terima kasih buat kalian semua..

Thursday, October 7, 2010

Ibu sakit anak bersengketa..

SUDAH lama ruangan DCCK disiarkan sepatutnya sudah banyak pengajaran tentang realiti kehidupan dapat kita kutip dan dijadikan iktibar. Tetapi sayangnya masih ramai yang tidak faham, buta hati, dan tidak ada perasaan, tetap melakukan kesilapan demi kesilapan. Ini yang berlaku pada adik-beradik dan ipar duai saya.

Tujuan saya menulis e-mel bukan menghina tetapi untuk menceritakan penderitaan ibu saya, supaya abang-abang saya serta isteri-isteri mereka sedar betapa buruknya layanan mereka terhadap ibu. Bukan untuk mengungkit atas apa yang telah saya lakukan untuk ibu selama ini. Tapi fakir-fikirkanlah.'' Demikian luahan hati Sahariah

''Benarlah kata orang, seorang ibu boleh membesarkan 10 anak tetapi belum tentu 10 orang anak boleh membela ibu mereka seorang. Sejak ayah meninggal 15 tahun lalu, ibulah membanting tulang m

''Kami terdiri dari dua lelaki dan empat perempuan. Dan saya yang bongsu. Sebelum meninggal ayah tinggalkan sebidang tanah untuk abang yang sulung Zek membina rumah supaya dapat menjaga ibu apabila ayah telah tiada kelak. Begitu kata abang ketika memerlukan tandatangan kami semasa kami menyerahkan hak milik kami ke atas tanah tersebut kepadanya. Maklumlah dia anak sulung begitu katanya pesan ayah.

''Namun sejak kesihatan ibu semakin merosot lima tahun lepas, barulah kami dapat lihat perangai abang Zek yang sebenar. Bermula dengan kejadian ibu terjatuh di tepi jalan dan terpaksa dimasukkan ke hospital.

''Semua urusan masuk hospital saya uruskan tambahan kejadian itu berlaku pada bulan puasa. Abang Zek bagi alasan dia sibuk. Jadi saya terpaksa tinggalkan suami dan anak-anak yang masih kecil di rumah, untuk uruskan keperluan ibu semasa di hospital.

''Abang Zek bersikap lepas tangan. Setelah tiga hari ibu di hospital barulah abang Zek muncul menjenguk. Itupun setelah puas saya merayu melalui telefon sebab ibu asyik tanya mana abang Zek.

''Alasan abang Zek dia tak dapat datang kerana masa lawatan ke hospital terlalu singkat jadi dia tak sempat nak berbuka puasa. Tambahan pula dia terpaksa membeli juadah berbuka puasa untuk anak-anak dan isterinya di rumah.

''Alasan abang Zek memang tak masuk akal, sebab emak saya dirawat di hospital swasta, waktu lawatan fleksibel, jadi nampak sangat abang Zek sengaja cara jalan tidak mahu melawat ibu. Setelah saya beri penjelasan tanggungjawab utama saya terhadap suami dan anak-anak di rumah, barulah abang Zek setuju melawat ibu.

''Setelah ibu agak sihat dan keluar dari hospital, saya bawa ibu balik ke rumah saya dan ibu tinggal bersama saya lebih dua tahun. Saya akui memang besar cabaran bila kita menjaga orang tua, perasaannya sangat sensitif, tak boleh salah cakap sikit, cepat berkecil hati dan dalam kes ibu saya memang banyak kerenah.

''Ibu pernah menyuarakan hasrat untuk tinggal bersama abang Zek namun sambutan yang diterima dari abang dan isterinya sangat dingin. Mereka buat-buat tak dengar permintaan ibu. Pernah ibu telefon abang Zek untuk mengambilnya bercuti ke rumahnya pada hujung minggu. Sebab ibu teringin sangat nak bertukar angin.

''Sejak pagi ibu minta pakaiannya disediakan dalam beg untuk ke rumah abang Zek. Tetapi sampai ke malam abang Zek dan isterinya tak muncul-muncul.

''Bila saya telefon, abang Zek beri seribu alasan. Katanya, dia sangat sibuk dengan urusan harian, dan dia takut nanti tak terlayan kehendak ibu dan sebagainya.

''Pernah saya buat hati kering hantar juga ibu ke rumah mereka, kerana kesian ibu hendak sangat menjengok anak cucunya di sana. Tapi tak sampai dua hari abang suruh saya ambil balik, kalau tidak dia akan hantarkan ibu ke rumah saya.

''Saya tahu, anak-anak abang Zek jijik melihat ibu bila makan, air liur meleleh keluar disebabkan otot-otot mulutnya lemah kerana stroke' Kadang-kadang, ibu terkencing dalam kain maka akan berbaulah mahligai mereka.

''Isteri abang Zek sangat pembersih tidak tahan bau hancing ibu. Pernah ibu terjatuh dalam bilik air di rumah mereka, anak abang Zek yang sulung berumur 20 tahun membiarkan saja neneknya terlentang.

''Sebaliknya dia panggil bapanya kerana jijik neneknya yang dikatakan busuk dan berbau hanyir.

''Sejak tahun lepas, ibu tinggal bersama mereka kerana saya sekeluarga berangkat ke luar negara demi tugas. Berat hati saya tinggalkan ibu. Sehari sebelum berpuasa baru-baru ini, abang kedua saya disuruh oleh abang Zek datang ambil ibu, kerana katanya isterinya penat. Dia mencadangkan ibu berpuasa di KL.

''Abang kedua dan anak-anaknya baik melayan ibu, tetapi entah apa silapnya, isterinya tak suka bertegur sapa dengan ibu sejak dulu lagi. Raya atau tidak dia tak pernah mahu bersalam dengan ibu. Sebaliknya ibu yang terketar-ketar bangun menjemputnya naik.

''Saya hairan seorang yang berpelajaran tinggi, dah pernah ke Mekah boleh membenci ibu mertuanya. "Kalau tidak bersedia berdepan dengan ibu dan kami adik-beradik, lebih baik tak usah balik kampung. Buat apa kalau jadi macam tunggul kayu.

"Akhir sekali, saya menyeru abang-abang berfikirlah sebagai anak lelaki Islam sejati bahawa tanggungjawab memelihara ibu sendiri lebih utama. Kepada kakak-kakak iparku, darjat ibu mertua sama tingginya dengan ibu sendiri. Jadi berbaktilah kepada ibu semasa hayatnya masih ada dan mintalah keampunan atas apa juga kesalahan yang pernah anda lakukan terhadap ibu mertua anda .'

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...