terima kasih buat kalian semua..

Sunday, October 3, 2010

Tangani isu kebanjiran pekerja asing dan utamakan kepentingan rakyat melebihi daripada yang lain..


DALAM usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi melalui Model Baru Ekonomi (MBE) menjelang 2020, pengambilan pekerja asing tidak berkemahiran terlalu ramai sudah tidak relevan lagi.

Jumlah pekerja asing menghampiri dua juta orang dengan sebilangan besarnya dari Indonesia dan Bangladesh amat merisaukan kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada negara pada masa akan datang terutama dari aspek sosial dan keselamatan

Kepentingan dan keluh kesah rakyat perlu diambil kira berbanding faktor keuntungan diraih oleh agensi pembekal pekerja asing yang selalunya membawa masuk pekerja tanpa had.
Kebanyakan warga asing yang datang dari Indonesia membawa bersama kaum keluarga untuk menetap di sini. Ramai juga yang memperoleh taraf penduduk tetap (PR) selepas lama tinggal di sini dan ada pula yang berkahwin dengan rakyat tempatan.

Adakah mereka akan pulang juga ke negara asal mereka akhirnya? Dengan sebilangan besar warga Indonesia membuka perkampungan dan koloni sama ada secara terang-terangan atau tersorok, ia akan menyumbang masalah kepada penduduk setempat.

Pekerja asing dari Bangladesh yang pada asalnya bekerja di stesen minyak, kilang dan tapak pembinaan, kini meningkat jumlahnya dengan mendadak walaupun kerajaan membekukan pengambilan pekerja dari sana tidak lama dulu.

Dasar tidak konsisten serta majikan yang lebih gemar menggaji pekerja Bangladesh menyebabkan mereka boleh ditemui bekerja sebagai pembantu kedai, mekanik, tukang jahit, pemandu teksi dan beberapa jenis pekerjaan yang rasanya seperti tidak masuk akal jika tidak dapat diisi pekerja tempatan.
Sesuatu perlu dilakukan supaya pengurangan pekerja asing tidak menjejaskan pula negara. Sektor industri yang terlalu bergantung kepada tenaga buruh secara pukal perlu diubah kepada berteknologi automasi supaya dapat dikendalikan oleh pekerja tempatan berkemahiran.

Institusi latihan industri dan vokasional perlu diperbanyakkan agar dapat menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran dan produktif. Jika kita mempunyai Akademi Binaan Malaysia untuk melatih pekerja tempatan untuk sektor pembinaan, akademi yang sama perlu diwujudkan untuk membekal tenaga kerja di sektor perladangan dan pertanian.

Selain itu, jumlah pelajar IPT, suri rumah, bekas tentera, golongan orang kurang upaya (OKU) dan pesara yang ramai boleh dimanfaatkan untuk memaksimumkan guna tenaga kerja negara tidak kira secara tetap atau sambilan.

Akhir sekali, kerajaan usah sesekali tunduk kepada desakan dari negara terbabit terutama membabitkan isu gaji dan tambahan pembekalan tenaga kerja sebaliknya kerajaan perlu mengutamakan kepentingan rakyat melebihi daripada yang lain.

M FAISAL,
Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...