terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, October 27, 2010

Kenapa warga Iran suka sangat bawak masuk dadah ke Malaysia???


SEBAGAI sebuah negara Islam, kehadiran Iran di pentas politik dunia sering dianggap sebagai “pengacau” oleh negara-negara di Barat terutama Amerika Syarikat (AS).

Sejak dari tercetusnya Revolusi Iran pada 1979 hingga memungkinkan tertubuhnya Republik Islam Iran, negara tersebut senantiasa ke hadapan dalam menonjolkan diri sebagai sebuah kuasa baru di kalangan negara Islam.

Dari sebuah negara Islam yang kaya dengan hasil minyak hingga kepada negara kuasa nuklear baru yang senantiasa mendapat tekanan Barat, itulah antara contoh imej yang cuba ditonjolkan Iran bagi menunjukkan kebenciannya terhadap Barat.

Melihat kepada barisan pemimpinnya, dari zaman Allahyarham Ayatollah Khomeini hinggalah Mahmoud Ahmadinejad, mereka tidak pernah sunyi dari menimbulkan kontroversi.

Kritikan pedas, sindiran tajam malah ada yang hingga mencemuh tanpa rasa segan silu Zionis Israel di pentas antarabangsa merupakan sebahagian asam garam keberanian yang ditonjolkan pemimpinnya.

Itu imej dan gambaran yang sering diperdengarkan kepada kita namun selain semua itu Iran juga turut dikenali antara pengimport utama dadah di dunia.

Malah penglibatan rakyatnya dalam soal pengimportan dan penyeludupan dadah di Malaysia juga sudah semakin membimbangkan.

Menurut statistik terbaru, penglibatan warga Iran dalam kegiatan pengedaran dadah di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dalam masa dua tahun ini dengan 138 rakyat negara itu diberkas tahun ini berbanding 16 tangkapan pada tahun 2009.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, daripada jumlah itu, 121 tangkapan terdiri daripada “keldai dadah”, iaitu orang yang dipergunakan untuk membawa dadah, dan bakinya disyaki pengendali dan anggota sindiket dadah.

“Dadah jenis syabu turut diseludupkan menggunakan kargo udara iaitu penerbangan dari Teheran melalui transit Dubai, Armenia, Kish, Doha, Colombo, sebelum tiba di Malaysia,” katanya.

Pastinya di sebalik imej negara Islam yang dipertonjolkan kisah penglibatan rakyat Iran dalam kegiatan pengedaran dadah mencacatkan usaha yang dilakukan kepimpinannya.

Namun Iran juga seperti kebanyakan negara-negara lain tetap berhadapan dengan masalah penduduk miskin yang kemudiannya cuba meraih jalan mudah dengan mengedar dadah.

Pendapatan sebagai petani dan guru yang diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dikenal pasti punca menyebabkan ramai warga Iran sanggup menjadikan diri sendiri sebagai ‘kurier’ untuk membawa dadah ke Malaysia kerana upah yang lumayan.

Siasatan yang dijalankan oleh pihak polis negara ini mendapati, mereka mendapat upah lumayan antara AS$1,500 dolar (RM5,100) dan AS$2,000 dolar (RM6,800) bagi setiap penghantaran.

Meskipun menyedari risiko dihukum gantung sampai mati jika ditangkap, tetapi upah dijanjikan menyebabkan mereka terpengaruh.

Keldai dadah

Berdasarkan kenyataan polis pada awal tahun ini, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata, siasatan mendapati kebanyakan mereka yang ditahan adalah petani dan guru di negara asal.

“Mereka bukan hanya diberi upah lumayan bagi menyeludup syabu dalam bagasi tetapi dadah yang ditelan. Setiap bungkusan kecil dadah ditelan akan dibayar AS$20 dolar (RM68) dan purata seorang mampu menelan antara 80 hingga 100 bungkusan kecil dadah dalam perut,” katanya.

Menurut beliau, lambakan dadah jenis syabu dari luar negara ke pasaran tempatan ketika ini dipercayai mempunyai kaitan dengan peningkatan permintaan di negara ini selain dipengaruhi oleh kejayaan polis melumpuhkan makmal pemprosesan dadah dan sindiket pengedaran dadah dari semasa ke semasa.

