terima kasih buat kalian semua..

Sunday, October 3, 2010

Taktik pegawai Imigresen seludup PATI..


Sebagai penguat kuasa Imigresen, mereka dipertanggungjawabkan menjaga pintu masuk negara daripada diceroboh oleh warga asing.

Bagaimanapun lain pula yang terjadi apabila terdapat seorang pegawai jabatan itu sanggup menjadi dalang aktiviti membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jeti Pulau Ketam, Selangor.

Namun kegiatannya itu tidak bertahan lama apabila dia dan tujuh suspek lagi diberkas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hasil maklumat serta intipan.

Dalam serbuan itu, SPRM turut menemui wang tunai kira-kira RM30,000 di rumah pegawai tersebut, manakala RM70,000 lagi dijumpai di pejabat salah seorang perantara yang ditahan.

Sumber SPRM memberitahu, kesemua mereka ditahan antara pukul 6 petang dan 8 malam semalam di beberapa lokasi sekitar Klang, Selangor.

Katanya, pegawai Imigresen berusia lewat 20-an dan telah berkhidmat kira-kira empat tahun itu, dipercayai menjadi dalang utama sindiket tersebut, manakala mereka yang lain, berusia 30 hingga 45 tahun menjadi perantara.

"Kegiatan mereka bermula sebelum PATI memulakan perjalanan apabila setiap mereka dikehendaki membayar sejumlah wang suapan atau dikenali sebagai 'wang tunjuk' kepada kapten kapal.

"Sebaik sahaja tiba di jeti Pulau Ketam, kapten akan menyerahkan wang itu kepada perantara sebelum diserahkan kepada pegawai Imigresen terbabit.

"Pegawai itu akan arahkan pula perantara serahkan sebahagian 'wang tunjuk' kepada pegawai Imigresen yang lain seperti (yang bertugas) di kaunter," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambah sumber itu lagi, setiap PATI yang telah membayar 'wang tunjuk' terbabit akan diberikan tiket perjalanan yang mempunyai kod tersendiri.

"Pegawai Imigresen yang terlibat mengetahui bahawa PATI terbabit telah membayar 'wang tunjuk' berdasarkan kod pada tiket perjalanan itu.

"Oleh itu, PATI terbabit hanya diperiksa secara ala kadar sahaja," katanya.

Dalang sindiket tersebut dipercayai memperoleh pendapatan RM25,000 sebulan, manakala pegawai Imigresen yang lain antara RM5,000 dan RM6,000.

Jelasnya, bagi memudahkan urusan, sindiket itu akan mengarahkan PATI membeli tiket perjalanan sehala sahaja berbanding peraturan sebenar yang mengkehendaki mereka membeli tiket pergi dan balik untuk masuk ke negara ini, selain membawa wang tunai RM500.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull ketika dihubungi hari ini mengesahkan mengenai penangkapan kesemua suspek.

sumber:utusan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...