terima kasih buat kalian semua..

Thursday, November 11, 2010

Berhati-hati berbelanja di Cameron Highlands..


TIDAK lama lagi cuti sekolah akan bermula. Jika ke Cameron Highlands, berhati-hati apabila berbelanja. Ini kerana pengalaman berada di sana baru-baru ini menunjukkan betapa mudahnya penjual buah dan sayur-sayuran melakukan penipuan timbangan.

Kita tidak akan sedar ditipu kerana bersikap ambil mudah. Berapa ramai di antara kita melihat sendiri timbangan ketika membuat pembelian? Berapa ramai pula yang meminta peniaga menimbang semula buah-buahan yang dikatakan mempunyai berat tertentu sebelum membelinya?

Baru-baru ini, saya berada di tanah tinggi itu setelah agak lama tidak menjejakkan kaki ke sana. Perjalanan ke sana dari Ipoh, Perak hanya mengambil masa kira-kira sejam mengikut laluan Simpang Pulai. Tujuannya hanya untuk menikmati cuaca sejuk di samping melihat panorama hijau ladang-ladang teh yang terbentang luas.

Dalam perjalanan ke destinasi, saya singgah sebentar di satu lokasi jual beli hasil keluaran petani yang letaknya tidak jauh daripada salah sebuah hotel terkenal di Cameron Highlands.

Rata-rata peniaga di situ terdiri daripada tauke Cina dan pekerja Indonesia. Peniaga Melayu hanya ada dua atau tiga orang yang menjual makanan segera.

Sebagai rakyat Malaysia yang sememangnya terkenal dengan adab sopan dan nilai-nilai murni masyarakat Timur, kita jarang meletakkan perasaan syak wasangka terhadap orang lain.

Malangnya kepercayaan tersebut tidak dibalas dengan kejujuran. Niat untuk membeli buah limau terbantut gara-gara penipuan di depan mata.

Kesnya begini. Selepas memilih beberapa biji buah limau, saya meminta pekerja Indonesia di gerai itu untuk menimbang beratnya. Dia meletakkan di atas penimbang dan berkata ''satu kilogram''.

Disebabkan terdorong oleh perasaan ingin tahu, saya melihat sendiri jarum penimbang yang diletakkan agak tersorok di sebalik buah-buahan. Betul, jarum menunjukkan angka satu, tetapi ia bukan dalam kilogram sebaliknya kiraan kati.

Saya berlalu meninggalkan gerai tersebut tanpa membeli apa-apa dan terus ke sebuah lagi gerai yang terletak tidak jauh dari situ.

Mata tertarik melihat warna merah strawberi yang masak ranum. Penjualnya, seorang lelaki Cina. Dengan penuh yakin, dia mengatakan setiap paket adalah seberat setengah kilogram. ''Beli satu RM10, beli dua RM18. Satu paket setengah kilogram," katanya.

Saya mengambil satu bungkus dan terus membayar harganya. Di sebuah gerai lain, sambil menunggu penjual memasukkan barangan yang dibeli ke dalam beg-beg plastik, saya mengambil kesempatan menimbang berat strawberi tadi.

Jarum penimbang hanya menunjukkan beratnya 400 gram sahaja, bukan 500 gram atau setengah kilogram seperti yang didakwa. Melihat kepada reaksi si penjual, saya percaya ini bukan kali pertama mereka menipu.

Fenomena ini berlaku mungkin kerana pihak berkuasa tempatan gagal menjalankan tugas mereka dengan baik. Maka para peniaga bermaharajalela. Mangsanya adalah orang ramai terutama orang tua yang masih tebal dengan adab dan nilai-nilai murni masyarakat Timur. - UM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...