terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, October 27, 2010

RM600 upah baru amah Indonesia?


RAKYAT Malaysia dikhabarkan rundingan syarat baru pengambilan amah dari Indonesia termasuk kadar upah masih belum selesai. Maknanya, belum ada kata putus berapa gaji yang mesti dibayar kepada amah dari negara jiran itu.

Oleh itu kadar upah setakat ini masih tertakluk kepada paras lama – RM500 gaji tahun pertama manakala seterusnya atas budi bicara majikan.

Bagaimanapun keluhan seorang pembaca menerusi emelnya kepada saya agak mengejutkan. Begini bunyinya:

Sebenarnya saya sedang cari pembantu rumah baru nak ganti pembantu rumah yang nak dihantar balik hujung bulan ini. Masa tanya ejen, dia kata gaji untuk pembantu rumah baru RM500 saja. Malah pembantu rumah adik saya yang saya tolong bawa pergi perbaharui pasport pun bayar RM500.

Tapi bila nak perbaharui pasport sebab nak perbaharui permit yang hampir luput tarikh, saya diminta isi borang kontrak dengan pembantu rumah. Saya mengisi di bahagian gaji RM500.

Bila nak serah borang di kaunter, pegawai bertugas suruh saya batalkan jumlah gaji yang saya tulis dan ganti dengan RM600. Kalau tak mahu, pegawai itu tidak akan proses untuk perbaharui pasport. Malah ketika menunggu di situ kami diberi penerangan bahawa gaji pembantu rumah adalah RM600. Jadi pembantu rumah adik saya yang mendengar penerangan itu apabila sampai rumah terus beritahu gaji dia kena bayar RM600.

Yang saya tidak faham, kerajaan kita tak ada pun buat perjanjian dengan kerajaan Indonesia kadar baru gaji amah dari negara itu adalah RM600. Macam pembantu rumah yang saya nak hantar balik ini memang tak boleh buat kerja, dan saya tidak rasa dia layak dibayar gaji RM600. Saya harap perkara ini dapat diperjelaskan.

Sememangnya dalam pengetahuan kita rundingan mengenai gaji amah dari seberang serta syarat-syarat lain masih berlangsung. Tiada ketetapan mahupun keputusan. Majikan-majikan di Malaysia masih menunggu, begitu juga rakyat Indonesia yang ingin bekerja di sini.

Dalam suasana tidak pasti, ramai juga majikan dan bakal majikan di negara ini tidak senang duduk. Maklumlah, permintaan untuk mendapatkan amah warga Indonesia memang tinggi.

Di negara jiran itu yang menunggu giliran untuk dibawa masuk ke Malaysia juga ramai. Kelewatan kedua-dua pihak mencapai persetujuan berhubung terma dan syarat menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan mengenakan syarat sendiri.

Tanpa disedari, seperti mana aduan pembaca ada syarat untuk memproses memperbaharui permit pembantu rumah iaitu kepada RM600. Tentunya perkembangan terbaru itu sangat tidak adil kepada majikan di negara ini. Tanpa hitam putih majikan terjerat dengan syarat tersebut.

Umpama ditelan mati emak diluah mati bapa, ada majikan terpaksa akur. Dalam keadaan tidak pasti juga, amah yang sedang berkhidmat mula memasang angan-angan untuk melonjakkan gaji berganda. Mulalah buat kerja tak betul, mulalah mogok apabila dikhabarkan semasa bersembang dengan rakan-rakan gaji mereka sepatutnya RM600.

Misalnya dalam kes pembaca yang membuat aduan itu, tentunya amah yang mendengar taklimat menggunakan maklumat tersebut untuk mendesak majikannya menambah gaji atau mogok tak buat kerja rumah jika upahnya tidak dinaikkan.

Majikan di negara ini tidak kisah membayar upah sebanyak itu jika amah yang bekerja dengan mereka pandai membuat kerja rumah. Sekurang-kurangnya cekap melakukan kerja-kerja asas termasuk mengendalikan perlatan elektrik.

Namun sehingga kini majikan di Malaysia sering tidak diberi amah gred A. Gred B pun tidak. Majikan di sini terpaksa berpuas hati dan makan hati dengan amah gred C yang tidak tahu membaca dan menulis selain kekok melakukan kerja-kerja rumah.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab kerajaan di kedua-dua negara untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin sebelum lebih banyak pihak mengambil kesempatan menetapkan syarat-syarat sendiri yang ternyata merugikan satu pihak sahaja.

Oleh Noraini Abd. Razak



* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

1 comment:

  1. belalah indon tu, lama lama dia lari atau pijak kepala kita. tinggal kat rumah kita dia nak minta ada aircond.. ada yang nak kena bela macam kucing

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...