terima kasih buat kalian semua..

Saturday, October 30, 2010

Ibadah korban sunat, cukup sekali dilaksanakan seumur hidup


KETIKA ini, banyak iklan mengenai ibadat korban dipaparkan. Bolehkah ustaz menjelaskan hukum melakukan korban? Apakah ada dalam al-Quran dan hadis?

YUSRI

Ukay Perdana. Jawapan:

Allah SWT berfirman dalam surah al-Haj ayat 36 yang bermaksud: “Dan Kami jadikan unta sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu, menyembelih unta yang ada kebaikan bagi kamu, oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas 3 kakinya, maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta..”

Dalam surah lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban.” (surah al-Kauthar ayat 2).

Berkorban atau mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan menyembelih haiwan tertentu pada Aidiladha dan dua atau tiga hari sesudahnya adalah antara tuntutan agama yang ditegaskan dalam ayat al-Quran di atas.

Imam Abu Hanifah menilainya wajib bagi setiap orang yang mampu berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah beliau berkata: “Sesiapa yang memiliki kemampuan dan tidak mahu berkorban, maka hendaklah ia tidak mendekati tempat solat kami.”
Menurut fahaman penganut mazhab Hanafi, ancaman ini menunjukkan wajibnya berkorban. Mazhab lain pula menilainya sebagai sunat muakkad (iaitu sunat yang amat ditekankan melakukannya) berdasarkan sekian banyak hadis. Antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, “Aku diperintahkan berkorban, sedangkan itu sunat bagi kamu sekalian.”

Ibn Abbas berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang menjadi kewajipan atas diriku dan ketiganya adalah sunat bagi kamu sekalian, iaitu (solat) witir, menyembelih korban dan solat Duha.”

Menurut Mazhab Syafie, sunat ini cukup dilaksanakan sekali seumur hidup. Di samping itu, disunatkan pula setiap ketua keluarga atau seorang ahli keluarga berkorban untuk dirinya (sekiranya belum dilakukan) atau atas nama seorang ahli keluarganya. Kalangan ulama juga sepakat bahawa haiwan yang boleh dikorbankan mestilah unta, lembu atau kerbau. Haiwan-haiwan itu boleh dikongsi iaitu seekor bagi tujuh orang. Kambing pula tidak boleh dikongsi iaitu seekor seorang.

Haiwan itu selayaknya yang sihat dan sempurna, baik jantan mahupun betina. Mengenai hukum memakan daging korban yang disembelih, majoriti ulama membolehkannya. Jika korban itu dilakukan untuk memenuhi nazar, maka imam Abu Hanifah dan imam Syafie melarang orang yang bersangkutan dan keluarganya memakan dagingnya. Dalam mazhab Maliki, Hambali dan Hanafi disunatkan bagi orang yang berkorban untuk menggabungkan antara memakannya dan membahagikannya. Bahkan, seandainya dia memakan semuanya atau menyimpannya selama tiga hari kemudian, maka yang demikian itu dibolehkan menurut Mazhab Hanafi dan Maliki, walaupun hukumnya makruh.

Bagi Mazhab Hanafi dan Hambali, disunatkan untuk membahagi daging korban, iaitu sepertiga untuk diri dan keluarganya, sepertiga untuk teman-teman (walaupun kaya) dan sepertiga untuk fakir miskin.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 36 surah al-Haj yang bermaksud: “...Kemudian jika ia (haiwan yang dikorbankan itu) tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta…”

Imam Malik tidak menetapkan kadar tertentu. Penganut mazhab ini berpegang pada sekian banyak hadis yang menganjurkan agar memakan, memberi makan dan menyisihkannya untuk disimpan. Hadis yang dimaksudkan itu terkandung dalam kitab, antaranya Kitab Nayl al-Awtar yang diriwayatkan Imam Muslim bahawa Nabi SAW bersabda: “Aku tadinya melarang kamu semua menyimpan daging korban lebih tiga hari kerana adanya addhafat. Kini, sudah datang kelapangan daripada Allah. Maka simpanlah semahu kamu.”

Menjual sesuatu yang berkaitan dengan haiwan korban tidak dibenarkan sama ada kepala, daging, kulit atau bulunya. Seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa menjual daging haiwan korban, maka tidak ada (iaitu tidak sah) korbannya.” Hadis ini riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi. Begitu juga tidak dibenarkan memberikannya sebagai upah kepada penyembelih. Tetapi harus memberikannya sebagai hadiah kepadanya atau kepada orang yang wajar menerimanya.
Selain itu, yang berkorban atau yang lainnya dapat memanfaatkan kulit haiwan korban untuk dibuat rebana atau produk lain. Wallahua’lam. - BH

* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...