terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, October 6, 2010

Klise 'sederhana tetapi meriah'..


DI Malaysia, apa juga sambutan hari kebesaran sering disebut sebagai berlangsung dalam suasana 'sederhana tapi meriah'. Begitulah gambaran diberi media setiap kali hari perayaan sama ada Aidilfitri atau Hari Raya Haji, Qong Xi-Fa Cai, Deepavali, Krismas dan sebagainya. Tidak terkecuali sambutan Aidilfitri yang sedang diraikan sekarang berlangsung dalam suasana yang sama

Ketika mewah atau ketika keadaan rakyat terpaksa mengawal perbelanjaan, perayaan tetap disambut dalam suasana sederhana tapi meriah. Dalam keadaan apa sekali pun, hari kebesaran di negara ini tetap diadakan kecuali bagi mereka yang berkabung. Jarang sekali perayaan kaum atau agama diberi gambaran sebagai disambut secara meriah yang keterlaluan, walaupun ketika mewah.
Satu rekod negara, apa juga perayaan tidak pernah disambut dengan muram durja, walaupun ketika ekonomi negara menghadapi kemelesetan ekonomi yang teruk. Tidak pernah sesiapa pun mempersoal atau cuba mendefinisikan maksud ‘sederhana tapi meriah’. Bagi media, ia adalah cara mudah untuk memberi gambaran umum terhadap ciri-ciri apa juga perayaan di negara ini – masa senang atau sukar.

Ia menggambarkan ciri rakyat Malaysia yang sentiasa bersikap sederhana dan tidak keterlaluan dalam semua hal, sesuai dengan seruan supaya rakyat yang tidak suka membazir selari dengan tuntutan agama. Apa juga yang dilakukan, rakyat diingatkan bahawa ‘esok masih ada’. Suasana perayaan ‘sederhana tapi meriah’ ini bukanlah klise baru, tetapi berlanjutan sekian lama dan sudah diterima sebagai satu cara yang afdal.

Realitinya, sejak beberapa tahun lalu sememangnya setiap sambutan perayaan disambut dalam suasana yang sederhana tetapi tetap meriah. Sederhana kerana rakyat mengambil sikap berhemah untuk berbelanja. Mereka sedar hari ini tidak sesuai bermewah-mewah disebabkan keadaan ekonomi yang masih belum menentu akibat suasana ekonomi dunia yang masih mencengkam. Yang pasti dalam keadaan apa sekali pun aktiviti perayaan berjalan seperti biasa.

Majlis berbuka puasa dan kini rumah terbuka terus diadakan setiap hari, walaupun tidak semewah ketika negara mewah. Jika diperhatikan, suasana membeli-belah ketika musim perayaan tidaklah terlalu meriah. Kesesakan di pusat beli-belah dan tempat tumpuan tidak dikunjungi secara luar biasa seperti pernah dialami sebelum ini.
Peniaga di bazar Ramadan atau gedung perniagaan tetap untung, tetapi tidaklah semewah ketika negara dan rakyat mewah. Cuma, yang seronoknya bagi orang politik, mereka tetap mengaitkan suasana perayaan dengan isu politik. Mereka mengaitkan suasana perayaan dengan politik semata-mata untuk menunjukkan bahawa kedudukan ekonomi negara yang tidak baik dan seboleh-bolehnya menuding jari kepada kerajaan.

Mereka adalah rakyat yang tidak rasional dan berfikiran politik konservatif sempit. Di mana sekali pun di dunia ini, bila fenomena kemelesetan ekonomi melanda, kerajaan dan rakyatnya akan berhati-hati berbelanja. Ketika ekonomi dunia merosot, ia memberi kesan terhadap apa juga perayaan, bukan saja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Suasana perayaan ‘sederhana tapi meriah’ sewajarnya dijadikan amalan dalam apa juga keadaan.

Kemeriahan adalah sesuatu yang subjektif. Ia mempunyai pengertian yang berbeza daripada seorang dengan seorang yang lain. Bagi kanak-kanak, ia mungkin meriah, manakala bagi orang dewasa kemeriahan menjadi lebih bermakna jika dapat bertemu sanak saudara. Bagi orang yang baru kehilangan orang disayang pula, kemeriahan tidak begitu bermakna bagi mereka.

Realitinya, kemeriahan bergantung kepada cita rasa seseorang. Jika wang menjadi ukuran kemeriahan bermakna mereka yang miskin tidak pernah menikmati kemeriahan sepanjang hayat mereka. Tetapi ada orang miskin menikmati kemeriahan, tetapi dengan cara berbeza. Kemeriahan dari segi harta benda dan wang ringgit, adalah sesuatu yang boleh dikawal.

Umumnya ramai mereka yang mempunyai wang, tetapi tidak mahu berhabis-habisan kerana ada komitmen lain menanti. Beberapa bulan lagi sudah hujung tahun dan banyak wang yang akan dibelanjakan bagi persekolahan anak. Yang bujang pula berjimat, mungkin kerana menyediakan persiapan untuk berkahwin, mengumpul wang membeli kereta, rumah dan sebagainya.

Sederhana bermakna tidak terlalu mewah. Mereka tidak mahu berhabis-habisan hanya untuk bergembira pada hari perayaan. Pada hari raya kali ini, jarang kita dengar orang membeli belah hingga lupa daratan. Jika sebelum ini kita pernah dengar bila menjelang perayaan ada orang berbelanja besar, ia sudah jarang didengar

Oleh Mior Kamarul Shahid



No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...