terima kasih buat kalian semua..

Saturday, October 16, 2010

Salur maklumat kesesakan di lebuhraya secara real time dan segera..


Pada tanggal 10 Oktober lalu, negara kita sekali lagi digemparkan dengan tragedi yang cukup menyayat hati apabila berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan bas ekspres di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara- Selatan (PLUS). Takziah diucapkan kepada ahli keluarga mangsa nahas tersebut.

Apabila kejadian seumpama ini berlaku, banyak pihak akan menanggung kesusahan dan kesulita, antaranya pengguna jalan raya itu sendiri. Saya sendiri sebagai pengguna lebuh raya tersebut telah terperangkap dalam kesesakan sehingga berpuluh kilometer jauhnya.

Apa yang ingin saya utarakan ialah sistem penyampaian maklumat berkaitan kejadian tersebut, seterusnya langkah alternatif yang sepatutnya diambil oleh pihak berkaitan.

Saya yang ingin pulang ke Melaka memasuki Plaza Tol Sungai Besi lebih kurang jam 9 malam tidak mempunyai maklumat langsung berkaitan kejadian tersebut yang berlaku lebih kurang jam 6.40 petang, sedangkan sepanjang masa saya mendengar siaran radio tempatan.

Hebahan berkaitan kemalangan itu hanya ke udara beberapa kali sahaja, itu pun pada waktu yang sudah agak lewat. Jika hebahan tersebut disiarkan dengan kekerapan yang tinggi dan juga secara menyeluruh iaitu semua stesen radio tempatan menyiarkannya, saya rasa ia amat bermanfaat kepada orang ramai terutamanya pengguna lebuh raya.

Jika mereka mengetahui tentang kejadian tersebut yang menyebabkan kesesakan teruk, nescaya mereka akan cuba mengelaknya, sama ada mencari jalan alternatif ataupun menangguhkan perjalanan.

Pengguna yang memasuki lebuh raya setelah berlakunya kesesakan di tempat kejadian akan menambahkan lagi kesesakan tersebut. Untuk makluman, saya sampai di Merlimau, Melaka lebih kurang jam 4 pagi. Nasib yang sama juga turut terjadi kepada pengguna lain (sedangkan beberapa jam lagi akan pergi bertugas).

Pihak berkaitan seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau PLUS sendiri seharusnya dengan kadar segera memberi info sama ada melalui papan info lalu lintas atau menyalurkan kepada semua stesen radio untuk hebahan.

Pihak penyiaran seharusnya melaksanakan tugasan ini sebagai memenuhi tanggungjawab sosial dalam memberikan maklumat kepada orang ramai. Ia tidak memadai dengan satu atau dua stesen radio sahaja.

Di sini kita merasakan perlunya kerjasama antara semua pihak sama ada sesama badan atau stesen penyiaran radio atau pihak berkaitan dengan stesen penyiaran radio. Begitu juga dengan pihak PLUS supaya menghebahkannya melalui juru tol yang bertugas secara lisan atau papan maklumat elektronik.

Maklumat awal sekurang-kurangnya membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan mereka sekali gus mengelakkan diri daripada menyumbang atau menambahkan lagi kepada kesesakan.

Bagi menyelesaikan masalah pengguna yang telah terperangkap dan agak mustahil untuk berpatah balik, pihak PLUS seharusnya mempunyai alternatif untuk membuka laluan kontra dengan membuka penghadang jalan raya bagi membolehkan pengguna melalui laluan bertentangan dan memasuki laluan asal kembali setelah melewati tempat kejadian.

Pihak trafik boleh memainkan peranan pada waktu ini untuk mengawal lalu lintas agar perjalanan tetap lancar.

Sudah sampai masanya rakyat Malaysia terutamanya pegawai berkaitan berfikiran jauh ke hadapan dalam menghadapi risiko yang bakal dihadapi dan pelan tindakan yang akan diambil. Kita seharusnya bertindak pantas dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan berfikir kelas 1.

Mohd Zailani Ismail

Merlimau, Melaka



* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...