terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, November 3, 2010

Bila anak2 suka "cakap lepas"...


"Cantiknya rumah kawan mak. Besar dan banyak sangat perabot yang mahal. Kereta pun ada tiga. Kenapa kita tak duduk kat rumah macam ni? Rumah kita dahlah sempit, bersepah pulak. Kereta ayah pun kecil dan ada satu je," kata Zania kepada ibunya ketika mereka menghadiri rumah terbuka milik kawan ibunya

Terkulat-kulat air muka ibunya untuk menjawab soalan yang diajukan anaknya secara lantang di hadapan rakan yang turut ada di rumah itu. Dalam keadaan begitu, bagaimana hendak memarahi Zania, yang baru berusia empat tahun, di khalayak ramai pula.
Jika dibiarkan, bimbang nanti makin menjadi-jadi pula kelantangan mulut si kecil itu. Hari ini dia mengomel mengenai perbezaan saiz rumah dan kereta, esok lusa entah apa pula yang bakal dia komen.

Namun, jika dilihat semula dalam pengajian pendidikan awal kanak-kanak menerusi pendekatan Bank Street, ada menyatakan perkembangan individu menjadi lebih berkesan apabila wujudnya interaksi antara rakan sebaya dan orang dewasa.

Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Azizah Lebai Nordin berpendapat kanak-kanak sememangnya perlu diberikan peluang untuk meluahkan perasaan dan pendapat mereka menerusi pembelajaran harian, sekali gus memberi rangsangan terhadap perkembangan sosial dan emosi si kecil.

Jelasnya, kewujudan peluang memberi kanak-kanak meluahkan perasaan mereka dapat membantu kanak-kanak untuk mengerti perasaan yang dirasai malah mengukuhkan lagi kemahiran kognitif, penghargaan kendiri dan keyakinan diri sekali gus perkembangan bahasa.
“Adalah sikap semula jadi kanak-kanak yang berada di peringkat awal perkembangan gemar mengajukan pelbagai soalan, malah menjadi satu peringkat pembelajaran semula jadi bagi mereka untuk mula memahami kejadian dan perbandingan.

“Di awal usia ini juga, mereka mula mempelajari cara penyampaian perasaan atau luahan yang dirasa menerusi percakapan. Peringkat ini penting kerana kanak-kanak gemar meniru gaya percakapan orang dewasa yang rapat dengan mereka,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menjelas lanjut mengenai persekitaran yang memainkan peranan penting dalam mendidik tahap komunikasi kanak-kanak, katanya, kanak-kanak melihat persekitaran atau keluarga terdekat sebagai contoh atau role model.

Oleh itu, tingkah laku yang positif perlu dicerminkan supaya mereka tidak mudah terpengaruh gaya percakapan lantang.

“Persekitaran memainkan peranan terpenting dalam memupuk perkembangan sosio emosi mereka. Ini membabitkan keluarga dan masyarakat. Ibu bapa memainkan peranan terpenting dalam memerhatikan perkembangan emosi yang dilalui anak mereka.

“Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan kepada kanak-kanak yang lantang dalam percakapan mereka dan ibu bapa perlu bijak menangani masalah itu tanpa membuatkan kanak-kanak rasa terhalang atau takut untuk meluahkan perasaan mereka,” katanya.

Azizah memberitahu, terdapat banyak faktor lain yang boleh menyebabkan kanak-kanak masa kini tampil bercakap lantang antaranya kerana pendapat mereka sering disangkal tanpa sebarang penjelasan lanjut menyebabkan egosentrik si kecil tercabar.

Kanak-kanak di awal usia juga mempunyai sikap memberontak kerana mereka belum mahir dalam membezakan mahu pun mengawal perasaan yang dihadapi apatah lagi untuk meluahkannya. Mereka juga berpendapat apa yang dilakukan adalah betul.

“Sebagai orang yang dewasa, kita perlu sentiasa ingat bahawa kanak-kanak tidak boleh dipaksa atau dimarahi secara melulu tanpa sebarang sebab. Mereka belajar melalui perkembangan fizikal, kognitif dan sosio emosi yang ditempuhinya.

“Oleh itu, untuk memperbetulkan sikap atau kesalahan yang dilakukan, ibu bapa perlulah berlembut dan memujuk atau menasihati kanak-kanak secara baik sambil menyelitkan pengetahuan logik supaya mereka memahami kesilapan dilakukan sebelumnya,” katanya.

Tanpa mengetepikan unsur kebudayaan masyarakat ketimuran, beliau memberitahu, ibu bapa atau guru yang ingin menegur kanak-kanak sebegini juga boleh menyelitkan elemen kebangsaan dalam pendidikan moral.

“Ibu bapa dan guru boleh memberi contoh kepada mereka bagaimana masyarakat tempatan dikenali dengan kelembutan tutur bahasa sekali gus keperibadiannya. Di situ, secara tidak langsung, kanak-kanak juga mula memahami konsep kebudayaan.
Azizah memberitahu tempoh perkembangan awal kanak-kanak juga adalah tempoh waktu terbaik untuk membentuk keperibadian interpersonal mereka.

“Interpersonal memaparkan perwatakan yang positif untuk melahirkan kanak-kanak yang bersikap baik, berfikiran terbuka, kreatif dan gemar berinteraksi dengan rakan sebaya mereka. Golongan ini juga jauh lebih aktif malah menceriakan.

“Oleh itu, memberi ruang kepada kanak-kanak berkomunikasi adalah perlu cuma perlu berada di landasan dan cara yang betul mengikut peringkat usia mereka. Gunakan cara yang baik mendidik perkembangan emosi anak-anak anda,” katanya

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...