Berikutan kekurangan bekalan dadah, menyebabkan sindiket dadah dari Iran mengambil kesempatan untuk menyeludup syabu ke Malaysia melalui penerbangan.

Menurutnya, harga pasaran syabu mencecah sehingga RM250,000 sekilogram sebelum ini tetapi sindiket dadah Iran mampu menawarkan harga serendah RM100,000 hingga RM175,000.

“Sindiket dadah Iran boleh menawarkan harga syabu lebih murah berkemungkinan disebabkan kos penghasilan dadah itu yang rendah di negara berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun tidak semua dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan kerana ada antaranya dalam proses dihantar ke China, Filipina dan lain-lain negara.

Hakikatnya Iran bukan sebuah negara pengeluar dadah seperti mana Mexico dan beberapa buah negara Amerika Latin. Iran sebenarnya menjadi kawasan transit penyeludupan dadah yang berasal dari Afghanistan.

Masalah ini bukan sesuatu yang baru kerana dadah telah menjadi satu komoditi utama di Afghanistan sejak sekian lama. Masalah ini turut membebankan Iran yang mana kawasan sempadan dengan Afghanistan sering digunakan untuk menyeludup masuk dadah untuk pasaran Turki dan Eropah.

Dalam erti kata lain kini Iran digunakan sebagai kawasan transit dadah keluaran Afghanistan sebelum ia diseludup pula ke negara lain termasuk Malaysia.

Masalah ini diterukkan lagi dengan kemiskinan di dua negara ini, memungkinkan mereka yang mencari jalan mudah untuk kekayaan terjebak dalam pengedaran dadah. Akibatnya kegiatan rasuah berleluasa terutama membabitkan pihak berkuasa serta pengawal sempadan.

Keuntungan lumayan dari hasil dadah juga telah mengakibatkan munculnya kumpulan mafia-mafia dadah antara dua negara bersempadan ini.

Berikutan itu adalah pemandangan biasa jika kita melihat di bandar di sempadan Iran seperti Zahedan yang terletak di dalam wilayah Seistan-Baluchistan menjadi tapak penyeludupan utama.

Walaupun gambar Ayatollah Khomeini memenuhi bandar ini, namun sebaik matahari melabuhkan tirainya, aktiviti pemunggahan dan penyeludupan dadah berleluasa walaupun ada masanya trak yang membawa dadah dan anggota polis sering saja berselisih di jalanan.

Dari bandar Zahedan, harga sekilo candu hanya sekitar AS$100 (RM320) sebelum meningkat kepada AS$600 (RM1,920) di Teheran. Harga ini meningkat berkali ganda kepada AS$2,400 (RM7,680 ) apabila tiba di Turki. Candu ini kemudiannya akan diperhalus menjadi heroin dengan menggunakan acetic anhydride.

Bagi harga pasaran di Eropah pula heroin yang mempunyai ketulenan sekitar 35 peratus, dijual pada harga AS$30 (RM96) sekilogram. Menariknya 90 peratus dadah yang digunakan di Eropah datangnya dari Afghanistan.

Kita boleh lihat sendiri perjalanan perniagaan dadah ini melalui proses yang cukup teratur dari mula ia ditanam oleh petani-petani miskin di Afghanistan yang kemudian di seludup ke sempadan Iran sebelum menjadi satu perniagaan yang cukup menguntungkan dari Eropah hinggalah Malaysia.

Dalam penyelesaian masalah ini kesukaran timbul akibat dari Afghanistan itu sendiri terlalu bergantung kepada perniagaan dadah. Usaha untuk menggantikan tanaman berkaitan dadah ini masih gagal akibat dari kurangnya bantuan dan kesungguhan dari negara-negara Barat membantu.

Ditambah pula dengan kedudukan Iran yang dilabel sebagai negara paksi kejahatan, pastinya negara seperti AS tidak akan bersungguh dalam membantu menyelesaikan masalah penyeludupan dadah.

Yang pasti akibat dari keinginan untuk keluar dari kemiskinan dan mencari kemewahan singkat menyeludup dadah, mengakibatkan manusia sanggup merentas benua dan sempadan malah berkorban nyawa di tali gantung.

Oleh HAFIZAHRIL HAMID



* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...