terima kasih buat kalian semua..

Friday, November 5, 2010

Apakah yang dimaksudkan dengan org yg bermusafir???


ADAKAH seseorang yang belajar di negeri orang dianggap musafir. Diharap dapat penjelasan mengenai musafir.
INGIN TAHU,
Pahang.

Jawapan:

Dari sudut bahasa, musafir ertinya orang yang mengadakan perjalanan meninggalkan negerinya (selama tiga hari atau lebih). Dalam istilah syarak, maksudnya orang yang meninggalkan tempat tinggalnya dalam jarak tertentu dan berniat tinggal di tempat dituju dalam tempoh waktu tertentu.
Menurut Mazhab Syafie dan Maliki, jarak ditempuh sekurang-kurangnya 77 kilometer dan 115 kilometer menurut Mazhab Abu Hanifah.

Imam Ahmad berpendapat seseorang tidak lagi disebut musafir apabila ia bermaksud tinggal empat hari atau lebih di sesuatu tempat. Imam Syafie dan Imam Maliki juga berpendapat demikian. Imam Abu Hanifah membenarkan sehingga 15 hari. Dengan demikian, dalam pandangan ulama itu, jika seseorang berniat tinggal lebih daripada waktu yang berkenaan sejak awal, maka dia bukan musafir lagi. Jadi, dia tidak diberi izin untuk menjamak (menggabungkan solat Zuhur dan Asar atau Maghrib dan Isyak), apalagi mengqasar (melaksanakan solat fardu yang empat rakaat menjadi dua rakaat).

Sekiranya seorang musafir itu terpaksa menunda kepulangannya sehari kerana sesuatu hal yang masih belum selesai, maka statusnya sebagai musafir boleh ditambahkan lagi sehari. Kemudian jika kepulangannya ternyata masih perlu ditunda lagi, maka statusnya masih dapat ditambah lagi hari demi hari. Imam Syafie membataskan penambahan hari hanya sampai 17 atau 18 hari, sementara imam mazhab lain tidak membataskannya, tetapi saudara perlu ingat bahawa keizinan ini berlaku bagi mereka yang berstatus musafir dalam pengertian di atas, bukan bermaksud untuk menetap berbulan-bulan seperti seorang mahasiswa atau pelajar yang menetap di asrama.

Imam Abu Hanifah mewajibkan musafir melakukan solat qasar iaitu Zuhur, Asar dan Isyak setiapnya menjadi dua rakaat, manakala tiga imam mazhab yang lain membolehkan untuk memilih sama ada mengqasar atau melakukan empat rakaat seperti biasa. Dalam sebuah hadis diriwayatkan Imam Ahmad, al-Bukhari dan Ibnu Majah dari Ibnu Abbas menyebut ketika Nabi SAW memasuki kota Makkah (dari Madinah), Baginda tinggal di sana 19 hari dan mengerjakan solat dua rakaat. Ada juga riwayat menyatakan 17 hari dan 18 hari. Kemungkinan yang menghitung 17 hari tidak termasuk hari datang dan hari pulang dan yang menghitung 18 hari tidak dikira sekali hari pulang.

Hadis ini salah satu alasan bagi membolehkan solat qasar dan penundaan sehari demi sehari itu tidak melebihi 17 atau 18 hari. Sememangnya ada juga ulama yang membolehkan mengqasar solat selama musafir itu meninggalkan tempat tinggalnya dan berapa lama pun dia berada dalam perjalanan. Namun, pendapat ini tidak didukung banyak ulama kerana alasannya tidak kuat. - BH

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...