terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, November 24, 2010

Hospital swasta tidak wajar guna kelebihan pakar kenakan caj tak munasabah !!


KEGAGALAN pengguna kad kredit atau individu yang membuat pinjaman bank untuk membayar kos perubatan tinggi di hospital swasta, membayar balik hutang mereka yang didedahkan Berita Harian kelmarin tidak seharusnya berlaku. Ibarat pepatah Melayu, ukur baju di badan sendiri, kita seharusnya membuat pilihan bersesuaian dengan kemampuan kewangan kita. Kegagalan mengurus kewangan dengan bijak akan menyebabkan diri terjebak dengan bebanan hutang. Tidak dinafikan faktor menunggu terlalu lama di hospital kerajaan untuk mendapat rawatan menyebabkan ramai sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkan rawatan segera di hospital swasta, khususnya membabitkan mereka yang disayangi atau keluarga terdekat diserang penyakit kronik. Dalam laporan itu, Ketua Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohamed Akwal Sultan berkata penggunaan kad kredit tidak terkawal kini bukan lagi menjadi faktor utama bagi masalah kegagalan pembayaran balik pinjaman. Sebaliknya, penggunaan kad kredit atau pinjaman bank untuk membayar kos perubatan di hospital swasta menjadi punca utama kegagalan pembayaran balik pinjaman bank dan kad kredit oleh individu. Kebanyakan individu yang dirujuk kepada Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK menjelaskan, mereka lebih cenderung mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan yang dikatakan lebih baik di hospital swasta berbanding di hospital kerajaan, walaupun kosnya lebih tinggi. Mereka berpendapatan kurang RM2,000 sebulan adalah kumpulan paling teruk terjejas dengan masalah kewangan dan mewakili kira-kira 40 peratus daripada 50,361 individu yang menyertai PPK.

Kita bersimpati dengan mereka yang terpaksa menanggung beban hutang serta bil kad kredit yang melambung gara-gara untuk mendapatkan rawatan terbaik di hospital swasta. Sudah banyak aduan dan rungutan orang ramai mengenai caj rawatan hospital swasta yang sesetengahnya terlalu tinggi dan tidak munasabah. Kita tidak boleh menyalahkan pengguna semata-mata, yang sanggup berhutang termasuk menggunakan kad kredit bagi melunaskan caj hospital yang tinggi. Soal keselamatan dan nyawa, siapa juga sanggup berkorban dan melakukan apa saja. Tiada siapa yang sanggup melihat orang tersayang menderita menanggung kesakitan dan bertarung nyawa. Mereka sudah tentu mahu memberikan rawatan terbaik walaupun terpaksa berhutang demi menyelamatkan nyawa. Jaminan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang akan mengkaji isu caj hospital swasta semalam, pastinya memberi kelegaan kepada banyak pihak, khususnya mereka yang kurang berkemampuan. Orang ramai bukanlah mengharapkan caj hospital swasta diturunkan serendah seperti yang dikenakan di hospital kerajaan, tetapi caj itu biarlah berpatutan dan munasabah. Tiada siapa boleh menafikan perkhidmatan serta kemudahan di hospital swasta jauh lebih baik berbanding hospital kerajaan. Itulah yang menjadi faktor utama menyebabkan caj di hospital swasta lebih tinggi selain daripada khidmat doktor pakar yang mereka tawarkan, tetapi janganlah menjadikan kelebihan itu untuk menekan pengguna. Hospital swasta perlu juga mengambil kira sekelumit tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, janganlah terlalu memikirkan soal keuntungan dengan menyerap sedikit kos bagi membantu mengurangkan beban kewangan keluarga pesakit. Kita harap perbincangan di antara Kementerian Kesihatan dan pengusaha hospital swasta mampu memberi keputusan positif, termasuk mengenakan caj yang lebih munasabah dan berpatutan. - BH

1 comment:

  1. di sini la perlunya simpanan yg mempunyai pembiayaan perubatan. tidak terlalu memikirkan kos perubatan yg tinggi. kenapa org ramai lebih memikirkan untuk masuk ke hospital kerajaan kerana lebih murah di banding hospital swasta. jika menbuat simpanan yg mempunyai pelan perubatan mungkin masalah ini dapat diselesaikan. byangkan kalu caj hopital kerajaan di naikkan sama seperti hospital swasta. bagaimana mereka yg tidak mampu utk membiayai perubatan. simpanan sekaligus diserta pakej pelan perubatan adalah keperluan untuk semua pada masa kini.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...