terima kasih buat kalian semua..

Friday, October 8, 2010

Rumah terbuka tapi hati ‘tertutup’?


RUMAH terbuka? Saya tidak boleh mengingati bila sebenarnya istilah itu diperkenalkan. Tetapi istilah itu tidak ada semasa zaman kecil, remaja mahupun ketika menuntut di universiti. Sepanjang Syawal atau apa juga perayaan, rumah memang sentiasa terbuka untuk dikunjungi tetamu. Adat Melayu pula tidak pernah membataskan ‘waktu melawat’ atau menziarah. Tetamu dilayan tanpa mengira sama ada pada bulan perayaan atau hari-hari biasa. Apa yang ada di dapur kebiasaannya akan menjadi hidangan untuk tetamu.

Yang pasti minggu ketiga Syawal sarat dengan undangan rumah terbuka. Rumah terbuka di rumah, di pejabat di hotel dan juga di restoran. Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri kini dilonggokkan di rumah-rumah terbuka yang kebiasaannya menuntut satu hari khas untuk melayan tetamu. Maknanya, dalam sebulan kita meraikan Syawal, hanya pada hari itu kita dijemput untuk beraya ke rumah, pejabat, hotel atau restoran tersebut. Kementerian, jabatan, menteri dan korporat-korporat juga sibuk mengadakan rumah terbuka terutama dalam keadaan Syawal hanya tinggal seminggu lagi.

Konsep awal hari raya dulu-dulu, kunjung-mengunjungi di hari raya tidak memerlukan jemputan dan tidak juga diuar-uarkan sebagai rumah terbuka. Sesiapa yang melintas dan teringin singgah, maka merekalah tetamu hari raya kita.

Apa pun keseronokan rumah terbuka zaman moden adalah kesempatan bertemu rakan-rakan lama. Maklumlah, apabila satu hari dikhaskan untuk semua orang datang beraya, maka tentulah ia menjadi ruang serta peluang untuk bertemu dengan banyak orang.

Seperti mana bulan Ramadan, rumah terbuka hari raya juga tidak melupakan golongan kurang bernasib baik. Anak-anak yatim selalu menjadi tetamu khas yang diraikan semasa rumah terbuka. Tentunya keikhlasan pihak penaja atau tuan rumah menambah berkat rumah terbuka yang diadakan. Namun kadang-kadang sebagai manusia yang dihadkan akal dan pengetahuan, kadang-kadang tidak tercapai dek akal sejauh mana keikhlasan tuan rumah menyenaraikan anak-anak yatim sebagai tetamu khas mereka. Adakah kerana rutin. Atau sememangnya kerana disyaratkan anak-anak yatim dijemput untuk menceriakan suasana.

Menyentuh tentang anak yatim sebagai tetamu khas rumah terbuka, teringat saya luahan hati kawan-kawan tentang tragedi rumah terbuka anjuran sebuah kementerian baru-baru ini. Acara memang meriah. Mewah dengan pelbagai jenis makanan. Sebut apa saja, semuanya ada. Maklumlah hari raya, tetamunya pula tidak mengira bangsa dan agama maka kepelbagaian juadah tentunya dapat memuaskan hati para tetamu. Sekumpulan anak yatim turut dijemput sebagai tetamu rumah terbuka itu. Menjelang tengah hari ketika mana perut masing-masing sudah berbunyi, acara masih belum dapat dimulakan. Orang kenamaan yang menjadi tetamu penting majlis tersebut belum sampai, oleh itu tetamu-tetamu lain yang telah memenuhi dewan termasuk tetamu cilik kumpulan anak yatim terpaksa menahan perut. Makanan yang telah lama terhidang hanya menjadi bahan tontonan. Acara hanya bermula apabila VIP sampai.

‘‘Kasihan, anak-anak yatim tak dibenarkan makan sedangkan budak-budak tu dah lapar,’’ kata seorang teman. Semacam tidak percaya konsep rumah terbuka yang terpaksa menunggu tetamu istimewa sebelum tetamu lain boleh menikmati makanan. Adakah betul cara itu sedangkan sepatutnya setiap tetamu tidak boleh dibiarkan menunggu lama. Lantaran ada tetamu yang tidak sempat mengisi perut sebelum ke rumah terbuka pasti tidak dapat menahan lapar apatah lagi melihat makanan di sana-sini. ‘‘Apa jadi dengan budak-budak tu,’’ saya bertanya. ‘‘Anak-anak yatim yang tak tahu apa terpaksa tunggu sampai VIP sampai tapi sekumpulan manusia yang tak sanggup melihat keadaan itu memboikot rumah terbuka kementerian tersebut,’’ jawab teman yang seorang lagi.

Oleh NORAINI ABD. RAZAK



* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...