terima kasih buat kalian semua..

Thursday, October 7, 2010

Terpaksa Akur teksi di stesen komuter tidak guna meter..


BANGI - Keluhan pengguna terhadap perkhidmatan teksi yang enggan menggunakan meter bagaikan tiada kesudahannya.

Walaupun ingatan demi ingatan diberikan dan tindakan demi tindakan diambil tetapi masih ada pemandu teksi yang melanggar peraturan berhubung penggunaan meter.

Walaupun merasa tertipu, ramai pengguna yang kadang kala terpaksa akur dengan keadaan itu atas pelbagai alasan termasuk tiada pilihan lain atau ada yang cepat kerana urusan tertentu.

Salah satu kawasan yang sering menjadi tumpuan pemandu teksi tidak menggunakan meter ialah stesen komuter dan stesen komuter UKM dekat sini tidak terkecuali.

Menyedari kawasan itu banyak terdapat pelajar universiti, ramai pemandu yang mengambil kesempatan dengan tidak menggunakan meter atas alasan jarak perjalanan yang dekat dan tidak sesuai menggunakan meter.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar stesen berkenaan mendapati banyak teksi menunggu pelanggan tidak jauh dari stesen berkenaan.

Seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nor Hidayah Ismail, 25, berkata, tambang yang dikenakan oleh teksi yang tidak menggunakan meter ke kolej kediaman mengikut jarak kolej.

"Harga 'standard' yang dikenakan untuk ke kolej yang berdekatan adalah sebanyak RM5 dan akan meningkat jika jarak kolej terletak agak jauh sedangkan kita hanya perlu membayar RM3 sahaja jika menggunakan meter.

"Terdapat juga pemandu teksi mengenakan tambang RM5 seorang dan mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan mengambil empat penumpang sekali gus," katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi pelajar UKM, Wan Hannah Hanim Wan Mohamad, 19, berkata, ramai pemandu di situ yang meletakkan kadar tambang yang tinggi tanpa mengambil kira kebanyakan penumpang mereka adalah pelajar.

"Sebagai contoh, pada Ahad lalu, saya ke Sungai Ramal Dalam di Kajang dan hanya membayar RM8 sahaja menggunakan bermeter tetapi beberapa hari selepas itu, saya dikenakan caj RM15 untuk ke tempat yang sama kerana tidak menggunakan meter.

"Alasan yang diberikan ialah harga itu adalah harga standard yang sudah ditetapkan," katanya yang enggan gambarnya diambil kerana sering menggunakan teksi di situ dan bimbang diancam.

Dia berharap para pemandu teksi bersikap lebih bertanggungjawab dan mematuhi peraturan yang ditetapkan supaya teksi menjadi pilihan nombor satu di kalangan pengguna di stesen itu.

Sementara itu, seorang pelajar Kolej Poly-Tech Mara, Norfadilah Mohd. Nor, 20, berkata, sangat sukar untuk mendapatkan teksi bermeter di stesen berkenaan.

"Saya berasa tertipu dengan harga yang dikenakan sedangkan tempat yang dituju dekat sahaja, mereka seolah-olah mengambil kesempatan kerana ada pengguna yang tidak tahu harga sebenar.

"Untuk mengelak daripada dikenakan bayaran tinggi, saya sentiasa menggunakan perkhidmatan teksi yang saya sudah kenal pemandunya," jelasnya.

Oleh ZUBAIDAH IBRAHIM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...