terima kasih buat kalian semua..

Sunday, October 17, 2010

Masih ada lagi Nyonya Mansor di zaman sekarang ni...kesian..apalah nasib isteri...


MENDENGAR cerita seorang teman tentang kisah sedih yang melanda rumah tangga anak saudaranya menjadikan saya terkedu.

Marah, geram bercampur sedih menyerang diri. Tidak saya sangka masih ada lagi ibu mertua yang berfikiran dan perangai seperti Nyonya Mansor yang digambarkan di dalam filem Ibu Mertuaku.

Mahu atau tidak, saya terpaksa akur pada hakikat bahawa ibu mertua seperti Nyonya Mansor masih ada walaupun negara sudah berubah dan menikmati pelbagai kemajuan dari segi ekonomi, pendidikan dan teknologi.

Tidak percaya, sila ikuti kisah ini yang diceritakan kepada saya oleh seorang isteri muda yang kini telah kehilangan suami akibat sikap angkuh dan bongkak ibu mertuanya.

Safia (bukan nama sebenar) berusia lewat 20-an, berkahwin dengan Amir (bukan nama sebenar) lebih kurang empat tahun lalu setelah bercinta semasa di kampus.

Di peringkat awal perkahwinan Safia dan Amir tidak menghadapi masalah dengan ibu mertuanya kecuali Safia diminta untuk tinggal bersamanya selepas mendirikan rumah tangga.

Merasakan arahan itu satu perkara biasa daripada seorang ibu yang mempunyai anak tunggal, Safia menyangka dia akan hidup bahagia bersama Amir dengan menumpang kasih ibu mertuanya.

Pasangan ini telah dikurniakan seorang anak lelaki berusia dua tahun. Cucunya ditatang bagaikan minyak yang penuh malangnya menantu diseksa jiwa dan raga.

Tanpa mengetahui dia bukan menantu pilihan mentuanya, Safia melalui saat-saat pahit hidup bersama mertua yang cemburukan anak lelakinya diberi perhatian oleh isteri.

"Saya tidak pernah diberi peluang mengurus hal ehwal suami sejak kami bernikah. Makan minum, pakaian dan apa sahaja di dalam rumah ibu mertua yang uruskan.

"Malah jika saya lipat kain, gosok baju atau memasak semuanya tidak kena. Dia akan gosok semula jika tidak berpuas hati, begitu juga makanan, semua dia yang mahu masak. Hak saya sebagai isteri dinafikan," luah Safia.

Anak sulung mereka juga dilarang bersama Safia. Boleh dikatakan setiap masa bersama ibu mertuanya.

"Saya langsung tidak ada peluang bermesra dengan anak sulung saya. Dua puluh empat jam dikawal neneknya. Siang saya bekerja, malam dia tidur dengan neneknya. Bila masa saya hendak mencurahkan kasih sayang kepadanya," tambah Safia.

Kemuncak kepada kebencian mentua itu berlaku apabila Safia selamat melahirkan bayi keduanya. Safia mula perasan suami tidak mengambil berat akan kebajikannya sepanjang mengandung anak kedua.

Pergi balik hospital untuk pemeriksaan seorang diri. Semasa sakit hendak bersalin juga Safia pergi sendiri ke hospital sehinggalah bayi kedua mereka selamat menjenguk dunia.

"Selepas kelahiran anak kedua kami, saya menunggu suami datang tetapi sampai hari keempat dia tidak muncul. Akhirnya saya menelefon kakak minta jemput saya sebab saya perlu keluar dari hospital.

"Saya minta tolong hantar saya ke rumah mentua. Sepanjang jalan saya berdoa agar mentua menerima saya dengan baik. Malangnya sebaik muncul di muka pintu, dia menghalau saya.

"Kalau kamu aku tak suka, keturunan kamu pun aku tak suka..kamu boleh pergi dari sini. Aku tidak mahu tengok muka kami lagi," begitu kata-katanya.

Hati mana yang tidak luluh mengenangkan sikap ibu mertua sedemikian rupa.

"Saya merayu minta diberi masuk sekurang-kurangnya untuk mengambil barang-barang dan anak sulung saya yang ada di dalam rumah . Puas menangis dan merayu akhirnya saya diberi kebenaran masuk untuk mengambil barang-barang," katanya.

Masalah tidak selesai di situ, perebutan anak pula menjadi isu. Mentua berkeras tidak membenarkan Safia membawa anak sulungnya.

"Syukur, setelah berbalas-balas kata akhirnya dia menyerahkan anak sulung kepada saya untuk dibawa bersama.

"Apa yang saya amat sedih, saat itu, suami ada bersama tetapi dia hanya memandang seperti orang bodoh, tidak ada sepatah kata terbit daripada bibirnya. Saya hairan sungguh dengan kelakuannya. Dia berkahwin dengan mak dia atau saya?,'' soal Safia.

Menurut Safia, itulah kali akhir dia bertemu ibu mentua dan suaminya. Dia tidak tahu apa jenis mentua wanita itu dan apa jenis suami lelaki yang telah menghancurkan hidupnya kini.

Mujur kakaknya ada bersama, Safia kembali ke rumah ibu bapanya sepanjang berpantang. Sehingga kini suami tidak langsung bertanya khabar. Jauh sekali menjenguk anak-anaknya.

"Suami menjadi takut dengan ibunya. Apa kata ibunya diturut tanpa membantah. Macam orang bodoh. Sampaikan hendak memberitahu ibunya yang saya mengandung pun dia takut.

"Apa guna belajar pandai, pegang jawatan tinggi tetapi kalau hidup dikongkong ibu. Mana sifat kejantanannya. Mana tanggungjawabnya sebagai suami dan ibu. Selama ini saya memendam rasa dengan harapan dia akan berubah. Tapi yang lain pula berlaku," tambah Safia.

Saya hilang kata-kata mendengar kisah Safia. Saya kagum dengan kesabarannya menghadapi situasi itu selama empat tahun tanpa memberitahu ibu bapa dan keluarganya.

Kepada Safia kuatkan semangat, jaga anak-anak sebaik mungkin dan didik mereka menjadi insan berguna kepada agama, keluarga dan masyarakat. Anda harus bersyukur kerana masih ada keluarga yang menyayangi anda.

Insya-Allah Tuhan sentiasa mendengar dan membantu hamba-Nya yang sabar dan redha dengan ujian yang Dia berikan.

Menutup kata sekadar renungan bersama: jangan ditangisi kepedihan hari ini kerana ia tidak akan kembali tetapi mimpikan hari esok, kerana matahari yang bersinar terang mungkin membawa cahaya terang yang bakal menyuluh hidupmu yang mendatang. - UM

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

1 comment:

  1. sabarlah dengan ujian yang menimpa.adakala hidup kita ini penuh dengan ujian yang tidak disangka begitu juga kalau Allah hendak memberi nikmat NYA kepada kita.apa yang penting sentiasalah kita berdoa kepadaNYA selalu.susah dan senang.wallahua'lam

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...