terima kasih buat kalian semua..

Sunday, November 7, 2010

Dengarlah rintihan rakyat bawahan..


SUATU hari, saya terpaksa menaiki teksi kerana kereta dihantar untuk servis. Dalam perjalanan itu, saya sempat berbual dengan pemandu teksi tersebut. Dia seorang bekas tentera yang telah berkhidmat selama 25 tahun dan jawatan terakhirnya ialah korporal.

Katanya, dia perlu membayar sewa teksi sebanyak RM43 sehari. Dia merintih tentang kenapa orang seperti dia yang telah berkhidmat dengan tentera begitu lama tidak diberikan peluang untuk memiliki sebuah teksi, sama ada cara sewa-beli atau pajak-milik.

Dengan suara geram, dia menunjukkan kad keahlian UMNO miliknya.

“Saya sudah menjadi ahli UMNO bertahun-tahun tetapi ini tidak dapat membantu saya,” sambil mengeluarkan kad keahlian UMNO dari dompetnya.

Tetapi kata-katanya yang masih terngiang-ngiang di telinga saya sehingga hari ini ialah, “Saya dan kawan-kawan yang senasib dengan saya tidak akan mengundi Barisan Nasional pada pilihan raya nanti.” Aduh begitu marah sekali pemandu itu, sehingga teksi yang dipandunya terhuyung-hayang sebentar.

Inilah contoh rintihan rakyat bawahan yang rasanya pihak kerajaan perlu memberikan perhatian. Soal periuk nasi rakyat bawahan ini tidak semestinya terbatas kepada bekas tentera sahaja. Mereka yang pernah berkhidmat dengan pasukan pakaian seragam setelah bersara memerlukan pembelaan demi kelangsungan hidup yang selesa.

Tambahan pula pada masa kini, kos sara hidup meningkat dengan mendadak. Harga barang-barang dikuasai oleh pembekal, tidak kira sama ada pemborong atau peruncit. Asalkan mereka melihat ada sesuatu, sebab untuk mereka menaikkan harga barang, tiada siapa boleh menghalang. Kita pernah melihat pihak peruncit dan pembekal mengancam kerajaan apabila ingin memperkenalkan sesuatu peraturan yang boleh membanteras kegiatan sorok, seperti berlaku pada bekalan gula tempoh hari.

Selaras dengan usaha kerajaan melakukan program transformasi ekonomi yang mana telah diumumkan 131 projek titik kemasukan dan 60 peluang perniagaan yang keseluruhannya melibatkan projek-projek besar serta mega, ia hanya membabitkan syarikat-syarikat dan rakyat atasan sahaja. Di bidang pendidikan, tumpuan adalah kepada pendidikan oleh sektor swasta daripada tadika sehingga ke institusi pengajian tinggi.

Di bidang pelancongan perubatan, orang kita termasuk menteri lebih sedia keluar negara untuk melakukan pembedahan, kecuali kes kecemasan. Di bidang perkhidmatan kewangan, untuk mengadakan sebuah bank, perlu modal sekurang-kurangnya RM1 bilion. Untuk syarikat broker saham pula, tidak kurang daripada RM250 juta diperlukan. Bagi rakyat biasa, tiada ruang untuk mencelah dalam sektor-sektor ini.

Mungkin dalam bidang pertanian, ada jugalah peluang bagi penyertaan mereka daripada golongan bawahan. Begitu juga dalam bidang pelancongan, terutama sekali dalam penyediaan pakej inap desa (homestay). Bagaimanapun, semua itu tetap memerlukan pembiayaan bagi sesiapa sahaja termasuk golongan bawahan untuk menyertai bidang ini.

Selain itu, latihan dalam bidang hospitaliti juga diperlukan. Tentu sekali bidang yang mungkin lebih tinggi penyertaan daripada golongan bawahan adalah pertanian. Anak-anak muda yang mungkin tidak berpeluang melangkah kaki ke universiti juga boleh diberikan tempat dalam bidang pertanian dan yang berkaitan dengannya.

Penyertaan seumpama ini telah berjalan dengan penuh kejayaan melalui bimbingan yang diberikan oleh pertubuhan seperti Skill Tech, meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Dalam bidang penyediaan perkhidmatan, banyak jenis perkhidmatan boleh disediakan daripada kerja-kerja pembetulan, baik pulih dan anggota penyokong dalam pembinaan serta penyenggaraan.

Sekali lagi, latihan teknikal dan vokasional boleh diberikan kepada golongan bawahan yang berminat. Langkah kerajaan mewujudkan transformasi ekonomi wajar diikuti juga oleh transformasi diri. Yang empunya diri mesti peka dengan apa yang berlaku dan tidak menunggu rezeki datang bergolek tanpa ikhtiar dan usaha. Kalau sampan dan dayung sudah disediakan, apa yang perlu ialah kesanggupan untuk berdayung.

Mungkin program transformasi ekonomi ini harus diperhalusi supaya kepentingan golongan bawahan yang tidak mampu turut serta dalam projek-projek mega secara langsung dapat turut serta secara tidak langsung. Misalnya, suatu rangkaian kedai-kedai runcit secara francais memberi peluang untuk turut serta bagi mereka yang berminat termasuklah barang-barang keperluan harian, penjagaan kebersihan dan kecantikan dan farmasi.

Rintihan pemandu teksi itu mungkin tidak penting kepada sesetengah orang, tetapi memperoleh maklum balas daripada rakyat biasa adalah penting bagi membentuk sebarang strategi untuk memenangi sesuatu pilihan raya.

Lihatlah apa yang terjadi kepada parti Demokrat di Amerika Syarikat yang telah hilang sebanyak 60 kerusi kepada parti lawan, Republikan di Dewan Perwakilan. Ia suatu tamparan kepada Presiden Barack Obama yang tidak mendengar rintihan rakyat biasa.

Dato' salleh Majid

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...