terima kasih buat kalian semua..

Saturday, October 9, 2010

Rezeki tahi musang




SETELAH lama tidak pulang kampung, Saiful yang bekerja di Jakarta pulang ke kampung halamannya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

Kerana kedudukan Jakarta ke Lampung Barat terlalu jauh menyebabkan dia jarang sekali pulang dan kadangkala sehingga bertahun dia tidak menjenguk orang tuanya.

Majoriti penduduk kampung bekerja di ladang-ladang kopi atau menanam sayur dan pendapatan yang diperolehi cukup untuk mengalas perut daripada kelaparan. Hidup di kampung memang tidak kebuluran tetapi untuk memperolehi wang yang banyak atau hidup mewah memang hanyalah impian.

Kadangkala sistem pertukaran barangan masih dijalankan seperti buah kelapa ditukar dengan kopi dan telur itik ditukar dengan beras.

Lantaran itu Saiful tekad untuk keluar dan berhijrah ke kota metropolitan Jakarta untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Walaupun dengan kelulusan sekolah menengah atas, dia hanya layak bekerja sebagai pemandu peribadi di kota yang menjanjikan seribu harapan itu.

Namun baginya gaji sebanyak Rp2 juta atau kira-kira RM700 itu sudah cukup lumayan berbanding apa yang diperolehi jika meneruskan kerja di ladang kopi sebagaimana orang tuanya.

Malam itu ketika duduk di hadapan rumah sambil berbual dengan bapanya sambil menghirup kopi, pelbagai perkara dibincangkan dan ia sekitar aktiviti di kampung berkenaan.

Bapa Saiful merungut kerana buah-buah kopi di kebunnya sering dimakan musang menyebabkan pendapatannya merosot. Tiba-tiba mendengarkan cerita bapanya itu Saiful melompat. Bapanya tercengang melihat gelagat anak sulongnya daripada empat adik beradik itu.

"Ha! inilah peluang untuk buat duit," bicara Saiful hampir-hampir menjerit kegirangan mendengarkan masalah musang di kampung.

Bapanya tergaru-garu kepala memikirkan kata-katanya Saiful, dahinya yang berkedut, bertambah dikerutnya untuk memerah fikiran apakah erti perkataan anaknya itu.

"Daripada musang inilah kita boleh menghasilkan kopi luwak yang tinggi harganya dan cukup popular di Jakarta dan hampir seluruh dunia," kata Saiful.

Dari situlah timbulnya idea para penduduk kampung di Lampung Barat untuk menangkap musang liar dan diberi makan kopi. Najis yang diperolehi dan masih mengandungi biji kopi dijemur sehingga kering sebelum dicuci dan diproses menjadi kopi. Walaupun perkembangannya agak perlahan, tetapi pada masa ini terdapat enam orang pengusaha kopi luwak di Lampung Barat.

Ditangkap

Musang-musang liar ditangkap menggunakan perangkap dan selepas dikurung dan diberi makan buah kopi untuk tempoh tertentu, akan dilepaskan kembali ke hutan.

Ini kerana kos untuk memelihara seekor musang agak mahal kerana musang juga perlu meminum susu dan memakan daging untuk memastikan haiwan itu sihat.

Oleh itu apabila musim kopi berkurangan, musang akan dilepaskan kembali ke dalam hutan dan ditangkap kembali apabila musim buah kopi bermula.

Sebenarnya musang yang sering menangkap ayam dan ternakan lain di kampung, jugalah yang memakan buah-buahan termasuk kopi. Jika musang berkenaan dikurung terlalu lama ia akan menjadi kurus dan tidak sihat.

Pegawai Daerah Lampung Barat, Mukhlis Basri berkata, lebih 60,000 hektar tanah di Lampung Barat ditanam dengan kopi jenis Robusta yang menghasilkan lebih 38,000 tan kopi setahun mempunyai potensi cukup besar untuk menghasilkan kopi luwak.

Walaupun Lampung Barat baru menceburi bidang berkenaan, beliau kini menggalakkan para petani untuk menukarkan aktiviti pertanian yang memberi pendapatan rendah kepada penghasilan kopi luwak yang dapat memberi pendapatan tinggi.

Namun oleh kerana ketinggian Lampung Barat di bawah 1,000 meter dari paras laut, ia lebih sesuai ditanam dengan kopi jenis Robusta yang kualiti dan harganya lebih rendah berbanding kopi Arabica yang ditanam di kawasan lebih tinggi.

Bagaimanapun sejak perusahaan kopi luwak dikembangkan di kawasan berkenaan ia memberi harapan baru kepada para petani untuk meningkatkan pendapatan mereka dan orang seperti Saiful tidak lagi perlu berhijrah ke kota untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Walaupun di Malaysia kopi luwak masih diragui status halalnya, tetapi di Indonesia telah dikeluarkan fatwa bahawa kopi itu halal kerana ia hanya terkena najis dan apabila dibersihkan masih boleh diminum dan kopi luwak dijual pada harga kira-kira RM30 secawan di Jakarta.

Terdapat juga pengusaha membeli najis musang yang belum dicuci untuk diproses menjadi kopi, kerana dikatakan lebih enak dan digemari oleh pelancong asing.

Biji kopi yang berada di dalam perut musang dikatakan mengalami proses kimia yang menyebabkan ia lebih berperisa, selain musang merupakan haiwan yang mempunyai deria tajam untuk memilih kopi yang terbaik. - UM



* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...