terima kasih buat kalian semua..

Thursday, October 7, 2010

Kelebihan pinjaman Islam..kerana mencari yang halal itu fardhu..


MENCARI yang halal itu fardu. Kita sering mendengar ayat ini. Bersyukurlah bagi mereka yang mencari penghasilan melalui tulang empat kerat sama ada dengan bekerja makan gaji atau menjalankan perniagaan yang halal.

Namun, masih ada di kalangan kita yang terbelenggu dengan beberapa kegiatan dalam pekerjaan yang melibatkan unsur-unsur haram dan syubhat.

Ada juga yang menggunakan ‘darurat’ sebagai alasan untuk terus bekerja dalam sektor yang jelas terlibat dalam riba, syubhat dan sebagainya.

Allah SWT berfirman yang maksudnya: Barang siapa yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-An’am: 145)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Pensyarah Jabatan Ekonomi Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Zaharuddin Abd. Rahman bagi mengupas isu ini.

Beliau sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah di United Kingdom .

Mega: Apakah kedudukan seseorang yang bekerja sebagai jurujual kenderaan yang berurusniaga dengan bank konvensional. Adakah mereka turut dikategori ‘bersekongkol’ dengan bank berkenaan walaupun ada di antara mereka menasihatkan pembeli menggunakan perbankan Islam?

ZAHARUDDIN: Soalan ini memang amat relevan dan menghantui banyak penjual Islam yang prihatin di seluruh dunia. Isu ini adalah lebih kurang sama dengan penjual Islam yang didatangi pembeli yang ingin membayar menggunakan kad kredit riba.

Jawapan yang wajar saya berikan sebenarnya agak panjang jika beserta huraian, namun disebabkan ruangan yang terhad, secara kesimpulannya saya berpandangan bahawa jurujual tersebut tidak dikira terlibat terutamanya setelah dia menasihati pelanggannya untuk mengambil pembiayaan kereta daripada bank-bank Islam.

Namun, adalah lebih cemerlang jika jurujual tersebut mempelajari serba ringkas kelebihan pembiayaan kereta dari bank-bank Islam demi menarik pembeli menggunakannya.

Sebagai contoh mudah, pinjaman kereta secara riba dari bank konvensional mengenakan penalti setinggi 5-8% daripada jumlah pinjaman sekiranya pelanggan terlewat membayar, manakala bank-bank Islam hanya mengenakan 1% daripada jumlah yang lewat pada bulan tersebut sahaja.

Jumlahnya amat kecil, bahkan sebahagian bank Islam di Malaysia pula menyalurkan jumlah itu kepada badan kebajikan.

Perlu diketahui juga, kadar pembiayaan kereta baru adalah sama di antara bank konvensional dan bank Islam. Bagi kereta terpakai terdapat sedikit perbezaan.

Namun tidak boleh untuk pukul rata mana yang lebih murah kerana setiap bank mempunya pelbagai kriteria yang mereka lihat sebelum menentukan kadar keuntungan yang akan diambil. Antaranya, jenis kereta, tahun kereta, umur pelanggan dan sebagainya.

Sebagai hujah secara ringkas, ini kerana penjual tiada boleh dipertanggungjawabkan atas sumber duit yang digunakan oleh pembeli, jika penjual ingin dipertanggungjawabkan ia akan mencetuskan satu keadaan kesukaran yang tiada taranya lagi.

Oleh itu, para ulama mengklasifikasikan ia sebagai urusan yang jatuh dalam peruntukan Umum al-Balwa iaitu suatu penegahan yang terlalu sukar untuk dielakkan.

Kes yang hampir sama boleh berlaku begini apabila kereta lelaki A berlanggar dengan kereta lelaki B. Kesalahan dikenal pasti berpunca dari lelaki B.

Hasilnya, semua kos pembaikan kereta lelaki A akan ditanggung juga oleh syarikat insurans kereta lelaki B. Persoalannya, bagaimana jika ia adalah sebuah syarikat insurans konvensional yang haram lagi riba?

Jawapannya, tiada kesalahan ke atas lelaki A, ini kerana ia menerima pampasan syarikat yang menjamin lelaki B secara berasas, iaitu gantirugi atau apa jua asas yang sepertinya. Tatkala itu, dosa hanyalah jatuh kepada lelaki B yang sengaja melanggan insurans konvensional yang haram.

Ia tidak menyeberang kepada lelaki A kerana wang bukan najis atau haram pada zatnya tetapi pada cara individu asal mendapatkannya.

Ibn Masu’d r.a pernah ditanya, maksudnya: Aku mempunyai seorang jiran dan tidak ku ketahui berkenaan hartanya kecuali semuanya haram dan kotor, dan dia menjemputku (ke rumahnya) aku merasa sukar untuk hadir dan sukar juga untuk tidak hadir.

Berkata Ibn Masu’d: Terima dan hadirlah jemputannya sesungguhnya dosa-dosa (dari harta haram tadi) adalah tanggungannya sahaja”. (riwayat al-Baihaqi, 5/335 namun al-Baihaqi berkata sanad riwayat ini tidak begitu kukuh).

Kesimpulannya, penjual dan pemaju hanya bertanggungjawab atas akad atau kontrak antara dia (penjual) dan pembeli sahaja, iaitu memastikannya tidak bercanggah dengan hukum syariah daripada pelbagai sudut termasuk syarat-syarat yang termeterai di dalam kontrak itu.

Pun begitu, jika pemaju dan penjual telah sejak dari awal memeterai perjanjian dengan mana-mana bank konvensional untuk pinjaman riba kepada pembeli, sebagai ganjaran penjual akan menerima komisen tertentu. Ketika itu, mereka secara sepakat kata ulama tergolong dalam kumpulan yang bersekongkol dan terlibat dengan riba

2 comments:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...