terima kasih buat kalian semua..

Monday, October 11, 2010

Kisah dari Mahkamah Syariah: Akibat Nafsu...Hadiah malang rai ulang tahun ke-21


SEJAK semalam hati Masuriani berbunga mekar. Malah, dirinya bagaikan sudah tidak sabar-sabar lagi menanti detik hari esok. Hanya satu hari lagi dia akan menyambut ulang tahun ke-21. Bermakna, akan tibalah detik kunci kebebasan yang ditunggu-tunggu selama ini.

Melayani hati yang riang, Masuriani menyanyi kecil sambil sibuk mengemaskan beberapa barang perlu dibawa. Antaranya sudah tentu minyak wangi haruman jenama terkenal dihadiahkan oleh buah hati

Masih terngiang-ngiang di telinga Masuriani pesan buah hatinya, Amri supaya jangan lupa membawa dan menyemburkan haruman istimewa itu kala pertemuan yang sudah dirancangkan.
Masuriani bangga, Amri kekasih pertama dicintai begitu memahami minatnya dalam mengumpul koleksi minyak wangi. Dua tahun perkenalan mereka, Amri tidak pernah lupa menitipkan hadiah minyak wangi kepada Maisuriani setiap kali menyambut hari ulang tahun.

Hatinya melonjak riang, janji Amri untuk menghadiahkan koleksi jenama minyak wangi mahal tahun ini sempena ulang tahun ke-21, ternyata sudah dikotakan. Malah, hadiah istimewa itu diberikan lebih awal sebelum ketibaan meraikan ulang tahunnya.

Namun, dalam rasa gembira, Maisuriani turut disulami perasaan berdebar-debar kerana sekiranya pertemuan dirancang menjadi kenyataan, bererti itu adalah kali pertama mereka bertentang mata sebagai pasangan kekasih. Selama ini, perkenalan terjalin hanya menerusi telefon selepas usaha teman baik Maisuriani `menjodohkan’ mereka.

Maisuriani cuba mencongak-congak wajah Amri yang sudah mula semakin dirinduinya. Menerusi corong telefon, suara Amri yang didengarnya agak garau. Namun dalam setiap perbualan mereka, Amri diduganya suka berjenaka dan riang orangnya. Setiap kali berbual Amri sentiasa menyelitkan unsur lucu yang menghibur hati Masuriani.
Gadis sunti yang bakal mendapat kunci kebebasan tidak lama lagi itu turut membayangkan, Amri mempunyai paras rupa agak kacak dengan kulit sawo matang. Apatah lagi, Amri suka merendah diri dengan berkata, kulitnya tidak cerah dan dalam gelap mungkin sukar dilihat. Mengingatkan semula perbualan itu Masuriani
tersenyum-senyum sendirian.

Mengikut rancangan yang sudah diatur, Amri akan menaiki bas ekspres dari Kuantan, Pahang yang bertolak jam lapan pagi. Bermakna, jam 11 pagi mereka sudah boleh bertemu.

Esok yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Dengan berpakaian baju rona merah jambu yang dipadankan celana putih dan siap bersolek cantik, Masuriani keluar dari rumahnya menuju tempat pertemuan.

Bertentang mata pertama kali dengan Amri ternyata membahagiakan. Congakan Masuriani terhadap rupa paras Amri, banyak yang tepat. Pertemuan di restoran itu berlangsung lancar dan sesekali diselangi dengan gelak ketawa seolah-olah membayangkan betapa bahagianya pasangan sejoli itu.

Usai menjamah hidangan, Amri mencadangkan supaya mereka ke tempat lain yang kononnya lebih privasi. Katanya, ada lagi hadiah istimewa untuk Masuriani yang ingin diberikan. Tanpa membantah, Masuriani mengikut saja cadangan itu, lebih-lebih lagi berasa semakin serasi berada di sisi jejaka yang berusia lebih tiga tahun dari usianya.

Pasangan itu kemudian menuju ke sebuah hotel bajet di bandar itu. Mulanya, Masuriani berasa cuak juga untuk menjejakkan kaki ke hotel bajet itu kerana seumur hidupnya itulah pertama kali berkunjung ke situ walaupun sudah lama menetap di bandar itu.

Amri berjaya meyakinkan Masuriani dengan janji bahawa tiada apa-apa akan berlaku antara mereka jika berada dalam bilik nanti. Maisuriani percaya, tidak mungkin Amri ingin melakukan sesuatu yang buruk terhadapnya kerana selama ini menerusi perbualan telefon, kekasihnya itu tidak lupa mengingatkan beberapa perkara mengenai dosa dan pahala.

Selepas mendaftar, Amri dan Masuriani menuju ke bilik yang ditempah. Walaupun berstatus hotel bajet, di dalamnya bersih dan kemas rapi. Ini membuatkan Masuriani selesa dengan keadaan itu.

Menenangkan perasaan, Masuriani duduk di hujung katil manakala Amri meminta diri untuk masuk ke bilik air bagi mencuci muka. Katanya, perjalanan lebih dua jam menyebabkan kulit wajahnya berasa agak kering. Sepuluh minit berlalu, Amri keluar dari bilik air dengan wajah yang lebih segar. Masuriani semakin senang menatap wajah kekasihnya itu.

Mereka terus berbual mesra dan sesekali, Amri menjatuhkan badannya ke katil. Tiba-tiba kedengaran ketukan bertalu-talu. Masuriani terus dihambat rasa terkejut dan takut kerana dari dalam bilik itu mereka juga mendengar beberapa suara yang menggesa membuka pintu bilik hotel itu.

Malang bagi Masuriani dan Amri pada hari itu kerana dicekup Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam kira-kira jam 12 tengah hari selepas kedua-dua mereka dikatakan berkurung di dalam bilik.

Apabila pegawai terbabit membuat pemeriksaan lanjut, mereka didapati bukan muhrim. Masuriani cuba memberi alasan masuk ke bilik yang disewa Amri kerana mahu menemaninya tidur sementara menunggunya pulang ke Kuantan. Namun, alasan itu tidak diterima.

Masuriani dan Amri didakwa di Mahkamah Syariah dengan tuduhan kerana bersekediaman dengan bukan muhrim. Sabit kesalahan mereka didenda RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya. Masuriani kesal, ulang tahun ke-21 yang disangkakan membawa kenangan indah kini terpalit kisah hitam - BH

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

1 comment:

  1. Bukan "Muhrim" ( Orang yang berpakaian Ihram) tapi "Mahram" ( pasangan ynag sah nikah)

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...