terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, November 16, 2010

Bilamana hanya anak yg pandai jadi pilihan ibubapa..


KISAH yang dipaparkan dua minggu lalu di ruangan ini sama seperti yang saya lalui semata-mata kerana ibu bapa saya lebih sayangkan anak yang lebih pandai belajar yang menjadi harapan mereka di hari tua.

‘‘Dulu semasa kecil hidup keluarga kami memang susah, hinggakan ada antara adik- beradik kami hendak diberikan kepada saudara kerana kami miskin. Tetapi selepas ayah dapat kerja sebagai pengawal keselamatan, keadaan hidup kami berubah sedikit, walaupun bukan senang.’’ Demikian cerita Juliana dalam emelnya.

‘‘Dalam adik-beradik kami, kakak memang nampak menonjol, dia bukan sahaja pandai belajar, malah pandai menyanyi dan menari di sekolah. Malah apa sahaja aktiviti yang ada disekolah kakak akan ambil bahagian dan itu semua tidak menjejaskan pelajarannya, kakak tetap dapat nombor satu hingga tiga sahaja. Berbanding kami lima beradik.

‘‘Ayah cukup gembira dan hadiahkan seutas rantai tangan emas untuk kakak. Dan bila ada saudara mara yang datang pasti nama kakak akan dipuji kerana kepandaiannya dalam pelajaran. Manakala kami yang lain tak boleh diharap langsung, periksa pun dapat nombor corot, begitu kata ayah merendah- rendahkan kebolehan kami.

‘‘Sebenarnya sejak kecil, saya selalu sakit-sakit. Pernah dimasukkan ke hospital kerana penyakit kuning hampir tiga minggu. Paling menyedihkan, semasa di hospital, ayah tidak pernah menjenguk saya apatah lagi ibu.

‘‘Ayah cuma hantar saya untuk masuk wad dan ambil bila discharge. Alasannya kerja, tak ada masa nak jenguk saya di hospital. Ibu pulak terpaksa jaga adik-adik di rumah dan tiada kenderaan untuk ke hospital KL jauh katanya.

‘‘Selama tiga minggu di hospital terasakan macam tiga tahun. Setiap kali waktu melawat tiba, katil di kiri dan kanan dipenuhi pelawat. Tetapi saya tiada sesiapa datang ziarah. Sedihnya ketika itu, tambahan pula saya masih di sekolah rendah. Memang sejak kecil saya selalu tak sihat. Batuk dan selsema berpanjangan

‘‘Oleh kerana sedih dengan kata-kata ayah, saya berazam belajar sungguh-sungguh. Kalau di sekolah rendah saya dapat nombor corot, tetapi masuk sekolah menengah pelajaran saya mula meningkat. Pernah dapat nombor satu. Saya tunjukkan report card dan tanya ayah bila nak belikan saya gelang emas, tapi ayah hanya diam membatu.

‘‘Semasa tunggu keputusan SPM, saya kerja sambilan di kilang kicap untuk bantu ibu dan ayah dengan pendapatan RM5 sehari dan RM7 kalau ada overtime. Hidup kami lebih susah daripada apa yang ditunjukkan di ruangan Bersama Mu di TV3 tu.

‘‘Sebab susah-susah mereka pun, saya tengok mereka ada tv, ada kerusi meja, ada almari. Kami tak ada semua tu. Dengan gaji RM210.00 sebulan saya beli almari pakaian yang sebelum ini pakaian kami disimpan dalam kotak-kotak sahaja. Hari berganti hari rantai tangan emas yang saya tunggu tidak juga saya dapat.

‘‘Satu hari bulan puasa ketika mengemas rumah saya nampak satu bungkusan pakaian yang cantik tersimpan dalam almari pakaian yang saya beli. Saya tahu pasti itu bukan untuk saya. Bila tiba Hari Raya saya lihat kakak yang pakai baju cantik tu, sedihnya terasa sangat emak dan ayah tak sayangkan saya macamkan saya ni anak pungut.

‘‘Semasa tingkatan enam kakak kerja di kilang elektronik. Kakak tak sambung belajar. Dia cuma dapat gred 3 SPM. Bila kerja malam siangnya kakak tidur sayalah yang bantu emak kerja rumah, memasak dan jaga adik.

‘‘Setiap kali kakak dapat gaji dia tak pernah belikan saya hadiah walaupun sepasang baju. Semua gaji kakak simpan dalam ASN. Kalau tak kerja kakak jadi raja beri arahan, saya cuci pakaian di sungai, adik perempuan memasak, adik lelaki basuh pinggan di perigi dekat rumah kerana rumah kami tiada bekalan air paip waktu itu .

‘‘Beberapa tahun kemudian saya pun berkahwin dan selepas melahirkan anak saya minta emak jagakan anak saya kerana dalam masa yang sama emak masih jaga anak kakak, tetapi emak mengelak, katanya kakak pun akan beranak tak lama lagi, jadi payahlah dia nak jaga ramai budak kecil. Kecik betul hati saya.

‘‘Saya minta jaga anak saya untuk sementara waktu, sementara dapat pembantu. Saya faham kalau saya emak tak sayang, anak-anak saya pun emak dan ayah tak suka. Namun saya bersyukur ibu bapa mertua saya bersedia membantu menjaga anak-anak saya.

‘‘Kini, walaupun lebih 16 tahun berlalu, tetapi saya tak boleh lupakan peristiwa. Saya tidak dapat memaafkan mereka. Terutama kakak pandai buat giliran, tetapi dia tidak pernah ikut giliran. Semuanya ikut keselesaannya. Kedua abang ipar berani tampar saya. Sedangkan dia tidak ada hak kerana saya isteri orang!

‘‘Ketiga emak hanya mendiamkan diri apabila saya ditampar. Seolah-olah saya bukan anaknya. Keempat ayah yang menyebelahi menantunya sedangkan dulu menantu itulah yang telah memalukannya. Hati saya benar-benar luka dengan peristiwa itu.

‘‘Baru beberapa bulan lalu, ayah dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan. Kakak suruh saya bergilir-gilir jaga ayah di hospital. Sedangkan saya tidak pernah mendapat giliran yang seadil-adilnya daripada kedua ibu bapa saya dulu.’’ Demikian cerita Juliana tentang pengalamannya yang tidak disayangi kedua ibu bapanya.

Bercakap tentang keadilan biarlah Allah sahaja yang menentukan, tetapi sebagai anak sepatutnya kita menjalankan tanggungjawab menjaga kebajikan kedua ibu bapa kita. - UM

1 comment:

  1. sianla...saye igt kehidupn sye ni teruk...rupanye ade org len yg lbih sengsara

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...