terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, November 2, 2010

Cara Nabi SAW bergaul dengan bukan Islam..


SAYA selalu mengalami masalah dalam pergaulan dengan rakan-rakan yang bukan Islam. Mohon penjelasan ustaz pendekatan terbaik yang disyorkan Islam seperti yang ditunjukkan oleh junjungan besar kita.

Jawapan:

Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik dalam hal ini. Baginda bergaul dengan semua penduduk Mekah tidak kira yang miskin atau kaya, berpangkat atau tidak.

Lebih-lebih lagi dalam menggauli golongan yang bukan beragama Islam. Baginda sentiasa bergaul baik dengan golongan yang bukan beragama Islam.

Nabi SAW melihat setiap mereka sebagai aset agama, baginda juga melihat mereka sebagai anak Adam yang perlukan bimbingan dan tunjuk ajar ke arah agama Islam.

Sebelum diutus menjadi Rasul baginda telah dinobatkan dengan gelaran al-Amin, orang sangat dipercayai dan tidak pernah berdusta. Tidak ada yang berkecil hati dengan Rasulullah SAW.

Baginda tidak meninggikan suara di hadapan mad'u (golongan sasaran). Tidak ada dalam lipatan sejarah bahawa nabi SAW menyakiti hati orang bukan Islam, melainkan dalam urusan mempertahankan maruah agama dan kedaulatan Islam.

Sebab itulah Allah SWT berpesan kepada Rasulullah agar tidak bersikap keras atau keras ke atas golongan bukan Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila Engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertawakal kepada-Nya. (ali-'Imran: 159).

Sekiranya kita ada kawan dari kalangan yang bukan ajaklah dia berbincang mengenai keindahan agama, biar wujud kesefaham dalam beragama di antara kita dan kawan kita.

Sekali gus, dialog memahami agama sudah ada. Ustaz yakin dengan demikian kita akan lebih faham kawan kita dan agamanya. Mungkin dengan cara itu kita dapat elakkan salah faham atau tersalah anggap.

Menelusuri cara Rasulullah SAW melayan orang bukan Islam, kita akan terpegun dan percaya bahawa sikap ini yang menjadikan ramai manusia yang jatuh hati kepada agama Islam.

Antaranya riwayat daripada Anas bin Malik r.a, bahawa seorang budak lelaki yahudi yang berkhidmat (khadam) untuk Rasulullah tiba-tiba jatuh sakit, lalu baginda SAW menziarahi budak yahudi itu.

Ketika baginda duduk di sisi kepala budak tersebut, baginda berkata: Islamlah (masuklah Islam), lalu budak itu melihat ke arah ayahnya, lantas ayahnya berkata kepada anaknya: taatlah engkau kepada Abu al-Qasim (Nabi SAW dengan menganut Islam), tanpa berlengah budak itu menganut Islam.

Setelah baginda keluar dari rumah budak itu, baginda berkata: Segala puji bagi Allah yang menyelamatkannya dari neraka. (riwayat al-Bukhari)

Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata, telah dikatakan kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah! Doalah supaya orang musyrikin diturunkan musibah. Baginda membalas: sesungguhnya aku tidak diutus untuk melaknat (meminta suatu yang buruk), akan tetapi aku diutus sebagai pembawa rahmat. (riwayat Muslim) - UM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...