran menunaikan haji pada tahun 2015.

Maksudnya, Tabung Haji sentiasa berusaha memberi keutamaan kepada jemaah yang berdaftar yang belum menunaikan haji.

Namun demikian, orang Islam wajar mengetahui bahawa mengerjakan kefarduan-kefarduan agama itu merupakan perkara pertama yang dituntut ke atas mukalaf terutamanya rukun-rukun agama sebagaimana melakukan ibadat sunat termasuk dalam perkara disukai oleh Allah SWT dan mendekatkan kepada keredaan-Nya.

Isu mengerjakan haji berulang kali pernah mendapat perhatian Ketua Persatuan Ulama Islam Sedunia, Fadhilah Sheikh Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi yang memberi pendapat berikut:

Pertama: Allah SWT tidak akan menerima ibadah-ibadah sunat selagi tidak ditunaikan ibadah wajib.

Berdasarkan kepada ini, kita lihat setiap orang yang mengerjakan haji atau umrah secara sunat, dalam keadaan begitu mereka agak bakhil mengeluarkan zakat yang difardukan kesemuanya atau sebahagiannya. Dengan itu, haji dan umrah mereka tertolak dan tidak diterima.

Begitu juga orang yang menanggung bebanan hutang dengan peniaga-peniaga dan berhutang dengan orang yang menjual kepadanya sesuatu barangan dengan bayaran bertangguh tetapi tidak membayar pada waktunya ataupun membuat pinjaman kewangan tetapi tidak melangsaikannya.

Oleh itu dia tidak boleh menunaikan haji secara sunat ataupun umrah sebelum membayar hutang-hutangnya.

Kedua: Allah tidak menerima ibadat sunat yang boleh membawa kepada perbuatan haram kerana terselamat daripada dosa melakukan perkara haram didahulukan daripada mendapat pahala melaksanakan ibadat sunat.

Jadi, apabila para jemaah haji yang melaksanakannya secara sunat mengakibatkan sekian ramai orang Islam teraniaya akibat terlalu sesak sehingga berlaku banyak kesulitan, merebaknya penyakit dan sesetengah mereka ada yang tersungkur mati sehingga para jemaah haji terpijak mereka dalam keadaan tidak sedar ataupun mereka sedar tetapi tidak mampu untuk menginjak ke depan atau ke belakang.

Adalah menjadi kewajipan mengurangkan kesesakan selagi ada jalan ke arah itu.

Langkah yang paling utama ke arah mengurangkan kesesakan adalah menghalang mereka yang sudah pun menunaikan haji beberapa kali supaya dapat memberi ruang kepada orang lain yang belum melaksanakannya.

Ketiga: Menolak kemudaratan itu lebih diutamakan daripada mencari kemaslahatan terutamanya apabila kemudaratan bersifat umum sedangkan kemaslahatan tersebut lebih bersifat khusus.

Menjadi kewajipan untuk menghalang kemaslahatan sesetengah individu yang berulang kali melakukan haji yang menyebabkan berlakunya kemudaratan umum kepada puluhan ribu jemaah haji yang mengancam nyawa dan tubuh mereka dan juga membabitkan orang yang melakukan ibadah haji secara sunat.

Oleh hal demikian, adalah menjadi kewajipan menghindari kemudaratan ini dengan cara menghalang perkara-perkara yang boleh membawa kepadanya iaitu kesesakan yang teruk.

Keempat: Sesungguhnya perintah melakukan ibadat sunat yang berkait dengan kebajikan itu luas dan banyak. Allah SWT tidak menyempitkannya untuk hamba-hamba-Nya. Orang-orang mukmin yang melihat (dengan mata hati) itulah orang-orang yang memilih di antara pintu-pintu kebajikan mengikut keadaan yang sewajarnya dan lebih menepati masa dan keadaan dirinya.

Oleh itu, apabila menunaikan haji secara sunat mendatangkan penganiayaan atau mudarat melibatkan sesetengah manusia, maka Allah SWT memberi ruang lain kepada orang Islam agar dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT tanpa menganiaya sesiapa.

Contohnya melalui sedekah, membina madrasah, membantu badan-badan dakwah dan sebagainya.

Namun demikian, adalah sukar menghalang orang ramai dari melakukan ibadat haji sunat. Ini kerana mungkin orang yang pernah ke Mekah untuk menunaikan haji dapat merasakan kenikmatan menunaikan ibadah haji.

Sebab ada di antara kawan-kawan saya tiap-tiap tahun menunaikan haji. Kebanyakan jemaah haji Malaysia yang menunaikan ibadah haji bagi kali kedua dan seterusnya pergi melalui pakej-pakej haji melalui agensi pelancongan yang telah ditetapkan dengan kos yang agak mahal berbanding muassasah.

Sebenarnya mereka tidak berniat untuk mengambil peluang orang lain tetapi mereka mampu ke Mekah setiap tahun untuk ibadat haji.

Kebiasaannya, Tabung Haji mengagihkan sejumlah kuota kepada agensi pelancongan untuk mengendalikan ibadat haji.

Dengan demikian mereka akan menyediakan pakej-pakej yang pelbagai harga, terpulang kepada orang ramai untuk memilih pakej yang mereka mampu. Ini tiada kaitan mengambil peluang orang lain. - UM



* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...