terima kasih buat kalian semua..

Monday, November 8, 2010

Hargai penderma darah, organ konsisten..


PADA hari ini sudah ramai rakyat Malaysia sedar kepentingan menderma darah dan organ. Syabas juga kepada Kementerian Kesihatan yang tidak jemu-jemu melaksanakan pelbagai kempen bagi menarik lebih ramai rakyat negara ini menderma darah dan organ.

Kita kini sering melihat ramai yang hadir untuk berbuat demikian di kebanyakan lokasi pendaftaran menderma organ.

Pada masa ini, media sering mendedahkan kepentingan menderma organ. Bagaimanapun, baru-baru ini, ada laporan mendedahkan bahawa pendermaan organ masih jauh daripada sasaran.
Begitu juga dengan aktiviti menderma darah. Apabila tiba musim perayaan, kempen menderma darah menjadi sama rancak dengan kempen jualan murah. Tanggapan masyarakat terhadap kempen menderma darah ini adalah mudah, iaitu bermusim.

Sebenarnya melalui kempen dan media saja tidak mencukupi. Jika diteliti, sebahagian besar penderma darah adalah terdiri daripada penderma kali pertama. Penderma ulangan kelihatan kurang. Ramai yang tidak mengetahui adanya kempen berkenaan dan tidak mengikuti siaran media berkaitan aktiviti menderma darah.

Pada saya, pusat tabung darah perlu menyimpan rekod penderma darah kawasan mereka. Saya tertarik dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengamalkan cara ini dan menghubungi saya selepas tiga bulan dan menyatakan butiran aktiviti menderma darah berikutnya.

Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan mesti menyedari peranan mereka dalam usaha menarik penderma darah tegar. Saya yang sudah menderma sebanyak 30 kali dan beberapa rakan lain yang pernah menderma melebihi 50 kali mahu usaha kami dihargai oleh kementerian.
Adalah wajar jika kerajaan mengambil inisiatif memberi penghargaan kepada orang ramai yang menderma darah seperti kami.

Oleh itu, perlu ada satu perbincangan yang serius mengenai perkara ini kerana kepentingan darah dan organ semakin mendesak pada masa kini kerana kehadiran pelbagai sumber penyumbang penyakit dan musibah.

Jika tidak keterlaluan perkara ini perlu dibincangkan di peringkat Kabinet kerana setitis darah mampu menyelamatkan satu nyawa, pemindahan satu organ mampu merubah satu kehidupan.

PENDERMA TEGAR,
Gambang, Pahang

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...