terima kasih buat kalian semua..

Monday, November 29, 2010

Hospital swasta kenakan caj tersembunyi!


SEJAK akhir-akhir ini timbul isu mengenai kos rawatan hospital swasta yang terlalu tinggi sehingga memaksa Kementerian Kesihatan mengambil tindakan untuk mengkajinya.

Kadar caj yang tinggi di hospital atau klinik swasta memang tidak boleh dinafikan kerana premis terbabit menyediakan perkhidmatan lebih pantas berbanding hospital kerajaan.

Namun apa yang mengecewakan ada hospital atau klinik swasta yang mengenakan caj yang mahal sedangkan perkhidmatan yang diberikan tidak jauh bezanya dengan hospital atau klinik kerajaan.

Tidak mengapalah jika hospital atau klinik kerajaan tidak mampu menawarkan perkhidmatan yang pantas kepada pelanggannya kerana caj yang dikenakan terlalu murah.

Isu yang sedang bermain pada masa kini sedikit sebanyak ada kena mengena dengan apa yang dialami oleh saya baru-baru ini.

Kelmarin, saya ke sebuah hospital swasta terkemuka di bandar ini untuk mengambil ubat anak yang mengalami batuk dan selesema ringan.

Saya pergi ke hospital itu kerana ia merupakan panel kepada syarikat tempat saya bekerja.

Saya tidak bercadang untuk bertemu doktor untuk mendapat khidmat nasihat, sebaliknya hanya mahu mengambil ubat daripada farmasi di hospital itu memandangkan penyakit batuk dan selesema yang dialami anak saya tidak begitu serius.

Setiba di kaunter pendaftaran di hospital berkenaan, seorang staf meminta saya mendaftarkan nama anak kerana dia belum didaftarkan sebelum ini.

Selepas itu, saya diarah menunggu di unit kecemasan sementara menantikan nama anak saya dimasukkan ke dalam fail komputer.

Selepas setengah jam, seorang lagi staf hospital itu bertanyakan sama ada saya mahu mengambil terus ubat di farmasi atau berjumpa doktor terlebih dahulu.

Menurut staf tersebut, jika mahu berjumpa doktor mungkin mengambil masa yang agak lama kerana doktor bertugas sedang merawat pesakit yang dalam kecemasan.

Memikirkan untuk bertemu doktor mungkin mengambil masa yang terlalu lama, saya membuat keputusan untuk terus mengambil ubat.

Selepas mengambil ubat yang diperlukan, saya meminta salinan resit pembayaran daripada pihak farmasi hospital.

Kos keseluruhan yang dikenakan oleh hospital itu ialah sebanyak RM51.

Selepas menyemak resit tersebut, saya terkejut kerana pihak hospital mengenakan caj khidmat nasihat doktor sebanyak RM15 bersama kos dua jenis ubat sebanyak RM21 dan caj pendaftaran RM5.

Saya terus ke unit farmasi itu dengan mengatakan bahawa saya tidak bertemu doktor dan tidak sepatutnya caj itu dikenakan kepada syarikat saya.

Bagaimanapun dengan tersenyum petugas di farmasi itu memberitahu, ia memang polisi hospital berkenaan yang mengenakan caj khidmat nasihat walaupun pesakit tidak bertemu doktor.

Itu sebab dia bertanyakan kepada saya sama ada mahu berjumpa doktor atau sebaliknya sebelum itu.

Polisi itu jelas petugas itu lagi, hanya dikenakan kepada pesakit yang dibayar oleh syarikat panel.

Menurutnya, jika pesakit itu datang ke hospital dengan membayar sendiri, mungkin caj itu tidak dikenakan.

Selepas mendengar penjelasan itu, saya pulang dengan penuh tanda tanya dengan senario itu yang saya anggap sebagai pengambilan untung secara berlebihan daripada pelanggan.

Tidak hairanlah sesebuah hospital swasta mampu meraih untung berkali ganda dengan cara sedemikian.

Bayangkan jika ada 100 pelanggan seperti saya yang datang ke hospital itu pada hari tersebut, ini bermakna, pihak hospital terbabit mampu meraih keuntungan bersih RM1,500 sehari.

Itu baru bab caj khidmat nasihat doktor. Belum yang lain-lain lagi.

Itulah sebabnya banyak hospital atau klinik swasta mampu hidup hanya dengan mengambil syarikat-syarikat panel sebagai pelanggannya kerana banyak caj tersembunyi boleh dikenakan terhadap panelnya.

Sehubungan itu, saya merasakan pihak yang berwajib perlu menyiasat perkara seumpama ini bagi memastikan tiada caj tersembunyi dikenakan terhadap pelanggannya.

ANIZA, Kuantan

1 comment:

  1. hahahaha,ini lah faedah penswastaan sejak zaman mahadir...hidop melayu..!!! muakakaaka

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...