terima kasih buat kalian semua..

Friday, October 8, 2010

Layanan berbeza cacatkan amalan ziarah..jgn jemput orang kaya sahaja..


Tuan rumah mesti muliakan tetamu tanpa kira miskin atau kaya demi eratkan ukhwah

DEMI silaturahim dan hubungan baik, umat Islam saling bertanya khabar dan mengambil berat antara satu sama lain. Sebaik Syawal menjelma, amalan berziarah ke rumah saudara dan sahabat handai adalah sebahagian usaha mengeratkan persaudaraan dan persahabatan

Walaupun tidak dijemput, sewajarnya kita mengunjungi teman yang sudah lama tidak bersua atau membuka pintu rumah selebar-lebarnya menyambut tetamu yang bertandang, tanpa mengira siapa.
Amalan menjemput tetamu adalah sunnah Rasulullah SAW, begitu juga memenuhi undangan. Malah, digalakkan mengadakan kenduri dengan menjemput saudara mara, jiran dan sahabat taulan.

Apabila dijemput menghadiri kenduri kendara, ada kalanya lebih 10 jemputan harus dihadiri sehari. Melainkan ada halangan besar, undangan sudah tentu tidak akan dihampakan walaupun penat tidak terkata.

Makan dan minum hanya sampingan, sebaliknya paling bermakna ialah menggembirakan tuan rumah dengan kehadiran tetamu memeriahkan majlis mereka.

Hari ini, ada kenduri yang diadakan hanya menjemput orang kaya. Majlis diadakan di hotel mewah yang menghidangkan juadah mahal dan eksklusif. Ia sudah tentu tidak menjadi masalah kepada yang berkemampuan, kerana belanja besar tidak menyukarkan mereka.
Namun, Islam menegaskan tidak wajar membezakan antara tetamu kaya dengan yang miskin, sehingga mereka diundang ke majlis berbeza, bahkan diberi layanan berkasta juga walaupun dihidangkan dengan makanan yang enak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah yang dijemput orang kaya saja dan ditinggalkan orang miskin.” (Hadis riwayat imam al-Bukhari)

Ada juga jemputan yang hanya dilakukan dengan mengirim khidmat pesanan ringkas ataupun mesej pendek melalui laman sosial ditujukan secara umum. Malahan, orang menerima jemputan langsung tidak mengenali pihak yang menjemput, sebaliknya perlu memaklumkan akan hadir atau tidak.

Santunnya tentunya berlainan jika tuan rumah menjemput setiap tetamu secara lebih terhormat dan berbahasa dan menjemput orang yang dikenalinya saja.

Tetamu yang menerima undangan pula harus menghadiri majlis yang diadakan tanpa membezakan sama ada jemputan itu datangnya daripada orang yang kaya ataupun miskin sebaliknya, berusaha memenuhi undangan itu.

Bahkan, untuk menyenangkan hati tuan rumah, tetamu tidak boleh sesekali menguzurkan diri kerana berpuasa, menghadiri majlis kenduri bukan semata-mata untuk menikmati juadah. Jika berpuasa sunat pun, kita dibolehkan berbuka dan tetap mendapat pahala jika niat berbuka puasa untuk menggembirakan tuan rumah.

Yang sebaik-baiknya ialah merancang untuk tidak berpuasa jika menerima jemputan, melainkan puasa qada yang tidak boleh dilakukan pada hari lain.

Jika kita memahami hakikat memuliakan tetamu seperti digariskan Islam, tentu sebagai tuan rumah kita tidak mahu mengham-pakan tetamu dengan menghidangkan juadah yang terlalu sedikit sehingga tidak mencukupi.

Pada masa sama, tuan rumah disarankan menyediakan tempat sesuai untuk tetamu makan dan minum serta bersolat. Jangan membiarkan tetamu menunggu terlalu lama menjamah makanan atau menjamu mereka dengan hiburan melalaikan sehingga lupa menunaikan tanggungjawab kepada agama.

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...